Sunday, 20 September 2009
Perutusan Hari Raya Idul Fitri YDP PAS Kawasan Pekan
Alhamdulillah segala puji dan syukur hanya bagi Allah SWT, selawat dan salam ke atas RasulNya SAW. Dengan izin Allah kita telah dapat menyempurnakan puasa dan menyambut Hari Raya Idul Fitri, mudah-mudahan Allah membebaskan kita daripada api neraka dan menjadikan kita hamba-hamba yang benar-benar bertaqwa kepadaNya.
Di antara tanda orang yang bertaqwa ialah apabila seseorang itu menjadikan Al-Quran sebagai petunjuk dalam seluruh pegangan dan cara hidupnya. Seandainya petunjuk Al-Quran itu bercanggah dengan amalannya maka wajiblah dibetulkan, jika tidak beerti tidak tercapailah tujuan dan hikmah daripada puasa itu.
Hari raya pada tahun ini disambut dalam keadaan negara kita sedang berhadapan dengan wabak selesema babi atau H1N1 yang telah meragut hampir 80 nyawa dan masih belum dapat dikawal dengan baik. Sedarkah kita sebenarnya wabak seperti ini merupakan peringatan daripada Allah terhadap manusia yang mengingkari titah perintahNya dan melakukan laranganNya? Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Tidak lahir perbuatan maksiat di tengah-tengah suatu kaum sehingga mereka melakukannya secara terang-terangan, melainkan mereka akan ditimpa penyakit taun dan penyakit yang belum pernah ada pada generasi-generasi yang terdahulu”.
Berleluasanya maksiat adalah akibat banyaknya hukum Allah tidak dilaksanakan dalam masyarakat dan negara, menyebabkan manusia tidak rasa takut melakukan maksiat dan jenayah sekalipun terdapat undang-undang tetapi bukan undang-undang Allah SWT. Inilah suasana yang kita hadapi sekarang ini, mudah-mudahan Allah memberikan kita kekuatan untuk terus berjuang bagi mendaulatkan Islam di muka bumi ini.
Sempena hari raya yang mulia ini, marilah kita kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah supaya kita betul-betul berada di atas landasan yang benar bagi mendapatkan keredhaan Allah di dunia dan akhirat.
Selamat Hari Raya, Maaf Zahir & Batin.
Ustaz Abu Kassim Manaf
Yang Dipertua,
PAS Kawasan Pekan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment