Monday, 17 November 2008
Perbaiki cara hidup, pilih jalan Islam - Tuan Ibrahim
Umat Islam perlu memperbaiki cara hidup yang lebih selamat dengan pengawalan yang digariskan Islam bagi mengatasi kemelut sosial yang sedang melanda, demikian intipati kuliah bulanan Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man.
Tuan Ibrahim dalam kuliah tarbiyah yang diadakan di Kampung Batu Satu dekat sini, baru-baru ini menekankan pengisian rohani dan jasmani yang seimbang belandaskan Islam mesti dijadikan amalan kehidupan seharian bagi mencapai keselamatan dunia dan akhirat.
Bermula dengan pembentukan diri melalui amalan pemakanan Pesuruhjaya PAS Pahang itu menasihatkan umat Islam tidak berhutang dalam pengurusan makanan yang dimakan setiap hari.
"Seboleh-bolehnya kalau kita makan biarlah makanan yang kita makan itu tidak berhutang. Benda lain tak apalah, macam kita hutang rumah, kita hutang kereta kerana benda itu kita nampak.
"Barang yang kita nampak ni mudah kita ingat nak bayar hutang. Tapi, makanan ni kita makan hilang. Lama-lama kita lupa, akhirnya tak bayar hutang, tak bayar hutang ni berat di sisi Islam, seboleh-bolehnya kita tak berhutang," katanya.
Tambah Tuan Ibrahim dalam membina gerbang perkahwinan umat Islam perlu menekankan soal mendapat keberkatan dalam perkahwinan kerana perkahwinan yang mendapat keberkatan akan memperolehi kesejahteraan.
Tambah Tuan Ibrahim lagi, Islam mengajar kita bagaimana untuk membina rumahtangga yang selamat dan sejahtera.
Katanya untuk mendapat keberkatan umat Islam disuruh mengurangkan mahar (mas kahwin) bagi mengelak berlakunya masalah dalam membina rumahtangga.
"Kita jangan ikut macam artis, maharnya mahal tapi empat bulan kahwin dah bercerai. Kita ikut yang Islam ajar iaitu perkahwinan mendapat berkat," katanya.
Perkara ketiga yang ditekankan Tuan Ibrahim dalam kuliahnya ialah setiap umat Islam terutamanya pendukung pejuangan Islam tidak boleh melengahkan kerja- kerja jihad dan kebajikan.
"Tiap-tiap umat Islam mesti ada niat untuk mati fisabilillah. Kita mesti ada niat untuk mati di jalan Allah. Bidang kerjanya luas, bukan sahaja mati dalam peperangan tetapi setiap kerja yang ada niat untuk menegakkan agama Allah di muka bumi ini.
"Sebab itu kalau ada ceramah agama cepat-cepat pergi. Kita tak tahu bila kita akan mati. Kalau kita mati dengar ceramah baik kalau pada masa kita patut dengan ceramah kita duduk di rumah kita mati kita rugi. Sebab itu jangan bertangguh dalam kerja membuat kebajikan ini," katanya.
Harakah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment