Thursday 12 February 2009

Krisis perlembagaan di Perak : Kerajaan persekutuan buat pekak badak.

Analisis Isu Oleh ning

“Assalamualaikum,,..

Di radio IKIM FM, sewaktu menjawab soalan salah seorang pemanggil, Prof Aziz Bari menyatakan dengan jelas bahawa tiada “PERUNTUKAN UNDANG UNDANG” yang dapat menyelesaikan krisis perlembagaan di Perak.Beliau turut menjelaskan bahawa tiada kuasa yang diberikan kepada sultan untuk memecat MB sekalipun sultan mempunyai kuasa untuk memecat Exco dengan NASIHAT MENTERI BESAR.Prof Aziz walaubagaimanapun menghuraikan bahawa kuasa melantik dan memecat Exco terletak sepenuhnya kepada Menteri Besar tetapi sultan mempunyai kuasa memecat sekiranya dinasihati oleh Menteri Besar.

Dengan kata kata lain sultan sebenarnya tidak mempunyai kuasa penuh tetapi kuasa yang ada bersandar kepada nasihat Menteri Besar sahaja.Ini juga bermakna sultan tidak sepatutnya mendengar nasihat orang orang selain menteri besar dalam menjalankan kuasanya.

Persoalan ini membawa kepada satu kefahaman yang terang dan jelas kepada semua rakyat ia itu pemecatan MB Perak oleh sultan Perak tidak sah dan perlantikan MB baru beserta barisan Exconya menjadi haram dari sudut perundangan dan perlembagaan negara.Tidak ada keraguan mengenai perkara ini dan sebagai sebuah negara yang berdaulat dan berpaksikan perlembagaan, seharusnya semua pihak terutama kerajaan persekutuan yang menguruskan negara mematuhi keperluan perlembagaan ini dalam menentukan apa jua perkara yang berkaitan urustadbir negara atau negeri.Begitu juga sultan, seharusnya melihat kedudukan baginda dalam perlembagaan negeri dan negara sebelum mengeluarkan apa apa titah.Sultan seharusnya menerima hakikat bahawa kuasa mutlak sudah lama berlalu, sebaliknya harus memahami kedudukan baginda dalam sistem raja berpelembagaan.

Hal ini menjurus kepada kefahaman bahawa seseorang yang menolak titah sultan yang tidak mengikut lunas lunas undang undang dan perlembagaan tidak harus dianggap penderhaka seperti laksamana Hang Jebat atau Laksamana Bentan.Raja adalah kebal dari undang undang negara tetapi tidak kebal kepada perlembagaan negara selain tidak juga kebal dalam hal hal peribadi kerana boleh dibicarakan dalam mahkamah Khas.Bermakna seorang sultan yang bertindak melampaui batas batas perlembagaan tidak seharusnya ditaati lagi atau dengan kata kata lain, perlembagaan negara memberi laluan kepada setiap rakyat untuk mengengkari titah yang tidak menurut perlembagaan dan ianya tidak dianggap derhaka dari penafsiran perlembagaan.

Perkara inilah yang sedang dipertahankan oleh Ir.Nizar dan beliau mendapat sokongan dari seluruh kepimpinan PR serta sebahagian besar rakyat jelata.Kini Ir Nizar menuntut haknya yang telah dirampas dengan kejam oleh sultan dan barisan kepimpinan tertinggi negara.Perkara inilah yang seharusnya disedari terutama oleh pengamal undang undang yang diberi mandat dan kuasa seperti peguam negara dan menteri yang bertanggungjawab menjaga undang undang.

Agak pelik bilamana peguam negara membisu dan menteri terbabit menghilangkan diri dalam krisis Perak ini. Merekalah sepatutnya menjadi juara dalam mempertahankan kebenaran dan menegakkan keadilan di bumi Perak di mana mandat demokrasi rakyat telah dirampas secara haram oleh UMNO/BN.

Prof Aziz Bari turut menyarankan kematangan orang orang politik dalam menyelesaikan krisis yang tidak boleh ditangani oleh mana mana peruntukan undang undang ini.Tindakan mengunci,menghalau dan mengherdik menurut Prof Aziz tidak bijak dan tidak akan menyelesaikan sebarang masalah.Dan kalau ditambah lagi segala kekasaran yang berlaku di kuala Kangsar tempoh hari boleh dielak seandainya rampasan kuasa ini dilakukan mengikut lunas lunas perlembagaan.

Sepatutnya mengikut Prof Aziz, kemelut yang berpunca dari lompat itu diselesaikan dengan cara menyerahkan kembali kepada rakyat untuk menentukan mandat baru.Pun begitu Prof Aziz ada menyebut bahawa tindakan mengambilalih secara haram sebegini tidak akan terlepas dari pengadilan rakyat.Mungkin kerajaan yang dibentuk secara haram boleh bertahan selama empat tahun dan selepas itu mereka terpaksa berdepan dengan rakyat.Oleh itu adalah bijak dan matang bagi semua pemimpin politik mengambil jalan mengutamakan rakyat dalam memastikan mandat memerintah.

Perkara ini sepatutnya diambil kira oleh pendokong kerajaan persekutan.PM,TPM dan seluruh jentera kerajaan persekutuan yang menjadi payung kepada seluruh negeri seharusnya menyedari dan mengutamakan mandat rakyat dalam apa jua penyelesaian kepada sebarang krisis.

Inilah sepatutnya dilakukan oleh sebuah kerajaan yang baik dan prihatin,Namun kerajaan yang baik itu tidak ada di negara kita.Sebaliknya kerajaan inilah yang memulakan semua krisis ini dan kerajaan inilah yang menggunakan sultan sebagai alat untuk mendapatkan kuasa secara haram dan tidak dibenarkan oleh perlembagaan.Kerajaan ini jugalah yang menggunakan istilah derhaka kepada orang orang yang menuntut hak yang diberi oleh perlembagaan, malah ada menteri kerajaan yang menggugut menggunakan ISA terhadap mereka yang memperjuangkan perlembagaan.Apa jenis kerajaan seperti ini?

Apa yang berlaku seperti bangkai gajah yang tidak dapat ditutupi oleh daun kelapa dan sesungguhnya cukup terang tanpa bersuluh lagi namum masih ada penggerak kerajaan yang mahu mempertahankan tidakan kejam dan haram ini dengan menggunakan alasan mematuhi titah sultan sedangkan mereka semua tahu titah sultan itu dimanupulasikan serta tidak mengikuti kehendak perlembagaan.

Krisis perlembagaan ini mungkin akan berlarutan sehingga satu saat di mana rakyat merasakan kehadiran sultan sudah tidak diperlukan lagi.Sehingga kini seperti kata Prof Aziz Bari,Sultan masih diberi hak dan kuasa penuh untuk menentukan pembubaran dewan atau Parlimen tetapi sedikitpun tidak ada kuasa untuk memecat Menteri Besar yang telah dilantik secara sah dari mandat majoriti rakyat.

Untuk itu, polis dan kerahan keselamatan di pejabat pejabat kerajaan dan diseluruh negeri perak adalah satu pengkianatan terhadap rakyat Perak oleh kerajaan persekutuan tetapi sehingga kini kerajaan persekutuan masih bersikap pekak badak terhadap semua komen komen dan analisa pakar mengenai krisis yang berlaku.Ini belum lagi termasuk isu kuasa speaker dewan yang ditolak oleh SPR yang langsung tidak diberi kuasa untuk memutuskan samada speaker membuat keputusan yang betul atau salah.Juga belum termasuk isu saman mahkamah terhadap ADUN yang melompat itu.

Kesimpulannya, undang undang perlantikan hakim yang baru diluluskan parlimen langsung tidak berfungsi seperti mana juga SPRM yang tidak langsung memberi kesan dan menteri yang membentangkan kedua dua rang undang undang ini nampaknya sudah menghilangkan diri.Di manakah telor menteri menteri dan para MP BN sekarang ini?”

Tuesday 10 February 2009

Arumugam 'selamatkan' Kerajaan Kedah, kembalikan 'kuasa' pada rakyat

Ahli Dewan Negara Senator Mohd Yusuff Hussein menyifatkan tindakan Arumugam Vengatarakoo meletakkan jawatan sebagai Adun Bukit Selambau dan Exco Kedah semalam adalah usaha beliau untuk menyelamatkan kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah daripada terus digugat oleh Barisan Nasional (BN).

Kata Senator Yusuff yang juga merupakan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kedah, Arumugam juga bertindak secara bertanggungjawab dengan mengembalikan kuasa memilih di tangan rakyat untuk membuat keputusan.

"Senario ini Kedah tidak sama di Perak. Arumugam kembalikan mandat pada rakyat biar rakyat pilih siapa yang dikehandaki.

"Bukannya macam Perak apabila tiga Adun itu bertindak seperti 'pengecut', tidak berani kosongkan kerusi untuk adakan pilhan raya kecil. Rakyat Perak tidak diberi peluang pilih pemimpin mereka," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.

Katanya alasan kuat Areumugamn ialah beliau tidak tahan dengan tekana, ugutan dan ancaman keselamatan yang dilakukan oleh pihak tertenu untuk beliau menyertai BN sedangkan beliau tidak mahu 'lompat' seperti diuar-uarkan media selama ini.

"Mereka menggunakan kes 10 tahun dan 2 tahun lalu sebagai ugutan untuk beliau jatuhkan kerajaan Kedah sedangkan insiden itu berlaku sebelum beliau menjadi wakil rakyat lagi," katanya yang telah pun giat menggerakkan jentera parti untuk mengembleng tengana membantu jentera KeADILan bagi mengahadapi pilhan raya kecil pada bila-bila masa.

Beliau menjalskan bahawa Menteri Besar, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak di sidang medianya itu yang diadakan di kediaman rasminya, Sri Mentaloon, semalam menyatakan kuota kerusi itu diserahkan kepada KeADILan sama seperti diperseutujui dalam pilhanraya umum tahun lalu.

"Arumugam merupakan seorang satu-satunya wakil rakyat India yang mewakil kaum India di seluruh Kedah dan kita akan sokonga sesiapa sahaja yang menjadi calon demi memastikan kedududkan Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah kukuh.

"Beliau wakil rayat yang baik cuma dia tidak mampu hadapi tekanan dan ancaman. Dia juga belajar daripada pengalaman seperti di Perak dan untuk menyelamatkan kita, dia sanggup letak jawatan dan bukannya berpaling tadah macam di sana," katanya

Senator Yusuff berharap agar pilihan raya kecil akan datang menjadi platform untuk rakyat menilai sendiri gerak-kerja yang dilakukan oleh Kerajaan Kedah Pakatan Rakyat selama 10 bulan ini sekaligus menghukum BN yang melakukan cara-cara tidak beretika untuk berkuasa seperti di Perak.

"Saya harap rakyat boleh faham situasi di Kedah dan harapa dapat kembalikan kemanangan yang sama kepada Pakatan Rakyat untuk membuktikan bahawa BN benar-benar sudah ditolak," katanya.

Semalam menjawab pertanyaan media, Ustaz Azizan memberitahu Arumugam dalam suratnya menjelaskan bahawa beliau menghadapi ugutan daripada pihak Barisan Nasional (BN) dan menawar kepadanya jutaan ringgit untuk melompat kepada BN.

"Dia dan keluarganya tidak tahan lagi, rasa tertekan dengan pelbagai ugutan, jadi atas dasar itu demi keselamatan diri dan anggota keluarga dia, maka dia rasa elok dia menarik diri dari politik dengan menjadi wakil rakyat.

"Dia juga diugut pada beberapa kali terutama di peringkat akhir keretanya (disimbah) dicat dan pelbagai lagi. Maka sebab itu dia tak sanggup lagi jadi dia letak jawatanlah," ujarnya dan menyifatkan Arumugam seorang yang telah menjalankan tugas dengan baik.

Harakah

Ceramah umum di Ketapang


Dari kiri: Sdr. Balasubramaniam, Dato' Tuan Ibrahim, Ustaz Abu Kassim dan Sdr. Zaidi

Sebentar tadi (Isnin), telah berlangsungnya ceramah umum tentang isu-isu semasa yang berlaku di negara kita khususnya di Perak. Ceramah tersebut yang diadakan di Ketapang, Pekan telah disampaikan oleh Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, Pengerusi Kelab Penyokong PAS Pahang merangkap Naib Pengerusi Kelab Penyokong PAS Pusat, sdr. Balasubramaniam dan Setiausaha PKR Pahang, sdr. Zaidi.

Antara ucapan yang disampaikan ialah tentang keadaan sebenar yang berlaku di Perak bukanlah seperti yang digembar-gemburkan oleh media arus perdana seperti yang kita lihat di dalam televisyen dan surat khabar pro-BN. Mereka mendakwa yang Dato' Seri Ir NIzar Jamaluddin telah men'derhaka' kepada sultan. Sebenarnya apa yang berlaku adalah Dato' Seri Nizar telah menggunakan bahasa istana iaitu "Patik memohon derhaka, tuanku" yang membawa maksud "saya memohon maaf, tuanku" kerana beliau tidak dapat memenuhi permintaan Sultan Perak yang meminta beliau supaya meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Perak. Ini kerana dalam perlembagaan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak telah menyatakan bahawa ada tiga cara yang boleh menyebabkan Menteri Besar melepaskan jawatan iaitu dengan cara Menteri Besar meletakkan jawatan secara sukarela, membawa usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar dalam Dewan Undangan Negeri atau berlakunya pembubaran DUN.

Majlis ceramah tersebut dipengerusikan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pekan, Ustaz Mohd Fadhil Noor Abdul Karim dan ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh YDP PAS Kawasan Pekan, Ustaz Abu Kassim Manaf.





Ketua DPP Pekan, Ustaz Fadhil Noor


Monday 9 February 2009

Ahli Parlimen Bukit Gantang meninggal dunia


Ahli Parlimen Bukit Gantang, Haji Roslan Shaharum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 12.00 tengah hari tadi ketika dalam perjalanan ke Hospital Batu Gajah.

Beliau yang tinggal di Changkat Larang, Batu Gajah menghadapi masalah kesihatan sekembalinya daripada luar negara, demikian menurut Pegawai Khas beliau, Shaharudin Ahmad Sani kepada Harakahdaily sebentar tadi.

Shaharudin mengendalikan Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Bukit Gantang di Markas PAS Air Kuning, Taiping.

Parlimen Bukit Gantang mempunyai tiga DUN iaitu Changkat Jering, Trong dan Sepetang.

"Dalam lawatan beliau ke Taiwan sebelum ini, beliau pernah dimasukkan ke hospital Taiwan atas masalah gula yang tinggi.

"Apa-apa maklumat terkini saya akan sampaikan," kata Shaharudin ketika dihubungi semasa dalam perjalanannya ke Batu Gajah.

Difahamkan wakil rakyat berusia 50 tahun itu dikatakan telah menghantar keretanya ke sebuah pusat cucian kereta berhampiran rumahnya di Changkat Lalang dekat Batu Gajah.

Kemudian, selepas mengadu sakit dada beliau meminjam basikal milik pekerja pusat tersebut untuk ke farmasi bagi mendapatkan ubat.

Roslan, 50, ditemui terjatuh di bahu jalan oleh ramai kira-kira pukul 11.15 pagi, kata Ketua Polis Batu Gajah, ACP Najib Mohamad.

Dalam pada itu, Menteri Besar Perak, Dato' Seri Nizar Jamaluddin memberitahu kira-kira pukul 1.20 tengah hari bahawa jenazah berada di Hospital Batu Gajah.

Roslan pernah berkhidmat sebagai Pengarah Sumber Tenaga Manusia dan Pentadbiran di Perbadanan Kemajuan Negeri Perak dan pernah juga berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Putra Malaysia, Universiti Terbuka Malaysia dan Universiti Teknologi Mara di Perak.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Safiah Harun dan mempunyai 11 orang anak.

Malam tadi difahamkan semasa perhimpunan rakyat di kediaman rasmi Menteri Besar Perak, Allahyarham kelihatan seperti biasa, bergurau berjenaka bersama rakan-rakan yang lain. Beliau yang juga pengamal pengubatan Syifaq amat disenangi oleh kawan dan lawan kata seorang kenalan.

Jenazah Allahyarham dijangka akan dibawa ke rumahnya di Kampung Changkat Larang, Pengkalan Pegoh.

Pada pilihan raya unmum ke-12 8 Mac lalu, Roslan memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,566 undi.Allahyarham memperoleh 20,015 undi manakala calon BN, Abdul Azim Mohd Zabidi (Umno) menerima 18,449 dan calon Bebas, M. Morgan mendapat 872 undi.

Harakah

Kenduri kesyukuran di Kuala Terengganu


Jumaat lalu (6 Februari), PAS Negeri Terengganu telah mengadakan jamuan meraikan petugas-petugas PAS Pahang pada pilihanraya kecil P.036 Kuala Terengganu. Sehubungan itu, PAS Kawasan Pekan telah menghantar rombongan sebuah bas untuk ke sana.

Rombongan telah berkumpul di Pejabat PAS Kawasan sebelum bertolak ke Kuala Terengganu pada jam 8.00 pagi. Majlis tersebut bermula pada jam 2.00 petang di UPU Sungai Derhaka yang terletak dalam DUN Ladang.

Rombongan PAS Kawasan telah singgah di Masjid Kubang Ikan, Chendering untuk menunaikan solat jumaat. Majlis tersebut telah diserikan lagi dengan kehadiran Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan wakil pimpinan PAS Pahang, Mejar (B) Hj. Abdul Aziz bin Yaakob.



Membeli keropok lekor di Marang






Mejar (B) Hj. Abdul Aziz bin Yaakob








Adik-adik, buat ape tu???

Saturday 7 February 2009

UMNO BUANG TABIAT Bila Terpaksa Membentuk Sebuah Kerajaan Haram versi Najib Sparrow

Saya melihat UMNO semakin berkelakuan pelik dan ganjil malah kian menjadi - jadi. Orang tua-tua kata " buang tabiat " dan biasanya dituju kepada orang yang berada di ambang maut.

Mungkin nampak segar dan sihat tetapi dengan beberapa kelakuan " buang tabiat " ia bermaksud bila - bila masa sahaja dia boleh mati.

Tambahan pula usia UMNO yang kini dipenghujung usia. Terlalu banyak simptom "buang tabiat" yang kini berlaku kepada UMNO. Terkini mereka merampas kuasa dengan cara yang tidak bermoral.

Memperdaya dan mengambil kesempatan ke atas ADUN yang terpalit dengan dakwaan rasuah serta ADUN yang tidak berprinsip seperti ADUN BOTA yang berjaya melakukan lompatan spring untuk membentuk kerajaan haramnya.

Melengkapkan simptom "buang tabiat" ini, UMNO bertindak nekad membelakangkan peruntukan perlembagaan dan menodai kedaulatan undang-undang apabila mereka menabalkan menteri besar haramnya kelmarin. Sedang MB Datuk Seri Ir. Muhammad Nizar Jamaludin belum meletakkan jawatan dan sidang DUN belum berlangsung serta tiada sebarang undi tidak percaya dikemukakan melalui prosedur yang sah terhadap Datuk Seri Nizar.

Semuanya ini kerana "buang tabiat" yang mendorong mereka bertindak gelojoh dan rakus . Tidak ubah seperti lanun Jack Sparrow yang jahat-jahat bodoh lakunya.

Benarlah Tuanku Sultan Perak menyuruh atau menitah supaya YAB Datuk Seri Nizar meletakkan jawatan. Tetapi Datuk Seri Nizar belum meletakkan jawatan dan hak meletakkan jawatan adalah hak Datuk Seri Nizar. Kalau ia enggan meletakkan jawatan kerana menyakini bahawa beliau adalah MB yang sah dan Tuanku Sultan tidak mempunyai hak atau kuasa untuk melucutkan jawatan MB. Sekadar menyuruh letak jawatan ianya tidak wajib dipatuhi.

Persoalannya tertumpu kepada kelakuan UMNO yang luar biasa gelojohnya. Tidak sabarnya untuk kembali ke tampuk kuasa yang hilang ditolak rakyat dalam pilihanraya lalu dilihat seperti orang gila talak atau ayam gilakan sangkak. Sungguh memalukan dan saya yakin ini adalah petanda UMNO menuju detik kehancurannya.

Kelakuan "buang tabiat"nya menimbulkan rasa jengkel dalam hati rakyat. Pelbagai pihak mula menilai kejahatan dan kebodohan UMNO kian menjadi-jadi. Terdorong dari rasa malu yang keterlaluan ekoran kekalahan di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu yang kebetulannya Datuk Najib yang mengetuai kontijen UMNO dan BN menghadapi Pilihanraya kecil di dua kawasan tersebut.

Kini Najib yang dilantik menjadi Pengerusi BN Negeri Perak telah mengamuk, merampas kuasa dan mengguling Kerajaan PAKATAN dengan cara yang cukup tidak bermoral dan brutal. Kononnya Najib mahu membina kembali imejnya. Harapannya orang akan menyanjung beliau kerana berjaya mengembalikan pemerintahan UMNO dan BN di Perak.

Malangnya Najib Sparrow ini lupa bahawa tindakannya yang tidak bermoral membentuk kerajaan melalui rampasan kuasa lalu menubuhkan kerajaan haram di Perak hanya mengundang rasa benci, mual dan marah rakyat kepadanya.

Apalagi kerajaan itu terdiri dari ADUN yang terpalit rasuah. Sebelumnya PAKATAN membiarkan 2 ADUN tersebut dibicarakan oleh BPR melalui proses undang-undang yang telus biarpun mereka berdua adalah exco Kerajaan sebelumnya, tetapi ia diselamatkan oleh Najib Sparrow. Kini benar dan tepatlah persepsi umum bahawa UMNO adalah parti yang kaya dengan rasuah.

Kerana rasuah inilah Tengku Rithaudeen Pengarah Lembaga Displin UMNO meminta supaya Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri UMNO di bubarkan demi menyelamatkan UMNO. Ini bukan pandangan dari JKKK. Tetapi pandangan dari orang lama UMNO yang menjawat Pengarah Lembaga Disiplin UMNO, menggambarkan parahnya keadaan UMNO dan BN hari ini.

UMNO kini buang tabiat. Lebih tenat kata seorang kawan saya : " Ustaz, UMNO bukan buang tabiat... tapi sememangnya telah menjadi tabiat UMNO berkelakuan begitu.... saya hanya senyum lebar :)

Ustaz Nasrudin at-Tantawi

Friday 6 February 2009

Warkah MB Perak kepada Sultan


Ampun Tuanku,

Dengan hormat dan takzimnya patik merafa’kan sembah dan berdoa ke hadrat Allah Suhanahu Wata’ala, mudah-mudahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku sentiasa berada dalam keadaan selamat dan kesejahteraan.

Ampuan Tuanku,

Merafa’ sembah memaklumkan perkembangan terkini Dewan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan.

Warkah yang tidak sepertinya ini sebagai pengganti diri patik untuk menyembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku mengenai isu kedudukan terkini Dewan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan.

Patik merafa’ sembah menjunjung kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada pagi ini. Patik memohon izin untuk menyembahkan beberapa perkara:

1. Artikel XVl (6) Undang-undang Perlembagaan Negeri Perak menyatakan bahawa “If the Menteri Besar ceases to command the confidence of the majority of the Legislative Assembly, then, unless at his request His Royal Highness dissolves the Legislative Assembly, he shall tender the resignation of the Executive Council”. Ini bermakna sokongan Menteri Besar itu perlu diputuskan oleh Persidangan Dewan Undangan Negeri.

2. Jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional adalah sama iaitu 28 orang. Adalah kurang tepat andaian Barisan Nasional mempunyai majoriti. YB Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perak telah memutuskan bahawa Adun bagi kawasan Behrang, Changkat Jering dan Jelapang bukan lagi Adun.

YB Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perak dan Kerajaan Negeri Perak juga telah memfailkan satu permohonan untuk satu perisytiharan bahawa ketiga-tiga Adunberkenaan bukannya Adun untuk kawasan-kawasan tersebut, di Mahkamah Tinggi pada pagi ini. Sewajarnya kita menunggu keputusan mahkamah dalam kes tersebut.

Ampuan Tuanku,

Atas alasan di atas dan berdasarkan prinsip demokrasi dan Raja Berperlembagaaan, Patik dengan ini merafa’ sembah memohon agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan bagi membolehkan rakyat memilih semula kerajaan yang dikehendaki mereka.

Ampuan Tuanku,

Patik dengan ini merafa’ sembah bahawa pimpinan Pakatan Rakyat sebulat suara meminta patik untuk tidak meletak jawatan sehingga krisis perlembagaan ini diputuskan oleh Mahkamah atau Dewan Undangan Negeri Perak.

Ampuan Tuanku,

Patik akhiri warkah yang tidak sepertinya ini dengan sekalung penghargaan ke atas keprihatinan dan pertimbangan Duli Yang Maha Mulia Tuanku, mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata’ala melanjutkan usia Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan seluruh kerabat Tuanku dan semoga sentiasa berada di dalam kesejahteraan dan kebahagian yang berkekalan.

Tuesday 3 February 2009

SPR: Dua exco Perak masih Adun

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang didakwa kosong - Behrang dan Changkat Jering - masih lagi disandang oleh wakil-wakil rakyat PKR.

Dalam mesyuarat khasnya pagi ini, SPR memutuskan wujud keraguan pada surat peletakan jawatan Jamaluddin Mat Radzi dan Mohd Osman Jailu - masing-masing sebagai ahli dewan undangan negeri (Adun) Behrang dan Changkat Jering.

Pengerusi SPR Datuk Abdul Aziz Yusuf mengumumkan demikian susulan wujud kekeliruan selepas Speaker DUN Perak V Sivakumar menyerahkan surat-surat tersebut kepada SPR negeri semalam.

Pada hari yang sama, Jamaluddin dan Mohd Osman turut menyerahkan surat, menyatakan bahawa surat peletakan mereka itu tidak berkuatkuasa.

Surat peletakan jawatan itu diserahkan kepada SPR selepas desas-desus kedua-duanya akan meninggalkan PKR dan menyertai BN sejak minggu lepas.

Jamaluddin dan Mohd Osman semalam bagaimanapun menyatakan akan kembali bertugas seperti biasa dan "tidak timbul mereka telah bertukar parti."

Malaysiakini

Monday 2 February 2009

Dua Adun KeADILan letak jawatan, pilihan raya kecil dalam masa 60 hari



Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak dari KeADILan yang didakwa "hilang" dan "tidak dapat dihubungi" sejak lima hari lalu, telah meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat berkuat kuasa hari ini dan pilihan raya kecil dijangka berlaku dalam masa 60 hari.

Kedua-dua Adun berkenaan ialah Jamaluddin Mat Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering).

Jamaluddin, 52, adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi, Pertanian dan Perladangan manakala Osman, 57, pula pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Insan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan.

Sebelum ini kedua-dua mereka menghadapi tuduhan rasuah melibatkan kelulusan sebuah projek pembangunan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar dan perbicaraan kes berkenaan akan didengar di Mahkamah Sesyen pada 10 Februari ini.

Ia dinyatakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V. Sivakumar di Ipoh pukul 5.45 petang tadi kepada mstar online dan kata beliau, kedua-dua mereka menghantar surat menggariskan keputusan itu menerusi faks yang dihantar ke rumahnya.

"Kedua-dua Mohd. Osman dan Jamaluddin meletakkan jawatan sebagai ADUN berkuat kuasa serta-merta dan saya menerima peletakan jawatan mereka di bawah Perkara XXXV Perlembagaan Negeri.

"Sebagai Speaker, saya akan mengumumkan kedua-dua kerusi N14 Changkat Jering dan N59 Behrang kosong secepat yang mungkin," kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Speaker akan memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara rasmi esok.

Pakatan Rakyat mempunyai 32 anggota Dewan Undangan Negeri termasuk Adun Bota, Dato' Nasarudin Hashim yang menyertai KeADILan minggu lepas manakala BN dianggotai 27 wakil dan walaupun dua Adun KeADILan berkenaan keluar, kerajaan negeri masih mempunyai majoriti satu kerusi.

Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin ketika dihubungi mStar Online berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan akan meminta supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya.

"Sah kedua-dua mereka (ADUN) letak jawatan... saya telah dimaklumkan mengenainya sebentar tadi," katanya.

Harakah

Hari Keluarga DMP Pekan di Chini


Dewan Muslimat PAS Kawasan Pekan telah membuat program Hari Keluarga pada 1hb.Feb.2009 (Ahad) bertempat di Padang Awam Felda Chini 03.


Dr. Harison Mohd Amin (Ketua DMP Pekan)


Ustazah Nuridah Salleh (Ketua DMP Pusat)




Turut bekerjasama dalam program ini ialah Pemuda PAS Pekan.
Antara aktiviti yang dibuat ialah pertandingan:

1. Menganyam ketupat
2. Memarut kelapa
3. Gubahan bunga
4. Masakan ikan air tawar
5. Masakan ubi kayu



Untuk Kanak-kanak:

1. Mencari gula-gula dalam tepung
2. Tiub belon
3. Lari bola dalam sudu
4. Pakaian beragam
5. Dan banyak lagi....



Pendaftaran acara sukan




Sambutan cukup mengembirakan dengan kehadiran dari penduduk setempat dan dalam program ini diserikan lagi dengan adanya Program Kesihatan Rakyat oleh Dr. Harison anjuran Klinik Ummu Roihan dan juga pameran Anti Dadah yang didatangkan dari Pekan, Pahang.











DPP Pekan