Saturday, 10 January 2009

Prestasi Wahid memuaskan, wakil rakyat yang prihatin - pengundi


Ramai di kalangan pengundi di beberapa unit peti undi (UPU) yang ditemui di sekitar Parlimen Kuala Terengganu menyatakan sokongan kepada calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut untuk mewakili mereka.

Mamat Ngah yang ditemui di UPU Permint Jaya semalam menyatakan, Abdul Wahid adalah seorang wakil rakyat yang sangat prihatin kepada pengundi di Dun Wakaf Mempelam yang diwakilinya sejak 18 tahun lalu.

“Setiap kali ada masalah yang dihadapi penduduk saya dapat maklumat beliau turun ke kawasan bagi melihat sendiri permasalahan penduduk, kami di Permint Jaya mengharapkan sangat dapatlah Abdul Wahid ini menjadi wakil rakyat bagi Parlimen Kuala Terengganu ini.

“Kami mahu merasakan khidmat baktinya seperti beliau berikan kepada penduduk di Dun Wakaf Mempelam,” katanya dengan penuh semangat.

Abdul Wahid baginya walaupun mewakili Dun yang lain dari tempatnya, namun sering berkunjung di sini bagi bertemu penyokong dan bertanyakan khabar sentiasa, kata Mamat.

Sementara itu, Abdul Rashid Sulaiman selaku pengiring kepada Abdul Wahid mengakui setiap tempat yang dilawati calon PAS sepanjang tiga hari kempen (6 hingga 8 Januari) itu mendapat sokongan yang jitu dari pengundi.

Paling ketara, pengundi warga Tiong Hua yang berpusu-pusu bertemu Abdul Wahid tatkala calon PAS itu menziarahi mereka, kata Abdul Rashid yang segak dengan vestnya.

“Khidmat beliau selaku wakil rakyat sudah terbukti, oleh sebab itu beliau mampu bertahan selama lebih 18 tahun atau lima penggal, ini saya lihat sendiri dan sudah terbukti,” katanya.

Sementara itu seorang penguasaha bengkel logam berbangsa Tiong Hua di Syarikat Logam Utama Trading Berhad di Permint Jaya menyatakan sokongan tak berbelah bagi kepada Abdul Wahid.

Beliau menyambut kehadiran Abdul Wahid di kilangnya dengan senyuman dan dengan bangga menyatakan akan menyokong Abdul Wahid sebagai wakil rakyat Parlimen Kuala Terengganu.

Sesekali semasa bersembang dengan Abdul Wahid, pengusaha berbangsa Cina itu menyebut nama Abdul Wahid adalah calon yang direstui pemimpin yang menjadi contoh kepada rakyat iaitu, Menteri Besar Kelantan, Dato’ Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sementara semasa lawatannya ke beberapa bengkel di kawasan Perindustrian Permit Jaya, Abdul Wahid tidak menang tangan untuk bersalaman sambil melemparkan senyuman yang ikhlas kepada pengundinya.

Beliau dengan wajah tenang menyantuni golongan pekerja bengkel yang kebanyakan sedang sibuk dengan tugas masing-masing.

Ada pekerja yang datang merapatinya sambil memeluk Abdul Wahid dan menyatakan sokongan dengan cukup bersemangat, dan mengharapkan Abdul Wahid melakukan perubahan yang tidak dilakukan oleh pemimpin Umno/BN.

Jadual Abdul Wahid pada 8 Januari sangat ketat, namun panggilan demi panggilan yang diterima bagi mengadakan lawatan termasuk ke rumah seorang pengundi yang mengalami kematian anaknya di Sungai Rengas.


Kehadiran beliau bagi melawat Allahyarham, Noraznira Ismail (15) yang meninggal pada 8 Januari memberi penuh makna kepada ahli keluarga Allahyarham.

Seketika selepas melawat keluarga tersebut, Abdul Wahid bergegas ke beberapa tempat lain termasuk untuk bersolat asar dan manghrib dengan pengundi.

Rutin ini dilakukan Abdul Wahid bukan sahaja semasa kempen kali ini, malah beliau mengamalkannya di Dun Wakaf Mempelam sebelum ini sehingga pengundi di sini 'sayang’ kepadanya.

Dupahang

No comments: