Wednesday 31 December 2008

Mantan Pesuruhjaya Pas Negeri Pahang, Ustaz Jamahir Ideris telah kembali kerahmatullah.

Pesuruhjaya PAS Pahang ke 5, Ustaz Jamahir Idris kini telah kembali kerahmatullah pada jam 12.35 pm (30 Dis), setelah sekian lama terlantar di Hospital Besar Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan akibat komplikasi jangkitan kuman di paru-paru.

Beliau yang menetap di Taman Guru, Batu 5 Kuantan sudah beberapa hari dimasukkan ke wad di tingkat 8 hospital tersebut.

Jenazah beliau akan dikebumikan jam 10.oo am ditanah perkuburan bt. 8 Gambang.

Ustaz Jamahir, 84, merupakan salah seorang aktivis awal PAS Pahang yang mendapat pendidikan di Institiut Pengajian Islam, Bandung. Sejarah beliau dalam perjuangan Islam di negara ini bermula apabila berhijrah ke Malaya bersama bapanya pada tahun 1958.

Ustaz Jamahir dilahirkan di Indonesia pada 1924, melibatkan diri dalam PAS sewaktu dalam perjalanan singgah untuk belajar di India. Walau bagaimanapun, hajat belajar tidak tercapai dan terus bergiat cergas dalam perjuangan Islam di Malaya.

Semasa di Indonesia, beliau aktif dalam pertubuhan Masyumi iaitu sebuah gerakan Islam Indonesia yang popular. Pernah menjadi setiausaha Penaja Hizbul Muslimin Cawangan Padang Rengas sebelum para pemimpin utama gerakan tersebut ditangkap penjajah Inggeris.

Ustaz Jamahir dilantik secara rasmi sebagai Pesuruhjaya PAS Pahang pada 20 Jun 1971 selepas Kongres PAS ke 17 di Kuala Lumpur. Sebagai Pesuruhjaya PAS Pahang dan tokoh ilmuan, gerakan tarbiyah dan pendidikan menjadi agenda beliau yang utama.

Bersama rakan yang lain Ustaz Jamahir menaja dan menubuhkan sebuah Sekolah Agama Rakyat di Tanjung Api, Kuantan. Kini sekolah tersebut telah diambil sepenuhnya oleh kerajaan negeri dan dikenali sebagai Sekolah Menengah Agama Al-Ihsan.

Ustaz Jamahir Ideris memegang jawatan Pesuruhjaya selama lapan tahun berakhir pada tahun 1977.

Beliau antara tokoh yang mendapat sanjungan atas kegigihan dan dianugerahkan sebagai Tokoh PAS Pahang dalam Perayaan Sambutan 40 Tahun PAS di Sungai Gau, Temerloh pada tahun 1992. Jawatan itu kemudiannya diamanahkan pula kepada Allahyarham Hj. Mohd Rusdi Ariff (1977).

Dupahang

Friday 12 December 2008

Bacalah media sumber parti - Ketua Dewan Ulama PAS Pahang

Ketua Dewan Ulama PAS Pahang, Ustaz Abu Kasim Manaf mahu ahli-ahli PAS mempertingkatkan tahap intelektual dengan mempertingkatkan pembacaan dari sumber media alternatif.

Katanya, beliau tidak berpuas hati dengan tahap pembacaan ahli kerana hanya antara 20 -30 peratus sahaja ahli parti membeli media keluaran parti.

Ini, katanya tidak mencukupi kerana kita memerlukan ahli-ahli yang mempunyai pengetahuan yang mendalam dan memahami isu semasa.

“Ahli PAS adalah penyampai maklumat parti dan menyebarkanya kepada rakyat, bagaimana mereka memahami isu jika mereka tidak membacanya daripada sumber parti,” katanya ketika berucap pada Majlis sambutan Aidil Adha di Darul Amin, Sungai gau dekat sini.

Menurut Ustaz Abu Kasim maklumat yang tepat perlu disampai kepada rakyat dengan cepat dan tepat.

Justeru, beliau berkata ahli perlu menggunakan apa sahaja medium yang ada seperti blog peribadi, ceramah , kuliah, penulisan dan sebagainya bagi menghubungkan parti dan rakyat.

Beliau bimbang, trend menolak sumber parti akan memberi kesan nagetif kepada PAS dan Pakatan Rakyat untuk jangka masa panjang.

“Yang penting rakyat mendapat maklumat dari sumber yang sah dan tepat bukan dari media lawan yang akan menyelewengkan fakta dan diolah mengikut kepentingan mereka,” ujarnya.

Abu Kasim yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Pekan berkata, manusia hari ini gemar mempertikaikan hukum Allah sedangkan apa sahaja perintah Allah pastinya membawa kebaikan kepada manusia.

“Perintah dan hukum Allah pastinya baik, yang buruk ialah hukum selain daripada hukum Allah, keyakinan (hukum Allah pastinya yang terbaik) ini mesti sedisemat kukuh didalam diri kita begitulah sebaliknya yang buruk adalah hukum lain daripada hukum dan peraturan Allah,” tegasnya.

Basiron Abdul Wahab

Thursday 11 December 2008

Presiden Kesatuan Eropah kagumi kepimpinan Nik Aziz


Presiden Kesatuan Eropah,Marc Barety melahirkan rasa kagum di atas corak pentadbiran yang diamalkan oleh pimpinan Tuan Guru Dato'Nik Abdul Aziz di negeri Kelantan.

Beliau berkata demikian, ketika mengetuai seramai 14 peserta lawatan sambil belajar terdiri daripada Duta dan wakil kesatuan Eropah (EU) yang berkunjung ke negeri Kelantan baru-baru ini.

Delegasi tersebut terdiri dari negara Perancis, Republik Chech,Poland, Hungary,Slovakia, Austria, Sweden, United Kingdom,Belgium, Romania,Italy,Denmark dan Findland .

Rombongan deligasi tersebut telah disambut oleh Menteri Besar Kelantan,Tuan Guru Dato'Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kompleks Kerajaan Darulnaim.

Sementara itu di sidang media, Tuan Guru berkata kunjungan delegasi dari EU ini memberi erti kerajaan Kelantan mendapat pengiktirafan dan penghormatan dari kaca mata dunia, beliau mengucapkan jutaan terima kasih di atas kesudian mereka berkunjung ke negeri Kelantan.

Tuan Guru juga berkata beliau telah ditanya berkaitan dengan perbezaan corak pentadbiran dengan pusat dan beliau menegaskan bahawa selagi corak pentadbiran Pusat tidak berlandaskan Islam, selagi itulah kami akan menegurnya.

Beliau juga berkata selepas kerajaan PAS mengambil alih Kelantan, beliau terus menukarkan semua akaun bank milik kerajaan kepada bank Islam yang tidak berlandaskan riba dan kini sudah banyak bank-bank yang menawarkan sistem perbankan tanpa riba.

Menyentuh kepada pemimpin sesebuah negeri ianya tidak semestinya keturunan melayu, Kaum lain seperti Cina juga boleh menjadi ketua negeri asalkan ia seorang yang alim dan warak serta menurut perintah Allah SWT.

"Sebab itulah kini,kita lihat adanya kelab penyokong PAS dari kaum-kaum lain, mengapa mereka tak tubuh kelab penyokong Umno kalau Umno itu betul gak,"ujar beliau.

Kerajaan Kelantan kini juga mempunyai penghulu dari kaum-kaum lain bagi merapatkan hubungan sesama kaum di negeri ini tanpa mengira agama.

Dari segi ekonomi pula, kerajaan beranggapan ekonomi tidak salah tetapi ahli ekonomi yang telah membunuh ekonomi itu sendiri, riba telah diteruskan secara berleluasa.

"Islam melarang duit membuat duit,mana boleh kita duduk diam-diam,duit datang berterusan,itu namanya riba, sebab itulah Kelantan dari awal lagi bila nak bagi pinjaman pada kakitangan untuk pembelian rumah,kenderaan dan komputer,mereka tidak dikenakan riba dan ini amat menyenangkan hati rakyat negeri ini,"katanya lagi.

Manakala ketika ditanya tentang pelaburan di negeri ini, Tuan Guru berkata ia tidak dibincangkan bersama delegasi ini,namun kerajaan negeri tidak akan menghalang mana-mana negara luar yang ingin melabur dalam sektor perhotelan dan industri asalkan ianya tidak melanggar peraturan teras dari negeri ini seperti dalam bidang perhotelan, mereka mestilah tidak menyediakan kemudahan berjudi,minuman dari alkohol dan pelbagai kegiatan maksiat.

Sementara itu, Marc Barety pula melahirkan rasa kagum di atas corak pentadbiran yang diamalkan oleh pimpinan Tuan Guru Dato'Nik Abdul Aziz dan beliau tidak merasa janggal walaupun corak pentadbiran negeri ini berbeza dengan negeri lain seperti Sabah dan kedah yang sebelum ini pernah dikunjungi beliau.

"Pentadbiran sebegini akan berterusan kerana ia dipilih secara demokrasi dan ia tidak menimbulkan sebarang masalah kepada rakyatnya,"ujar beliau.

Sementara itu, isteri delegasi tersebut turut diraikan oleh isteri Menteri Besar,Datin Hajjah Tuan Sabariah Tuan Ishak,mereka dibawa ke pusat kraftangan dan Pusat Batik di sekitar bandar Kota Bharu.

Harakah

Sambutan I'dul Adha, 6 ekor lembu dikorbankan

PEKAN- Sambutan Hari Raya I'dul Adha di kawasan Pekan disambut dengan meriah pada tahun ini. Sebanyak enam ekor lembu telah disembelih. Kesemua daging tersebut dibawa ke Surau Sepekan Jaya untuk dilapah dan diagih-agihkan ke seluruh kawasan.

Pada malamnya, PAS Kawasan telah mengadakan kenduri hari raya korban di surau ini bermula dengan solat maghrib dan disusuli oleh kuliah maghrib yang disampaikan oleh AJK PAS Kawasan Pekan, Ustaz Othman Bakar. Selepas solat Isyak, para jemaah menjamu selera di perkarangan Surau Sepekan Jaya...


Ustaz Othman Bakar sedang menyembelih lembu di Pulau Manis


Ustaz Haris sedang menyembelih lembu


Sedia untuk dilapah


Suasana di Pulau Manis


En. Nazhar (berbaju putih) sedang melapah daging di Surau Sepekan Jaya


Kelihatan 'Mat Sabu Pekan' (berbaju oren) sedang memeriksa daging


Pekerja sedang melapah daging dengan penuh tumpuan


Para jemaah sedang mengambil lauk daging korban untuk dimakan


Suasana kenduri I'dul Adha di Surau Sepekan Jaya


Antara pimpinan PAS Kawasan yang sedang menjamu selera

Sunday 7 December 2008

Perdana Menteri jangan lepaskan jawatan - Presiden PAS

Presiden PAS mencadangkan agar Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi terus menjalankan tugas-tugasnya sebagai Perdana Menteri walaupun melampaui tarikh penyerahan kuasa yang disepakati dalam Umno iaitu pada bulan Mac 2009 nanti.

Ini kerana menurut Dato' Seri Tuan Guru Hj. Abd. Hadi Awang, beberapa perkara besar yang melibatkan pentadbiran negara termasuklah sebahagiannya yang merupakan janji Abdullah kepada rakyat Malaysia amnya masih belum tertunai.

"Penubuhan Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia, umpamanya masih di peringkat rang undang-undang dan berkemungkinan akan mengambil masa dan belum dapat dilaksanakan sepenuhnya.

"Begitu juga dengan Suruhanjaya Kehakiman yang sepatutnya mengembalikan kewibawaan badan kehakiman, masih belum terlaksana," katanya yang dipetik daripada satu kenyataan media kepada Harakahdaily semalam.

Ustaz Hadi turut merasakan Abdullah wajar menyelesaikan beberapa tuntutuan ke arah penambahbaikan urusan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) yang masih diragui oleh rakyat Malaysia sehingga kini.

"Biarlah segala ketempangan dan kepincangan badan yang sepatutnya menguruskan proses pilihan raya dalam negara ini secara telus, dirawat dan diperbaiki sebelum beliau melepaskan jawatannya,"katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Oleh itu katanya, demi memberi peluang kepada Abdullah bersara dalam keadaan yang baik, maka PAS menyeru agar beliau diberikan masa untuk menyelesaikan tugas-tugas besar ini dan tidak harus melepaskan jawatannya pada bulan Mac 2009 nanti selagi tugas-tugas berkenaan tidak selesai sepenuhnya.

Ustaz Hadi kini berada di Tanah Suci Mekah kerana menunaikan ibadat Haji dan merakamkan ucapan Hari Raya Eidul Adha kepada umat Islam Di Malaysia.

"Saya mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Eidul Adha kepada semua umat Islam khasnya di Malaysia dan menyeru agar mereka menghayati falsafah Hari Raya Korban agar dapat dilaksanakan dalam kehidupan seharian," katanya.

Harakah

Saturday 6 December 2008

Isu Yoga - Dewan Ulamak PAS Gesa Semua Pihak Hormati kajian Ilmuwan Islam dan Majlis Fatwa

Merujuk kepada fatwa pengharaman amalan Yoga yang menggabungkan amalan fizikal, unsur-unsur keagamaan, mentera dan pemujaan bagi tujuan tertentu seperti mendapatkan ketenangan dan kemuncaknya, penyatuan diri dengan tuhan atau tujuan-tujuan lain. Ianya adalah tidak sesuai dengan umat Islam dan boleh merosakkan akidah seorang muslim. Fatwa ini telah dikeluarkan daripada hasil perbincangan oleh Ahli Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada 22–24 Oktober 2008 di Kota Bharu, Kelantan.

Pihak Majlis Penyelidikan dan Penjelasan Hukum (MPPH), Dewan Ulamak PAS Pusat, menggesa masyarakat Malaysia agar menghormati keputusan itu.

Dewan Ulamak PAS Pusat

Apakah Hukum Merokok Atau Rokok Itu Sendiri ?

Fatwa Oleh : Profesor Dr. Yusof Al-Qardawi

1 - Pendahuluan
2- Sebab diharamkan
3- Mudarat harta
4- Mudarat penghambaan
5- Merokok diharamkan di sisi syarak

1. Pendahuluan

Segala pujian bagi Allah, selawat dan salam kepada pesuruhNya ( Nabi Muhammad S.A.W ),ahli keluarganya, sahabat-sahabat juga orang-orang yang mengikut jejak langkahnya.

Sesungguhnya telah muncul pokok ini yang dikenali dengan nama “ والتتن ” التمباك “ والتبغ والدخان “ di akhir kurun ke sepuluh hijrah. Oleh kerana pokok ini digunakan secara meluas di kalangan orang ramai, maka ianya telah memaksa alim ulama di zaman itu membahas dan mengkajinya untuk memberi penjelasan hukum dari segi syarak.

Memandangkan masalah ini adalah masalah baru, tidak ada hukum yang dikeluarkan oleh Fuqaha, Mujtahidin yang lalu serta ulama-ulama selepas mereka dari kalangan Ahli Takhrij dan Tarjih dalam mazhab berkenaan perkara ini. Mereka juga tidak mendapat gambaran yang jelas tentang hakikat dan implikasinya berdasarkan kajian ilmiah yang betul, maka berlakulah perbezaan pendapat yang ketara di kalangan ulama pada waktu itu. Ada di kalangan mereka yang memfatwakan haram, ada yang memfatwakan makruh, ada yang mengatakannya harus dan ada yang mengambil sikap berdiam diri tanpa membincangkannya. Fenomena ini juga berlaku kepada ke empat-empat mazhab ahli sunnah waljamaah.

Justeru itu kita tidak boleh menisbahkan kepada mana-mana mazhab, pendapat atau fatwa yang nengatakan merokok itu harus atau haram atau makruh.

Nyata kepada saya bahawasanya perbezaan pendapat di kalangan ulama mazhab-mazhab, ketika permulaan munculnya rokok, penggunaannya begitu meluas dan berlaku perbezaan di antara mereka dalam mengeluarkan hukum tentangnya, bukanlah perbezaan dari segi dalil-dalil, bahkan perbezaan berlaku dalam menentukan `ilat (مناط ) yang ada pada rokok.

Ada di kalangan mereka yang mendakwa terdapat beberapa manafaat atau faedah pada merokok. Ada juga ulamak yang mendakwa terdapat mudarat dan manafaat yang sama berat pada rokok. Terdapat juga ulamak yang tidak menyabitkan apa-apa faedah pada rokok tetapi menafikan terdapat mudarat pada rokok. Ini bermakna sekiranya mereka dapat memastikan ada mudarat pada perkara ini, pasti mereka mengharamkannya tanpa wujud perdebatan.

Di sini kami berpendapat untuk menyabitkan ada dan tidak ada implikasi buruk terhadap tubuh badan pada rokok dan benda-benda lain yang ada unsur ketagihan, ianya bukan bidang kuasa ahli feqah, bahkan ianya adalah bidang kuasa ahli perubatan dan penganalisis. Merekalah sepatutnya yang dirujuk dalam masalah ini kerana mereka adalah ahli sains dan banyak pengalaman. Firman Allah S.W.T yang bermaksud :” Tanyalah orang yang tahu tentang perkara itu”, “ Tidak boleh menceritakan kepada engkau seperti mana orang yang alim”.

Secara umumnya para doktor dan penganalisis sebulat suara menjelaskan implikasi buruk merokok ke atas tubuh badan secara umum, dan secara khususnya terhadap paru-paru dan organ pernafasan, seterusnya boleh membawa kepada kanser paru-paru. Inilah faktor yang meyebabkan masyarakat dunia sejak tahun-tahun kebelakangan ini menyeru agar berhati-hati terhadap aktiviti merokok.

Sepatutnya di zaman kita ini para ulamak sepakat membuat keputusan ini. Sesungguhnya keputusan ahli feqah dalam masalah ini diasaskan atas pandangan pakar perubatan. Bilamana pakar perubatan menjelaskan bahawa gejala ini (merokok) meninggalkan implikasi buruk kepada kesihatan manusia, sepatutnya ahli feqah menetapkan hukum haram kepada aktiviti merokok, kerana setiap perkara yang menyebabkan kesan buruk kepada kesihatan manusia mesti diharamkan di sisi syarak.

2. Sebab diharamkan:

Ada sesetengah orang mengatakan “ Bagaimanakah mereka boleh mengharamkan pokok ini tanpa nas ? “

Jawapannya :
Sesungguhnya tidak mesti penggubal undang-undang menaskan setiap satu perkara-perkara yang diharamkan, memadailah mereka menetapkan garis panduan atau kaedah-kaedah yang akan termasuk di bawahnya pecahan-pecahan dan unit-unit. Kaedah-kaedah ini boleh membataskannya. Adapun perkara-perkara yang khusus maka tidak mungkin membataskannya.

Memadai bagi penggubal undang-undang mengharamkan sesuatu yang jelek dan memudaratkan, supaya termasuk di bawahnya kebanyakan makanan dan minuman lain yang juga mempunyai unsur jelek dan memudaratkan. Kerana inilah ulamak sepakat mengharamkan pokok Hasyisyah ( pokok yang menyebabkan ketagih ) dan pokok lain yang mempunyai unsur ketagihan, walaupun tidak ada nas tertentu yang mengharamkannya secara khusus.

Imam Abu Muhammad Bin Hazam Azzahiri, kita sedia maklumi dia seorang yang berpegang dengan zahir nas, walaupun begitu beliau tetap mengharamkan sesuatu yang memudaratkan dengan memakannya, kerana berpegang dengan nas-nas yang umum. Beliau mengatakan : “Setiap sesuatu yang boleh memudaratkan maka ianya adalah haram, berdasarkan sabda nabi S.A.W yang bererti : “ Sesungguhnya Allah mewajibkan berlaku ihsan terhadap sesuatu, maka sesiapa memudaratkan dirinya sendiri atau orang lain maka dia telah tidak melakukan ihsan dan sesiapa yang tidak melakukan ihsan, maka dia telah menyalahi ketetapan, iaitu ketetapan Allah mesti melakukan ihsan terhadap segala sesuatu.”

Boleh juga menjadikan dalil untuk hukum ini, sabda Nabi S.A.W yang bererti : “ tidak boleh memudaratkan dan tidak boleh dimudaratkan” , begitu juga firman Allah yang bermaksud : “ Janganlah kamu membunuh diri kamu, sesungguhnya Allah sangat mengasihi kamu”.

Antara ungkapan feqah yang paling baik berhubung pengharaman memakan makanan yang boleh memudaratkan ialah ungkapan Iam Nawawi didalam kitab Raudah , beliau berkata ; “Setiap sesuatu yang memudaratkan apabila dimakan seperti kaca, batu, racun maka hukum memakannya adalah haram. Setiap sesuatu yang suci yang tidak menimbulkan mudarat memakannya maka hukum memakannya adalah halal kecuali sesuatu yang dianggap jelek seperti mani dan hingus, maka memakannya adalah haram mengikut pendapat yang betul. Harus meminum ubat yang mengandungi sedikit racun yang tidak membahayakan, jika diperlukan”.

3. Mudarat Harta

Manusia tidak harus membelanjakan hartanya kepada perkara yang tidak berfaedah sama ada di dunia atau akhirat, kerana mereka sebenarnya pemegang amanah ke atas harta yang ditinggalkan kepada mereka. Sebenarnya kesihatan dan harta adalah dua amanah Allah, maka tidak harus manusia memudaratkannya atau mensia-siakannya. Kerana hakikat inilah, maka Nabi S.A.W melarang seseorang mensia-siakan hartanya.

Perokok membeli kemudaratan dirinya dengan kesucian hartanya, ini tidak harus di sisi syarak. Firman Allah yang bermaksud : “ Janganlah kamu membazir,sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang membazir”.

Tidak ragu-ragu lagi bahawa menghabiskan harta dengan merokok adalah perbuatan mensia-siakan harta. Maka bagaimana pula jika di samping merosakkan harta (kerosakan yang diyakini berlaku atau tidak yakin ) wujud juga perbuatan merosakkan badan ?

4. Mudarat Penghambaan

Di sana ada kemudaratan lain yang biasanya tidak disedari oleh penulis-penulis mengenainya, iaitulah kejiwaan, saya maksudkan dengan mudarat jiwa ialah kebiasaan merokok dan seumpamanya akan memperhambakan jiwa manusia dan seterusnya kebiasaan yang hina ini akan menjadikan jiwa manusia sebagai mangsanya. Manusia tidak mampu meloloskan diri daripadanya dengan mudah apabila mereka ingin melakukannya pada sesuatu ketika kerana sebab-sebab tertentu, seperti kemunculan bahaya pada badannya, menampakkan kesan yang negatif dalam pendidikan anaknya ataupun kerana keperluannya yang mendesak untuk membelanjakan harta pada benda lain yang lebih berguna dan sepatutnya ataupun untuk sebab-sebab lain.

Melihatkan kepada mudarat penghambaan jiwa ini , kami mendapati sesetengah perokok sanggup menganiayai makan minum anak-anaknya dan perbelanjaan asas keluarganya, kerana ingin memuaskan tabiatnya ini, kerana dia sememangnya sudah tidak boleh dianggap orang yang mampu membebaskan diri daripadanya. Di suatu hari nanti apabila perokok telah menjadi lemah seumpama ini, kehidupannya pasti goyah, pertimbangannya jadi tidak seimbang, keadaannya hina, pemikirannya bercelaru dan emosinya mudah tertekan kerana satu-satu sebab atau tanpa sebarang sebab. Tidak ragu-ragu lagi kemudaratan seumpama ini patut diambil kira dalam mengeluarkan hukum merokok.

5. Merokok diharamkan di sisi syarak

Di zaman kita ini tidak ada pendapat yang boleh menghalalkan merokok dalam apa bentuk sekalipun, selepas Persatuan Sains Perubatan membicarakan panjang lebar implikasi buruk merokok serta kesannya yang negatif, golongan elit dan orang awam juga mengetahui keburukan merokok dan dikuatkan lagi oleh perangkaan.

Apabila telah gugur pendapat bahawa merokok harus secara mutlak, maka yang ada hanyalah pendapat makruh dan haram. Sesungguhnya telah jelas kepada kita melalui perbincangan lalu bahawa hujjah haram merokok lebih kemas dan mantap. Inilah pendapat kita . Perbincangan lalu juga dijadikan garis panduan bagi memastikan terdapat mudarat pada tubuh badan, mudarat pada harta, dan mudarat pada jiwa dengan sebab merokok secara berterusan. Sesungguhnya setiap perkara yang boleh menjejaskan kesihatan manusia ianya mesti diharamkan di sisi syarak.

Allah Taala berfirman dan maksudnya : “ Dan janganlah kamu campakkan diri-diri kamu ke kancah kebinasaan”, “ Dan janganlah kamu membunuh diri-diri kamu, sesungguhnya Allah amat mengasihi kamu” , “ Dan janganlah kamu membazir, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang membazir”. “ Dan janganlah kamu melakukan pembaziran,sesungguhnya orang-orang yang membazir adalah saudara syaitan.” Di sana ada kemudaratan tubuh badan dan di sana juga ada kemudaratan harta benda, maka menggunakan sesuatu yang memudaratkan manusia adalah diharamkan, berdasarkan firman Allah yang bermaksud : “ Janganlah kamu membunuh diri-diri kamu” . Kerana fakta inilah wajib kita berfatwa, merokok adalah haram di zaman kita ini.

Hakikat yang tidak boleh diragukan lagi bahawa kalangan doktor sepakat mengatakan terdapat kesan yang sangat buruk dalam aktiviti merokok. Benar kesan buruknya tidak segera tapi beransur-ansur. Namun kesan mudarat segera dan beransur-ansur adalah sama saja dari segi haramnya. Racun yang memberi kesan lambat atau segera sama saja, kedua-duanya diharamkan.

Manusia tidak harus memudaratkan atau membunuh dirinya dan mereka juga tidak boleh memudaratkan orang lain. Berkenaaan ini Nabi S.A.W bersabda : “ Tidak memudaratkan dan tidak boleh dimudaratkan “ , iaitu engkau tidak boleh memudaratkan diri engkau dan orang lain.

Merokok meninggalkan implikasi yang sangat buruk kepada diri manusia mengikut kesepakatan doktor sedunia, lantaran ini kerajaan-kerajaan sedunia mewajibkan syarikat yang mengiklan rokok menyebut “ Merokok Membahayakan Kesihatan”, selepas mereka yakin merokok memudaratkan semua orang. Justeru itu golongan fuqaha tidak boleh berselisih pendapat tentang mengharamkan merokok.

Lima unsur asasi yang disebut oleh ahli-ahli usul dan orang yang mendalam dalam bidang agama, serta mewajibkan supaya bersungguh-sungguh dijaga dan tidak boleh dimudaratkannya, ialah Agama, Jiwa, Akal, Keturunan dan Harta Benda. Maka kesan merokok terhadap agama : ada di kalangan orang ramai tidak dapat berpuasa di bulan Ramadhan lantaran tidak dapat menahan diri dari merokok.

Keturunan turut menerima kesan buruk dari merokok, samada perokok itu salah seorang dari ibu, bapa atau kedua-duanya. Bahkan janin akan menerima kesan buruk ekoran ibu yang merokok. Ini bermakna perokok tidak memudaratkan dirinya sahaja bahkan ianya turut memudaratkan orang lain. Di sini ada yang dinamakan merokok secara terpaksa ataupun merokok dengan paksaan. Ini boleh berlaku melalui orang lain yang merokok tanpa rasa malu, sedangkan dia tidak merokok, dia hanya menyedut asap rokok secara tidak langsung ketika dia duduk berhampiran perokok atau berada di persekitaran yang ada aktiviti merokok.

Maka anda wahai perokok, secara tidak langsung anda telah memudaratkan diri anda sendiri dan juga orang lain. Maka kerana kemudaratan ini dan kemudaratan yang lain merokok mesti diharamkan dan ulamak mesti sepakat mengharamkannya. Sesungguhnya ada sesetengah ulamak meletakkan sebagai paksi sebilangan besar hukum merokok di atas kemampuan kebendaan sahaja. Maka haram merokok bila mana perokok berada dalam kesempitan duit untuk merokok dan makruh bagi orang yang mampu membeli rokok. Ini adalah pendapat yang tidak betul dan tidak mantap.

Para ulamak dan doktor sedunia sepakat, menjadikan faktor mudarat tubuh badan dan mudarat jiwa sebagai satu faktor besar dalam menentukan hukum merokok, di samping mudarat harta. Sesungguhnya orang kaya tidak berhak membelanjakan dan menghabiskan hartanya dengan sewenang-wenangnya, kerana hartanya itu sebenarnya milik Allah dan masyarakat.

Orang Islam yang rasional sepatutnya menjauhkan diri dari penyakit yang merosakkan ini, kerana rokok telah diyakini mempunyai unsur-unsur yang jelek, ianya tidak tergolong dalam makanan yang berkualiti lantaran tiada faedah samada untuk dunia dan akhirat.

Nasihat saya kepada pemuda-pemuda secara khusus, supaya mereka mengelak diri dari terjebak dengan penyakit yang boleh merosakkan kesihatan mereka, melemahkan kekuatan dan kesuburan mereka. Mereka hendaklah tidak menjadi mangsa kekeliruan yang dibayangkan kepada mereka, bahawa merokok adalah tanda kelelakian dan tanda peribadi merdeka.

Mana-mana individu dari kalangan pemuda yang terlibat dengan aktiviti merokok, mampu melepaskan diri daripadanya dan mengalahkannya (kerana beliau masih diperingkat awal ) sebelum penyakit ini bertapak kukuh dan mengalahkannya jika tidak nanti sukar baginya melepaskan diri dari cengkamannya kecuali orang yang diberi rahmat oleh Allah.

Menjadi tanggungjawab media massa memfokuskan kempen yang teratur dengan berbagai cara untuk menjelaskan keburukan merokok. Tanggungjawab penyusun skrip, pengeluar dan penerbit filem, teater dan drama bersiri pula ialah mengekang propoganda ke arah merokok dengan mempamerkan rokok dalam gambaran yang sesuai dan tidak sesuai pada setiap keadaan.

Tanggungjawab kerajaan pula ialah berganding bahu membasmi penyakit ini dan membebaskan rakyat dari bahananya walaupun kerajaan mengalami kerugian cukai berjuta-juta, namun kesihatan rakyat dan anak bangsa dari segi jasmani dan spiritual lebih penting dan berharga dari wang ringgit. Sebenarnya kerajaan menanggung kerugian dari segi kebendaan ketika mana kerajaan mengizinkan merokok. Ini adalah kerana kos yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk menjaga pesakit yang menghidap pelbagai penyakit dan ancaman ekoran aktiviti merokok berlipat kali ganda melebihi hasil kutipan cukai yang dikenakan ke atas tembakau, kalau dibandingkan kerugian ekoran kekurangan produktiviti negara dengan sebab ramai perokok tidak dapat menjalankan tugas lantaran menderita pelbagai penyakit.

Kami memohon ke hadrat Allah Taala agar menyinari hati-hati kami memberi kefahaman yang mendalam kepada kami tentang agama kami, mengajar apa yang boleh memberi faedah kepada kami, memberi faedah dengan sesuatu yang kami telah tahu, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi hampir dengan hamba-hambaNya. Selamat dan salam ke atas penghulu kami Muhammad S.A.W, ahli keluarganya dan sahabat-sahabatnya.

WALLAHU A`LAM

http://www.qaradawi.net/

Friday 5 December 2008

Al-Quran sumber perundangan utama - Lim Guan Eng

Al-Quran penting sebagai sumber perundangan utama dan mampu melahirkan masyarakat madani yang berakhlak tinggi, berintergriti yang bersesuaian dengan prinsip 'Amar Ma'ruf, Nahi Mungkar' dan Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT).

Demikian antara ucapan yang disampaikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam majlis penghargaan kepada 102 orang penghafal dan pengajar Al-Quran yang memberi khidmat di negeri itu baru-baru ini.

Kerajaan Pulau Pinang dalam majlis tersebut memberikan sumbangan Rm300.00 seorang dan sijil penghargaan kepada 102 orang penghafal dan pengajar Al-Quran yang memberi khidmat di negeri itu baru-baru ini.

Program yang diadakan di Dewan Seminar Komplek Penyayang itu menyaksikan Lim mengotakan janjinya supaya pengajian al-Quran dimajukan supaya masyarakat dapat diselamatkan apabila kandungan al-Quran dihayati bukan diketepikan sebagaimana sebelum ini.


Turut serta dalam program yang dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato' Seri Utama, Dr Haji Abdul Rahman Abbas itu ialah Timbalan Ketua Menteri 1, Mohamad Fairus Khairudin, Exco Hal Ehwal Pengguna Negeri, Abdul Malek Kasim dan Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Tebatan Banjir Negeri, Law Choo Kiang, Timbalan Mufti Negeri, Haji Suleh Wan Kurdi Jalaludin dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Haji Sazali Hussein.

Kelihatan sama ialah pimpinan PAS yag diketuai oleh Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Saleh Man; Ketua Dewan Ulama' PAS Negeri, Ustaz Soid Mohd Amin; Bendahari PAS Negeri, Ustaz Khalid Man; Penolong Setiausaha PAS Negeri, Haji Jamil Abdul Rahman dan Yang Dipertua PAS Tanjung, Yaacob Omar.

Menurut beliau lagi, nilai keharmonian lebih terserlah seandainya setiap agama mematuhi ajaran yang diamalkan begitu juga Islam jika dilengkapi dengan pengetahuan yang tinggi tentunya melahirkan sebuah masyarakat yang sempurna jauh daripada ketidak tamadhunan.

"Saya tidak menafikan golongan penghafal al-Quran begitu penting bagi Umat Islam khususnya dalam memastikan al-Quran yang menjadi sumber perundangan utama tetap terpelihara, " ujarnya ketika berucap dalam majlis penyampaian sumbangan ikhlas kepada 102 para Huffaz.

Tegasnya, hanya mereka yang tabah sahaja dapat mencapai tahap tersebut kerana tanpa displin, kuat dan sabar seseorang itu mustahil boleh melakukan kerja berkenaan.

Lim percaya melalui al-Quran masyarakat Madani yang berakhlak tinggi, berintegriti bersesuai dengan pronsip 'Amar Ma'ruf, Nahi Mungkar' dan Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT) akan menjadi kenyataan.

"Usaha Kerajaan Pakatan Rakyat berlainan dengan usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) iaitu mahu membentuk insan yang bermutu berguna pada semua keadaan, " katanya.

Justeru itu, kemunculan lebih ramai Hafiz secara langsung dapat membantu merealisasikan impian matlamat Kerajaan Negeri mengwujudkan modal insan kelas pertama yang boleh menyelamatkan masyarakat daripada terus hanyut dengan masalah yang melanda.

Bagi menjayakan impian sesetengah pihak Hufaz semestinya menonjolkan bakal yang ada untuk menerokai alam profesional selain keusahawanan dan politik yang baik dan jauh daripada sikap menipu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri I, Fairuz Khairudin pula bercadang menubuhkan Jawatankuasa Khas Tahfiz Pulau Pinang di mana jawatankuasa ini akan menjemput panel penguji antaranya Dato' Haji Abu Hasan Din Al-Hafiz.

Jawatankuasa ini bertindak mengiftiraf para Huffaz untuk menjadi imam di samping mengajar di serata pelusuk negeri ini selari dengan sasaran melahirkan 'satu keluarga Islam satu hafiz'.

"Kita letakkan sasaran ini kerana saya tahu tiada yang lebih baik melainkan mereka yang meghafalkan isi al-Quran dan melaksana dalam kehidupan. Apabila kita mahu melahirkan para hafiz bukan beliau seorang sahaja yang bertanggungjawab sebaliknya seluruh keluarganya perlu bersiap untuk penyediaan suasana terebut, " terang beliau.

Harakah

Monday 1 December 2008

Hari Terakhir Saya Sebagai Mufti Perlis..

Hari ini adalah hari terakhir saya sebagai Mufti Perlis. Ini bererti, Pena Mufti kali ini adalah Pena yang akhir daripada saya bagi ruangan ini. Menjelang jam 12 malam ini, maka tamatlah tugasan saya sebagai seorang mufti di Negeri Perlis. Insya Allah, pada jam 10.45 pagi esok (hari ini) saya akan bertolak ke United Kingdom bagi cuti sabatikal saya. Saya akan menyempurnakan –dengan izin Allah- kajian perbandingan mengenai tafsiran hadis antara fundementalis dengan orientalis.

Dua tahun sebulan saya menjadi mufti. Izinkan saya pada hari ini menceritakan sedikit pengalaman yang ringkas dalam tempoh tersebut. Bukan untuk menunjuk-nunjuk, sekadar berkongsi pengalaman dengan para pembaca yang selalu setia. Jika ada yang baik boleh diambil manfaat, jika ada yang buruk, wajar dijauhi.

Pada hari saya dijemput ke Perlis untuk menjadi mufti saya berfikir panjang apakah yang mampu untuk saya lakukan mengenai perubahan kefahaman dan minda rakyat. Mampukan saya menghadapi corak warna yang sukar diubah yang menguasai suasana. Beberapa hari selepas tawaran itu datang, Ramadan menjelang. Saya yang teramat lemah dan kerdil ini mengambil kesempatan dari dataran Ramadan yang penuh rahmat memohon pertolongan Allah agar diberikan kekuatan dan kemampuan agar saya mampu melakukan sesuatu.

Selepas ramadan itu, saya pun menerima tugas sebagai Mufti Perlis dan cuba melakukan tanggungjawab yang saya percaya saya patut lakukannya. Bermula pada saat itu, saya belum berehat menghadapi berbagai isu yang saya utarakan atau yang muncul dalam masyarakat. Atas slogan: “Kembalikan imej Islam” , “Islam dibina atas dalil dan fakta”, “Islam itu mudah”, “Islam memusuhi kebodohan”, saya berkuliah di sana-sini, berucap dalam berbagai majlis, membentangkan kertas kerja, memberikan pandangan yang berbagai di media, memenuhi berbagai rancangan televisyen, menghadiri berbagai dialog, menulis sekitar seratus lebih artikel yang melahirkan berbagai diskusi sepanjang dua tahun, menghasilkan buku, membuka laman web yang mendapat sambutan yang amat menggalakkan, berunding dan berbincang dengan berbagai pihak, pertubuhan, artis, pelajar dan lain-lain.

Namun saya terus yakin, masih ada ruangan baki tenaga yang barangkali saya belum gunakan sepenuhnya. Ada waktu saya terbuang kerana bersembang dan ceria bersama rakan dan sahabat yang kadang-kala mengambil masa yang lebih daripada yang patut. Ada juga ruang waktu santai yang kadang-kala mungkin boleh untuk dikurangkan.

Pun bagitu dalam tempoh dua tahun itu saya juga beberapa kali demam yang disebabkan lebihan bebanan kerja. Memerah otak lebih penat daripada memerah tenaga. Alhamdulillah, tidak boleh dinafikan juga, sokongan Kerajaan Perlis yang lepas dan Istana Perlis yang memberi ruang serta tidak pernah mengongkong saya adalah antara faktor yang melancar segala usaha.

Merubah bukit dan gunung kadang kala lebih ringan dari merubah minda manusia yang berakar umbi sekian lamanya. Bukit dan gunung jika diubah tidak akan bercakap, tetapi manusia jika kita ingin mengubah mindanya yang patut diubah, jika mereka tidak bersetuju, mereka bukan sahaja menolak, tetapi merencana untuk bertindak dan kita akan menghadapi padahnya. Bukit dan gunung tidak akan akan berdusta dan membuat cerita bohong mengenai kita, tetapi manusia yang tidak bersetuju akan melakukannya. Bukit dan gunung tidak akan hasad dengan kita, tetapi manusia jika dia hasad, segala kejadian dan cerita luar biasa akan tercetus.

Apapun saya rasa perubahan –alhamdulillah- telah berlaku dalam tempoh tersebut. Berbagai lapisan rakyat yang berjumpa saya menyatakan sokongan. Ribuan email sokongan diterima sepanjang tempoh tersebut. Walaupun tidak dinafikan masih ada yang memusuhi, prejudis dan menganggap saya mengganggu periuk nasi dan kerusi empuk mereka yang selesa terutama sebilangan mereka yang berjawatan dalam agama dan politik.

Dua tahun memanglah singkat. Hari ini saya telah menamatkan pusingan dan tugasan tersebut. Kepada Allah saya serahkan; agar diampunkan kelemahan dan diberi pahala jika ada kebaikan. Siapalah insan yang kerdil dan daif seperti saya untuk merasai diri telah menyempurnakan tugas. Bahkan saya yakin, masih ada ruangan yang patut saya sempurnakan, namun saya tidak memenuhinya. Maka apabila saya ditanya oleh wartawan yang berbagai: “Apakah Dr berpuas hati dengan misi yang dilakukan sepanjang dua tahun ini?”. Jawaban saya, tentulah “tidak”. Saya mengharapkan Allah mengampuni kekurangan dan kelemahan saya.

Saya teringat Rasulullah s.a.w yang amat sempurna itu. Dalam khutbah baginda pada Hari Hajjatul Wada’, baginda bertanya lautan para sahabah yang hadir tentang tugasan yang telah dilakukan oleh baginda. Baginda bersabda:

“Kamu akan ditanya (oleh Allah) mengenaiku, apakah yang akan kamu jawab?” Kata mereka: “Kami menyaksikan bahawa engkau telah menyampaikan, telah menunaikan, dan telah menasihati”. Lalu baginda mengangkat jari telunjuk ke langit dan kemudian ke arah orang ramai dan bersabda: “Ya Allah! Saksikanlah” sebanyak tiga kali. (Riwayat Muslim).

Demikian seorang nabi yang penuh amanah menunaikan tanggungjawab, menyampaikan kebenaran dan menasihati umat, pun begitu masih inginkan kepastian dan kepuasan perasaan dengan bertanyakan orangramai tentang tanggungjawab yang telah ditunaikan oleh dirinya yang mulia. Siapalah kita di hadapan semua ini.

Mengubah minda dan pemikiran bukan kerja yang mudah. Ia memerlukan masa dan kesungguhan. Lebih daripada itu, ia memerlukan kesabaran dalam menghadapi ujian dan harga yang perlu dibayar untuk sebuah perjuangan. Kata ‘Abd Allah bin Mas’ud r.a:

“Apa akan terjadi kepada kamu nanti apabila fitnah (penyelewengan) membaluti kamu. Anak kecil membesar dalamnya, yang dewasa pula telah tua bersamanya, lalu fitnah dijadikan sunnah (kebiasaan) sehingga jika ia diubah maka dikatakan “ini tindakan yang munkar”. Ditanya beliau: “Bilakah hal itu akan terjadi?”. Jawabnya: “Apabila kurangnya mereka yang amanah dalam kalangan kamu, tetapi ramainya pemimpin (orang politik) kamu, kurangnya mereka yang faqih (memahami hakikat Islam) dalam kalangan kamu tetapi ramainya pembaca al-Quran, dan dipelajari ilmu bukan kerana agama (Allah) serta dicari dunia dengan amalan akhirat” (Riwayat ‘Abd al-Razzaq- lihat: al-Albani, Sahih al-Targhib wa al-Tarhib, 1/26).

Ini realiti kita sebenarnya. Banyak perkara bukan agama dikatakan agama. Sehingga manusia sukar hendak membeza antara pendapat ustaz dengan nas al-Quran dan al-Sunnah yang sebenar. Lalu pendapat golongan agama, sekalipun tidak menepati nas tetap dimaksumkan. Contohnya seseorang tidak membeza antara perkahwinan yang sah, dengan perkahwinan yang diiktiraf oleh Pejabat Agama. Seperti cerita seorang kadi yang enggan mengesahkan perkahwinan yang diuruskan oleh kadi lain kerana pasangan tersebut menjemput kadi luar kawasan. Padahal rukun nikah sudah dipenuhi; ada pasangan, wali, saksi dan akad. Namun kerana fulus pendaftaran tidak sampai ke tangan kadi kawasan, maka pasangan itu selama beberapa tahun terpaksa merayu sijil nikah mereka. Menderitalah mereka dalam tempoh tersebut, lalu ada yang menganggap perkahwinan mereka tidak sah.

Sama seperti perkahwinan di luar negara, bukan tidak sah tetapi tidak diiktiraf oleh kerenah birokrasi agama di Malaysia. Begitu juga dalam hal-hal lain termasuk ibadah. Berapa banyak perkara adat melayu disangka ajaran Islam sehingga jika kita berbeza kita akan dituduh dengan berbagai perkara. Demikian juga kita kekurangan tokoh yang amanah tetapi ramai pulak yang hendak jadi ahli politik.

Seterusnya betapa ramai para pembaca al-Quran atau penceramah dalam kalangan kita, tetapi sedikit pula yang benar-benar memahami hakikat Islam yang dihantar kepada umat manusia. Akhirnya kita gagal menampilkan imej Islam yang indah seperti yang diperjuangkan oleh baginda Nabi s.a.w.

Dalam rangkap yang akhir dalam riwayat ‘Abd Allah bin Mas’ud ini dicerita pada zaman fitnah tersebut manusia menggunakan amalan agama untuk mendapatkan dunia. Lihatlah, bermula dengan upah sembahyang hadiah untuk jenazah, upah baca al-Quran untuk mayat sehingga perkara-perkara lain yang lebih besar yang lain. Semua itu projek duit atas nama agama. Berbagai khurafat akhirnya muncul, sedangkan umat Islam dilanda bermacam masalah yang getir.

Saya yang maha lemah ini mencuba untuk memberikan pandangan dan pemikiran agar Islam dan umat Islam dalam negara ini dapat terus tampil relevan terutama dalam menghadapi perubahan zaman. Saya bukan tidak menyokong majlis fatwa kebangsaan, tetapi kita perlukan kematangan dalam membimbing umat dan menghadapi zaman. Di samping fatwa yang ada, cubalah kita juga berikan fatwa yang dapat membangkitkan umat seperti fatwakan berdosa umat Islam di negara ini membiarkan ekonomi dikuasai oleh orang lain.

Alhamdulillah, media seluruh negara begitu baik membantu saya. Antara yang paling utama ruangan saya dalam Pena Mufti ini telah dibaca oleh berbagai pihak. Saya mendapat sahabat yang ramai kerana ruangan, termasuklah Tun Mahathir dan berbagai tokoh besar yang lain. Ribuan email dan surat sokongan saya terima daripada rakyat Malaysia dalam dan luar negara, muslim dan bukan muslim. Juga para pembaca daripada Singapura, Brunei dan Indonesia.

Media-media luar juga sering menemuramah saya. Di mana saya pergi alhamdulillah, berbagai lapisan menyatakan sokongan. Walaupun pada peringkat awal banyak yang prejudis, namun anjakan masa dan perubahan hari telah membawa sebahagian besar mereka dapat menerima bahawa idea dan pandangan yang dikemukakan itu di luar dari daerah kepentingan mana-mana individu atau pihak.

Namun saya tahu yang menolak terus menolak. Saya masih ingat, apabila RTM membuat wawancara khas secara langsung dengan saya yang dikendalikan oleh Datuk Johan Jaafar, apabila saya hadir ke mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan, pengerusinya seakan mengada sidang mahkamah khas mempertikai apa saya kemukakan. Namun kerana masa itu saya masih awal sebagai mufti, saya enggan mengambil langkah bertegang.

Bukan sedikit selepas itu berbagai fitnah datang daripada mereka yang memegang ‘jenama agama’. Ada yang tuduh saya tumbuk imam di Perlis, ada yang kata Amerika bantu. Ada yang ‘sepangkat’ dengan saya dalam ceramahnya menceritakan bahawa saya pergi ke New Zealand keluar bas tidak pakai songkok dan naik bas terlewat. Itu memang benar, namun saya pasti apakah itu perlu dimasukkan ke dalam isi ucapan.

Sehingga pada saat-saat ini pun apabila saya memberikan sedikit alternatif tentang isu yoga, ada pihak yang mendakwa Ph.D saya bukan dalam bidang agama dan saya tidak layak memberikan pandangan di hadapan golongan agama yang sudah lama berjawatan. Padahal Ph.D yang ditulis dalam Bahasa Arab itu telah dicetak oleh UIAM, dan cetakan kedua diterbitkan oleh pencetak buku ternama di Beirut, Lebanon. Saya malas hendak melayan itu semua dalam kesibukan mengejar waktu.

Bahkan rakan-rakan sejawatan beberapa negeri menghalang saya berceramah dalam negeri mereka. Selangor umpamanya membenar semua mufti berceramah, kecuali Mufti Perlis. Pihak JAKIM pula tidak akan melantik saya dalam sebarang panel fatwanya, walaupun mufti negeri-negeri lain dilantik. Saya menerima bahawa itulah realiti perjuangan dengan penuh senyuman dan tidak berkecil hati. Mereka yang lebih daripada saya, bahkan tidak dapat dibanding seperti para nabi dan ulamak terdahulu menghadapi lebih berat daripada itu.

Saya teringatkan kata-kata Za’ba dalam bukunya “Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri” yang Prof DiRaja Ungku Aziz kirimkan kepada saya agar saya baca. Antara katanya yang pernah saya petik dahulu:

“Malangnya jika ada siapa-siapa yang mencuba berbuat seperti pakar-pakar Islam dahulu kala itu - iaitu melepaskan diri daripada kongkong taklid dan balik kepada Quran dan Hadis dengan kehendak-kehendak zaman dan hal-hal keadaan yang telah berubah sekarang - maka terus dilempar mereka akan dia dengan kata-kata yang tidak selayaknya seperti “sesat dan menyesatkan, memandai-mandai, membawa bidaah, mengubah-ngubah daripada jalan yang telah diatur oleh pakar-pakar dahulu kala itu (nenek moyang), tidak ada rupa hendak melebih daripada orang dahulu-dahulu” dan berbagai-bagai lagi. Yang betulnya duduklah juga membeku di tempat yang ada itu!! Mungkin juga kerana mereka sendiri tiada upaya membuatnya maka mereka tiada suka kalau ada orang lain pula dapat berbuat. (m.s 33, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka 2005).

Saya telah mencuba dalam masa dua tahun yang lepas. Terserah kepada rakyat untuk menilainya. Jika ia tidak berjaya pun, saya mengharapkan Allah memberikan kepada saya pahala. Ya! Ratusan email saya terima membantah keputusan saya tidak mempertahankan jawatan mufti ini. Sehingga ada yang menulis “Selama ini saya amat menyanjungi kebijaksanaan tuan mufti, tetapi saya yakin tindakan tuan berhenti adalah merupakan keputusan yang silap, atau tuan mungkin tidak lagi memikirkan kepentingan umat Islam dan rakyat negara ini lagi. Maafkan saya!”.

Saya ingin katakan, saya akan terus berfikir untuk itu, bahkan saya akan cuba mewakafkan hidup untuk perjuangan yang panjang ini. Saya bukan lari meninggalkan medan perjuangan, tetapi saya insyaAllah akan pulang dengan kekuatan yang baru. Rakyat Perlis bersalam dengan saya pada Jumaat lepas dengan kesedihan dan tangisan. Saya bersyukur saya meninggal jawatan dengan penuh penuh senyuman dan persahabatan. Sekurang-kurang mereka tahu saya telah cuba melakukan sesuatu untuk Perlis dan Malaysia.

Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin