Sunday, 20 September 2009

Perutusan Hari Raya Idul Fitri YDP PAS Kawasan Pekan


Alhamdulillah segala puji dan syukur hanya bagi Allah SWT, selawat dan salam ke atas RasulNya SAW. Dengan izin Allah kita telah dapat menyempurnakan puasa dan menyambut Hari Raya Idul Fitri, mudah-mudahan Allah membebaskan kita daripada api neraka dan menjadikan kita hamba-hamba yang benar-benar bertaqwa kepadaNya.
Di antara tanda orang yang bertaqwa ialah apabila seseorang itu menjadikan Al-Quran sebagai petunjuk dalam seluruh pegangan dan cara hidupnya. Seandainya petunjuk Al-Quran itu bercanggah dengan amalannya maka wajiblah dibetulkan, jika tidak beerti tidak tercapailah tujuan dan hikmah daripada puasa itu.
Hari raya pada tahun ini disambut dalam keadaan negara kita sedang berhadapan dengan wabak selesema babi atau H1N1 yang telah meragut hampir 80 nyawa dan masih belum dapat dikawal dengan baik. Sedarkah kita sebenarnya wabak seperti ini merupakan peringatan daripada Allah terhadap manusia yang mengingkari titah perintahNya dan melakukan laranganNya? Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Tidak lahir perbuatan maksiat di tengah-tengah suatu kaum sehingga mereka melakukannya secara terang-terangan, melainkan mereka akan ditimpa penyakit taun dan penyakit yang belum pernah ada pada generasi-generasi yang terdahulu”.
Berleluasanya maksiat adalah akibat banyaknya hukum Allah tidak dilaksanakan dalam masyarakat dan negara, menyebabkan manusia tidak rasa takut melakukan maksiat dan jenayah sekalipun terdapat undang-undang tetapi bukan undang-undang Allah SWT. Inilah suasana yang kita hadapi sekarang ini, mudah-mudahan Allah memberikan kita kekuatan untuk terus berjuang bagi mendaulatkan Islam di muka bumi ini.
Sempena hari raya yang mulia ini, marilah kita kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah supaya kita betul-betul berada di atas landasan yang benar bagi mendapatkan keredhaan Allah di dunia dan akhirat.
Selamat Hari Raya, Maaf Zahir & Batin.

Ustaz Abu Kassim Manaf
Yang Dipertua,
PAS Kawasan Pekan.

Monday, 14 September 2009

PAS SHAHBANDAR FUNGSIKAN MARKAS DALAM BULAN RAMADHAN


PAS Cawangan Shahbandar, salah satu cawangan PAS dalam kawasan Pekan berjaya menghidupkan fungsi Markas PAS dengan menjalankan aktiviti ibadah disepanjang bulan Ramadhan kali ini.

Program yang diadakan selang sehari diisi dengan Iftar Jamaei, Solat Maghrib dan Isya' berjamaah, Solat sunat tarawikh dan witir dan berakhir dengan Tazkirah/Tafsir Al Quran yang dipimpin oleh Ustaz Abdul Karim Sidek yang merupakan Ketua Cawangan PAS tersebut.

Program ini diadakan bagi tujuan mengukuhkan ukhwah dikalangan ahli serta bagi meningkatkan kefahaman ilmu di bulan yang penuh Barakah ini.

PAS Kawasan Pekan amat berbangga dengan istiqamah yang ditunjukkan oleh barisan AJK Cawangan bagi menghidupkan fungsi Markas yang juga dibantu AJK mereka iaitu Ustaz Abdul Ghani, Haji Abdul Malik, Hamdan, Jamsari, Syed Hasnol, Kahairy, Afendi dan ramai lagi.

PAS Kawasan Pekan berharap, cawangan lain dapat mencontohi Shahbandar bagi menghidupkan markas cawangan mereka.

PAS Cawangan Shahbandar juga mengalu-alukan mana-mana pihak untuk menyumbangkan Infaq dalam usaha membina Markas Cawangan yang Baru di tapak tanah milik cawangan PAS Shahbandar sendiri. Infaq boleh disalurkan kepada akaun penama dibawah ;
Hj Abdul Ghani : 013 - 969 6335
Khairy : 019 - 932 5410
No. Akaun Bank : 0602 - 1454920 - 056 (CIMB)

ditulis oleh ; Lajnah IT DPP Pekan

Tuesday, 8 September 2009

IFTAR PERDANA PAS KAWASAN






Bertepatan jam 6.00 petang pada 16 ramadhan 1430H bersamaan 6 september 2009,PAS Pekan telah berjaya menarik kehadiran tetamu pada bacaan 90% dari jangkaan dalam majlis iftar perdana serta sumbangan bantuan kepada golongan memerlukan bagi meringankan beban semasa menghadapi ramadhan serta persiapan menyambut hari lebaran nanti. Majlis yang diketuai oleh YDP PAS Pekan yang merangkap Ketua Dewan Urusan Ulamak Negeri AF Ust. Abu Kasim Manaf dalam ucapannya menegaskan ` ada di kalangan kita yang mampu meninggalkan amalah subahah serta haram pada bulan puasa namun disambung kembali aktiviti tersebut apabila awal syawal menjelma.Kita juga selalu berprasangka dan mempunyai tafsiran yang silap tentang perjuangan yang cuba dilaksanakan oleh PAS` Dalam ucapan beliau juga, saranan agar penambahan amalan dibulan puasa kali ini adalah lebih baik dari sebelumnya dan sedapatnya diteruskan pada sepanjang masa. Ucapan terima kasih juga dipanjangkan kepada para penyumbang dalam menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.Seramai 50 penerima telah menyaksikan kegembiraan mereka dan melenyapkan rasa sedih setelah menerima sumbangan dari sebuah parti politik yang bakal menerajui negara 1 Malaysia suatu hari nanti. Bagi Urusan Ulamak Kawasan pula, kejayaan menyempurnakan malam munajat perdana telah melakarkan senyuman dan kesyukuran kepada ALLAH dengan kehadiran yang hampir mencecah 90% dengan penglibatan secara langsung dewan pemuda serta muslimat.Terima kasih turut dipanjangkan kepada Ust. Khairul Anuar [ DPP Pekan ]atas pimpinan munajat pada pagi tersebut. Semuga ALLAH merahmati kita semua dan menerima taubat kita.
lagi visual akan menyusul........

Wednesday, 2 September 2009

ULASAN YB MAHFUZ OMAR


KUALA LUMPUR, 2 Sept: Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tiada kekosongan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Seputeh akan menjadi bahan gelak ketawa dunia sekaligus menjadikan Umno kalah kali ke lapan walaupun tiada pilihan raya kecil diadakan bagi kerusi tersebut, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Walaupun tanpa pilihan raya, Pakatan Rakyat (PR) menang kali kelapan setelah menang 7-0 ke atas Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam semua pilihan raya kecil selepas pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu," kata beliau.

Keputusan SPR itu, katanya, membuktikan dengan jelas bahawa Umno tidak bersedia menghadapi menghadapi rakyat di dalam pilihan raya.

"Umno amat jelas dilanda ketakutan setelah kalah 7-0.

"Ia semakin menggeletar menghadapi rakyat ketika tsunami revolusi pilihan raya di Jepun yang menyaksikan kemenangan Parti Demokratik Jepun (DPJ) menyingkirkan pemerintahan Parti Liberal Demokratik (LDP) sejak Perang Dunia Kedua," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Tindakan mengelakkan pilihan raya kecil di Kota Siputeh itu juga mencatat sejarah yang memperlihatkan SPR terpaksa memberikan alasan yang akan menjadi bahan tertawa dunia, katanya.

"Alasan SPR itu pasti akan menjadi bahan ketawa dunia. Alasan kartun.

"Selepas ini para kartunis bolehlah mencipta watak kartun ala Upin dan Ipin di mana Umno dan SPR menjadi watak utamanya.

"Amat malang bagi demokrasi negara ini apabila SPR menjadi watak kartun untuk menemani Umno yang menggeletar ketakutan untuk menghadapi pilihan raya dan kuasa rakyat," katanya.

Mahfuz menyifatkan SPR sengaja mencari-cari alasan apabila mendakwa bahawa Datuk Abu Hassan Sarif masih kekal sebagai ADUN Kota Siputeh kerana beliau tidak menghadiri dua mesyuarat berturut-turut di dalam dua penggal yang berbeza dan bukan dua mesyuarat di dalam satu penggal yang sama.

"Peruntukan mengenai perkara itu tidak langsung memberikan kefahaman bahawa seseorang ADUN hilang jawatannya jika tidak menghadiri dua mesyuarat berturut-turut di dalam satu penggal yang sama," kata beliau.

Seksyen 51 Perlembagaan Negeri memperuntukkan mana-mana anggota DUN yang tidak hadir sidang Dewan dua kali berturut-turut hilang keanggotaannya dan hendaklah mengosongkan kerusi yang disandang.

Sepatutnya, kata beliau, Umno yang mencabar keputusan Speaker yang mengisytiharkan kekosongan kerusi tersebut dan bukannya SPR pula yang menjadi mahkamah yang mentafsir dan membuat keputusan sebelah pihak.

Mengenai surat cuti sakit ADUN Kota Seputeh ayang diterima oleh SPR, Mahfuz mempersoalkan keengganan SPR menyiasat surat cuti sakit itu.

"Adakah ADUN tersebut mendapat surat cuti sakit? Sedangkan, akhbar Sinar Harian edisi tempatan melaporkan beliau menghadiri satu majlis pada tarikh yang dimaksudkan itu," beliau mempersoalkan.

Mahfuz mempersoalkan mengapa SPR tidak mengambilkira persetujuan Speaker untuk membolehkan seseoran ADUN tidak menghadiri sidang DUN.

"Kalaupun ada surat cuti sakit, seseorang ADUN mesti menyerahkan surat itu kepada Speaker dan Speaker pula mesti memberi persetujuan untuk membolehkan ADUN berkenaan tidak menghadiri sidang DUN," katanya.

Sebelum ini Speaker DUN Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail telah menghantar surat kepada SPR berhubung kedudukan Abu Hassan dari Umno yang hilang keanggotaannya di dalam dewan itu.

Surat Dr Abdul Isa itu memaklumkan bahawa Abu Hassan hilang keanggotaan setelah dua kali gagal menghadiri sidang DUN pada 19 April dan 9 Ogos lalu.

Abu Hassan, ketua Umno bahagian Jerlun menyandang kerusi DUN Kota Seputeh selama empat penggal berturut-turut.

Tuesday, 1 September 2009

MINGGU KEAMPUNAN

Pada 6Hb.September 2009 nanti... insyaallah PAS Kawasan Pekan akan mengadakan 2 program serentak pada tarikh penurunan Al Quran iaitu Iftar Ramadhan pada petangnya dan munajat perdana anjuran Dewan Ulamak Kawasan pada sebelah pagi 17 Ramadhan bersamaan 7 September 2009.


Program yang berlaku setiap kali datangnya ramadhan ini,akan dilaksanakan seperti biasa dengan agenda utama menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.Para penerima terdiri dari fakir miskin serta pelajar yang kurang kemampuan.

Dengan itu pihak PAS Kawasan yang dipimpin oleh YDP Ustaz Abu Kassim Manaf menjemput semua muslimin muslimat hadir bagi memeriahkan lagi majlis ini serta memohon pihak yang berkemampuan untuk menghulurkan sumbangan kepada PAS Kawasan mengikut kesesuaian.

Majlis ini juga akan disulami dengan tahlil perdana selepas maghrib dan tazkirah ramadhan yang akan disampaikan oleh AF Ustaz Rosli Abdul Jabbar.

PAS Pekan akan menumbangkan seekor lembu bagi majlis iftar perdana tersebut.