Sunday 30 November 2008

DR. ASRI : HARI TERAKHIRNYA SEBAGAI MUFTI


Saya masih ingat 2 tahun lalu apabila Dr. Asri ditawarkan ke jawatan Mufti Negeri Perlis , Saya menghubungi beliau dan memberi pendangan berhubung perkara ini . Saya pada waktu itu mengambil sikap tidak bersetuju langkah Dr. Asri menerima jawatan Mufti dan sikap itu diambil berasas rasa bimbang kalau - kalau jawatan itu akan "membunuh" perjuangan beliau .

Sebagai seorang sahabat , biarpun saya menyedari ramai pihak telah memberi galakan dan mengucapkan tahniah kepada beliau , saya ambil sikap berbeda dalam memberi pandangan kepada beliau sekurang - kurang menjadi bahan untuk beliau berfikir dan saya tahu tidak akan dapat merubah apa - apa di atas keputusan yang telah beliau ambil .

Kenapa saya tidak setuju

Jawatan Mufti Kerajaan Negeri di bawah pemerintahan Kerajaan UMNO dan BN sejak sekian lama telah dibekukan peranannya . Jawatan itu laksana pasung puaka bagi mematikan fungsi ulama' dan kerusi empuknya bersama gaji dan elaun yang diberi mampu melumpuhkan jiwa sang mufti sekalipun ia seorang yang berilmu .

Demikianlah realiti Jabatan Mufti dan kedudukan mufti - mufti dalam negara kita sejak sekian lama . Tentu sahaja sebagai seorang sahabat saya menaruh rasa bimbang apabila Dr. Asri menghulurkan kepalanya ke arah pasung puaka itu . Saya bimbang Dr. Asri juga akhirnya seperti mufti - mufti terdahulu yang hanya menjadi boneka UMNO dan BN ( kecuali segelintir yang mampu menongkah arus seperti al Marhum Dato' Ishak Baharum dll ) .

Ternyata kebimbangan saya berasas apabila dapat dilihat bagaimana Dr. Asri terpaksa berhempas pulas menghadapi sumpahan pasung puaka yang saya maksudkan . Cuma apa yang menakjubkan saya ialah Dr. Asri termasuk dalam jumlah segelintir mufti yang tidak mudah dipasung .

Saya bernafas lega , biarpun disana terdapat beberapa isu dan perkara yang saya tidak bersetuju dengannya namun lebih banyak perkara yang telah berjaya dilakukan oleh beliau dan saya bersetuju dengannya .

Institusi Mufti meriah seketika

Sekurang - kurang Dr. Asri memberi warna baru kepada institusi mufti dalam negara kita . Saya sendiri seolah - olah baru tersedar bahawa di negara kita ini rupanya ada institusi mufti apabila sedikit sebanyak suasana negara kita hingar dengan suara mufti negeri Perlis ini . Sebelum ini , berlakulah apa sahaja isu dalam negara , yang membuat kenyataan dan keputusan ialah orang - orang politik dan tentu sahaja pihak pemerintah mendominasi suasana .

Orang agama , majlis fatwa , mufti dan qadhi tidak berani mendahului kenyataan ahli politik dan pemimpin negara yang rata - rata tidak memiliki authoriti untuk bercakap soal yang berkait dengan agama dan hukumnya . ( kecuali pemimpin PAS yang rata - ratanya adalah ulama' yang sedia memahami dan mendalami hal agama )

Mufti Perlis selain kolum tetapnya Pena Mufti di Mingguan Malaysia membelah kesunyian di Institusi Mufti ini dengan pelbagai kenyataan dan hujjahnya menerjah tradisi mufti terdahulu yang lebih suka diam dan membatu diri .

Apa yang lebih menarik , pelbagai pihak bermula dari masyarakat awam hinggalah pemimpin politik seakan - akan menanti episod demi episod kenyataan mufti Perlis dalam apa jua isu yang melanda negara kerana Mufti Perlis pasti sahaja peka dan akan membuat komentar atau pandangannya . Sekalipun sesekali pandangannya mencetuskan kontraversi tetapi pada saya sekurang - kurang masyarakat mempunyai pandangan dari seorang mufti untuk dinilai dan dikaji .

Menambah kesannya apabila kenyataan mufti Perlis menimbulkan kontraversi maka ianya turut dibahas oleh para agamawan di pelbagai peringkat termasuk tokoh agama dan ulama' dari PAS sendiri . Lantaran itu tercetus suasana perbahasan dan perdebatan berkait isu yang tercetus dengan masing - masing mengemukakan hujjah dan nas .

Suasana menjadi segar dengan perbahasan ilmiyyah walaupun di sana ada pandangan yang lemah dan hujjah yang tidak kuat . Secara tidak langsung ia menumbuhkan suasana mengkaji , meneliti , berhujjah berasaskan fakta dan nas . Saya sendiri menjadi seronok dengan keadaan seperti ini setelah sekian lama negara kita hanya hit dan hot dengan perbahasan politik yang penuh dengan pertelingkahan tanpa asas hujjah dan nas yang berteraskan wahyu dan sunnah .

30 November 2008 , Detik akhir bagi Dr. Asri

Hari ini menjelang tengah malam nanti tamatlah tempoh khidmat Dr. Asri sebagai Mufti Negeri Perlis . Sejak awal dulu ( 2 tahun lalu ) meskipun saya pernah tidak bersetuju beliau menjawat jawatan Mufti ini dan beberapa kali juga timbul "khilaf" dan pertembungan atau perbezaan pendapat yang ketara antara saya dengan beliau sepanjang beliau menjadi Mufti dalam berberapa isu , kini saya seperti "sayu hati" pula untuk menyaksi tamatnya tempoh khidmat Mufti yang sering memanaskan suasana perbahasan agama dalam negara kita .

Rasanya institusi mufti negara akan kembali menjadi sepi setelah tiada tokoh seperti beliau yang agak lantang mengkritik malah berani meredah sempadan muftinya untuk turut "campur tangan" dengan idea dan pandangan . Inilah membuatkan sesetengah ahli politik tidak senang duduk dan panas punggung lalu akhirnya Mufti ini menjadi mangsa . Tambahan pula saya mendapat maklumat bahawa ruangan Pena Mufti di Mingguan Malaysia akan ditamatkan setelah ketiadaan beliau kelak .

Saya sendiri tidak tahu sejauh mana dan apa yang sebenarnya berlaku kepada Dr Asri dalam pentadbiran dan politik di negeri Perlis sehingga membawa beliau membuat keputusan mengejut untuk berhenti dari terus berkhidmat sebagai mufti , satu jawatan yang dulunya beliau sendiri secara rela menerimanya .

Tapi saya percaya beliau tahu apa yang beliau lakukan adalah terbaik buat dirinya . Saya juga percaya , banyak perkara yang akhirnya terpaksa beliau pelajari apabila menduduki jawatan mufti meskipun tempohnya tidak lah terlalu lama . Malah saya juga percaya bahawa Dr. Asri kini memahami bahawa sikap saya tidak bersetuju terhadap beliau menerima dan menjadi mufti 2 tahun lalu ada asasnya .

Namun pengalaman yang diambil itu cukup bermakna . Bahkan banyak juga perkara yang dapat dilakukan oleh beliau dan tiada siapa yang dapat menafikannya. Terutama dalam usaha beliau meng"hidup"kan kembali institusi Mufti agar tidak lagi sepi membiarkan hal - hal agama dikupas oleh orang - orang politik yang rakus lagi jahil.

Kalaulah Dr. Asri sertai PAS

Semoga Dr. Asri terus istiqamah memperjuangkan Islam dan kebenarannya walau dimana selepas ini "post" beliau .

Cuma saya membayangkan alangkah baiknya jika Dr. Asri selepas ini menyertaikan kami pula ( PAS ) untuk sama - sama mengaktifkan lagi wawasan perjuangannya dan turun langsung ke medan berhadapan dengan pelbagai pihak untuk menuju mercu perlaksanaan Islam dan syariatnya di Malaysia .

Saya yakin bahawa perjuangan PAS ini bukanlah asing bagi Dr. Asri malah sewaktu kami sama - sama belajar dulu pun , Dr. Asri telah bersama jamaah PAS untuk memperjuangkan Islam . Kalaupun di sana ada perkara yang dilihat oleh Dr. Asri suatu yang bercanggah dengan Islam berlaku dalam PAS , maka beliau boleh malah berhak menegur atau mengkritik lalu merubahnya . Saya percaya PAS senantiasa mahukan kebaikan dan kebenaran . PAS juga tidak akan membenarkan kerosakan dan kemungkaran berlaku dalam partinya.

Kalau Dr. Asri sanggup menyertai Institusi Kerajaan sebagai Mufti sebelumnya sedang kerajaan itu ialah kerajaan UMNO dan BN yang terlalu banyak bergelumang dengan dosa dan maksiat dan Dr. Asri mampu pula menongkah arus , menegur dan mengkritik kerajaan yang menjadi majikannya , maka apa alasannya untuk Dr. Asri tidak bersama PAS dan memperjuangkan Islam bersama PAS sedang PAS sememangnya sebuah Gerakan Islam yang mahukan Islam itu berdaulat .

Saya percaya Dr. Asri juga mampu bersabar menghadapi karenah orang yang tidak bersetuju dengannya sebagaimana sebelum ini beliau juga banyak bersabar menghadapi situasi yang serupa malah lebih hebat dan dahsyat .

Saya berpandangan , penglibatan Dr. Asri bersama PAS kelak akan lebih berkesan untuk beliau mengaplikasikan semangat perjuangannya yang mahu melihat Islam tegak di atas tanahair kita nanti . PAS mengalu - alukan penyertaan orang seperti Dr. Asri.

Mungkin juga selepas ini , Dr. Asri akan berehat seketika setelah sekian lama "bergelut" dalam arenanya yang tersendiri . maka saya memohon petunjuk Allah swt agar Dr. Asri bersama PAS seketika nanti untuk sama - sama kita kembali memacu perjuangan ini . Mudah - mudahan selepas ini lebih besar manafaatnya.

Nasrudin Hassan at-Tantawi

No comments: