Thursday 29 July 2010

FDI : MUSTAPA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB,HINA RAKYAT

Abdul Aziz Mustafa (Harakah Daily)

KUALA LUMPUR, 29 Julai: Jawapan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengenai kejatuhan pelaburan langsung luar (FDI) ke negara ini adalah tidak bertanggungjawab dan menghina pemikiran rakyat, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Mustapa mendakwa, FDI ke negara ini merudum begitu teruk ke tahap terburuk sehingga 81 peratus kerana Malaysia berada pada tahap pembangunan yang berbeza dengan jiran-jirannya.

"Mustapa enggan mengakui kegagalan kerajaan khususnya Kemneterian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mencipta peluang-peluang pelaburan di negara ini dengan berdalihkan ketiadaan pembangunan infrastruktur di negara ini seolah-olah negara ini maju sangat berbanding India atau Vietnam.

"Kalau Malaysia hebat sangat dari segi infrastruktur dan berada pada tahap pembangunan berbeza berbanding jiran-jirannya seperti Vietnam dan Indonesia, mengapa pembinaan kemudahan asas seperti jalan, bekalan elektrik dan air, serta jaringan komunikasi kepada kawasan luar bandar menjadi fokus Rancangan Malaysia Ke-10?" Mahfuz mempersoalkan.

Mahfuz juga menolak dakwaan Mustapa yang cuba mengaitkan kejatuhan terburuk FDI itu kerana kerajaan tidak berminat menarik pelaburan kategori rendah seperti pemprosesan dan pemasangan.

"Kerajaan yang tak berminat atau pelabur yang sebenarnya tidak berminat untuk melabur di negara ini yang terkenal dengan budaya rasuah parti pemerintahnya?

"Tidak cukup dengan kegagalan dan ketiadaan kebolehan menjalankan tugas, cakap berlagak pula untuk mewajarkan kegagalan. Inilah akibat dari sindrom DBS Umno - dah bodoh, sombong.

"Sebab itulah saya sifatkan jawapan Mustapa bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah menghina pemikiran rakyat kerana nampak sangat beliau cuba memperbodohkan rakyat," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Sepatutnya, kata beliau, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan timbalannya mengakui kelemahan mereka untuk menarik kemasukan FDI ke negara ini dan memohon maaf dari rakyat kerana tidak berkebolehan menjalankan tugas mereka.

"Reaksi menteri (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dan timbalannya tak ubah seperti yang disebutkan pepatah Melayu, diri sendiri tak tahu menari, salahkan tanah tinggi rendah - mereka menyalahkan segala-galanya termasuk blog kecuali diri mereka sendiri," katanya.

Sepatutnya lagi, kata Mahfuz lagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan timbalannya meletakkan jawatan kerana kegagalan yang amat memalukan itu.

Perangai enggan mengaku kelemahan diri sendiri yang sudah sebati dengan Umno itu, katanya lagi. akan menghancurkan negara.

Mahfuz mengaitkan sikap itu dengan keyakinan bahawa mereka tidak akan dibuang.

"Tidak hairan kalau tidak ada accountability dan responsibility langsung di pihak menteri (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dan timbalannya kerana mereka yakin sangat mereka tidak akan dibuang kerja.

"Tambahan pula Najib sering dikaitkan dengan sikap yang lebih mengutamakan ‘tukang kipas’ daripada kepandaian dan kerajinan membuat kerja.

"Beliau juga dikatakan membuat perlantikan untuk mengambil hati dan menutup mulut pengkritik yang ditakutinya.

"Dan, lebih dari semua itu, kegagalan mereka adalah kegagalan Najib sendiri, takkan Najib nak membuang mereka dan dirinya sendiri," kata Mahfuz.

Tuesday 27 July 2010

SALAH FAHAM TERHADAP PAS

Li Fook Gao

- 26 JULAI 2010

Jika saudara mempunyai sebarang soalan yang ingin ditanya kepada ketiga-tiga Naib Presiden PAS, sila hantarkan soalan saudara ke sembangnaibpresidenPAS@gmail.com. Pemilihan soalan pembaca adalah bergantung keistimewaan soalan dan juga budi bicara pengelola kolum ini. Mari bersembang bersama Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (TITM), Salahudin Ayub (SA) dan Datuk Mahfuz Omar (MO)

Soalan 1:

Pada pendapat Naib Presiden sekalian, apakah yang orang di kampung sering salah-faham mengenai perjuangan PAS - selama ini?

TITM: Orang kampung seringkali tidak mendapat maklumat sebenar tentang perjuangan PAS. Lantaran itu mereka sering kali dikelirukan dengan pelbagai isu yang berlaku dalam negara.

Salah faham utama yang berlaku ialah anggapan PAS memecah belah masyarakat melayu (Islam), dan bilamana isu ini dijelaskan bahawa tujuan perjuangan PAS untuk mengajak masyarakat kepada penghayatan Islam yang sebenar dalam masyarakat. Kita menyatakannya dalam pelbagai ceramah dan ucapan, kuliah dan sebagainya; namun ianya masih lagi tidak diyakini.

Namun setelah kita menguasai kerajaan negeri di kelantan ( lebih 20 tahun ), Terengganu satu masa dahulu, Kedah dan negeri lain kita bukan sahaja berjaya menyatakan dalam bentuk lisan tetapi juga dalam bentuk pembuktian melalui penghayatan.

Ini menambahkan sokongan dan keyakinan masyarakat kepada perjuangan PAS.

SA: Mereka sering mengganggap PAS sebagai parti pelampau agama, mereka anggap kita ekstrem dan mereka mengganggap PAS ialah parti yang memecah-belahkan masyarakat – itu yang saya rasa yang orang kampung dan pedalaman yang tidak terdedah pada media dan maklumat, itulah persepsi mereka kepada PAS.

Saya rasa sekarang dengan kemajuan dunia teknologi tanpa sempadan dan Internet, dan berlakunya ‘espora’ iaitu anak-anak mereka yang keluar belajar di bandar-bandar besar, pengajian tinggi dan juga jentera PAS yang semakin bersistematik dalam memberikan penerangan mengenai dasar-dasar parti, saya rasa perkara ini telah sedikit demi sedikit dapat kita atasi.

Di negeri-negeri Kelantan dan Kedah ini, kita melihat mereka ini terdiri daripada orang-orang Melayu yang lebih independent (berdikari) – mereka tidak banyak bergantung dengan kerajaan. Jika kita lihat rakyat di Kelantan ini, wanita-wanita mereka dan kaum-kaum lelaki mereka banyak bekerja dan berniaga sendiri menyebabkan mereka tidak terasa bergantung dengan parti pemerintah.

Yang keduanya, oleh kerana ini terdapat banyak pusat pengajian Islam yang membolehkan mereka lebih banyak terdedah kepada ajaran agama – jadi apabila jumpa PAS yang dasarnya Islam, mereka lebih mudah memahami perjuangan PAS berbanding dengan negeri-negeri lain.

MO: Terlalu sedikit kumpulan yang salah faham tentang perjuangan Pas. Yang ada hanya golongan yang ketakutan hilang segala bantuan kebajikan pendidikan, pertanian dan bantuan lain yang diperolehi selama ini.

Akan tetapi, sekarang dengan perubahan gaya hidup dan perubahan kewujudan bandar baru menjadikan masyarakat kampung turut berubah. Di samping itu, kemunculan generasi baru anak-anak muda yang berpendidikan dan terdedah dengan maklumat menjadikan soal kekeliruan dan salah faham terhadap PAS bukan masalah pokok kepada parti.

Yang menjadi perkara pokok sekarang ialah proses penyampaian maklumat yang lebih efisyen perlu dilakukan oleh PAS.

Soalan 2:

Jika Naib Presiden terjumpa seorang ahli biasa dari parti UMNO, bagaimanakah sekalian berhujah untuk menarik beliau untuk menyertai PAS?

SA: Pada saya, orang-orang yang seperti ini perlu didekati dengan penuh bijaksana dan hikmah – perlu ada step by step, alah demi alah untuk kita mendekati mereka dengan mengambil pendekatan untuk berhubung dengan mereka.

Kedua, kalau boleh kita memberikan tawaran perkhidmatan kita kepada mereka dan ketiga barulah kita berkongsi tentang dasar-dasar perjuangan PAS kepada mereka.

Jadi perlu ada step by step, dan ini semua perlu dibuat dengan penuh kesabaran.

MO: Yang utama bukan hujah…tetapi apakah pandangan pertama (first impression) yg diperolehi oleh seseorang terhadap diri pimpinan PAS.

Bahasa badan kita yang mempamerkan keterampilan kemesraan akan menjadikan orang lain berhasrat untuk didekati dan dengan sendirinya mereka akan mendapat satu penghujahan mengenai pimpinan PAS bahawa mereka adalah orang yang sangat perihatin terhadap kehidupan persekitaran.


TITM: Hujan utama ialah al-Quran dan hadis. Kita perlu yakinkan mereka bahawa sebagai seorang Islam kita mesti yakin akan kebaikan ajaran Islam dan kemampuan Islam bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh negara.

Kita mengajak mereka memikirkan tentang isu besar rasuah yang berleluasa, laporan kedua audit serta peningkatan jenayah dan kemungkaran dalam masyarakat yang menuntut kita kembali kepada ajaran Islam.

Saya seringkali mengajukan persoalan 'apa ruginya kalau kita kembali kepada Islam, bangsa akan selamat, agama akan selamat, negara akan selamat, generasi kita akan selamat. namun kalau kita hanya memperjuanagkan bangsa, mungkin bangsa akan selamat, tapi apabila agama tidak selamat, maka bangsa itu juga lambat laun akan turut hancur dengan keruntuhan moral dan akhlak.

Jangan kita turut mendokongi dosa kemungkaran yang ditaja oleh UMNO BN, kerana bersekongkol dengan mereka bermakna kita turut mendokongi kemungkaran yang berlaku dalam masyarakat.


Soalan 3:

Harap para Naib Presiden dapat lengkapkan pantun di bawah:

Harga naik rakyat marah,
Rakyat marah Umno gelisah.


MO: Harga naik rakyat marah,
Rakyat marah Umno gelisah,
Jangan tunggu bagi parah,
Buang saja Umno dalam tong sampah.

Harga naik rakyat marah,
Rakyat marah Umno gelisah,
Jangan tunggu bagi parah,
Nanti rakyat juga yang susah.

TITM: Harga naik rakyat marah,
Rakyat marah Umno gelisah,
Keadaan Umno makin parah,
Tingkatkan jihad jangan menyerah kalah.

SA: Harga naik rakyat marah,
Rakyat marah Umno gelisah,
PAS mesti terus mengarah,
Supaya Umno-BN menyerah kalah.

Monday 26 July 2010

ISA: Bukti Umno BN tidak peduli suara rakyat

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 Julai: Tangkapan terbaru seorang pemuda di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) membuktikan bahawa kerajaan Umno BN gagal mendengar suara rakyat.

Sehubungan itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Nasrudin Hassan at-Tantawi (gambar) menyatakan kekesalan di atas tangkapan terbaru ISA terhadap Fadzlullah di Sungai Buloh tempoh hari.

Fadzlullah, 28, ditahan di Sungai Buloh pada Khamis lalu sekitar jam 11 malam oleh seorang pegawai polis berpakaian seragam serta 14 pemuda berpakaian biasa yang dipercayai dari Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman. Polis hanya mendakwa beliau mengunakan kedudukannya sebagai guru agama untuk merekrut pelajar menjadi ahli Jemaah Islamiah (JI).

Akhbar melaporkan kononnya Fadzlullah ada kaitan dengan seorang pendakwah dari Syria, Aiman Dakak dan seorang guru dari Malaysia, Azzahari Murad.

Pada Januari tahun ini, Aiman ditahan dengan sembilan orang lagi atas alasan disyaki pengganas, manakala Azzahari masih ditahan di bawah undang-undang pencegahan.

Nasrudin berkata, kalau dalam tindakan menarik balik lesen judi bola, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengatakan kerajaan ‘mendengar’ rintihan rakyat, namun beberapa tindakan kerajaan kebelakangan ini tidak langsung mencerminkan yang kerajaan mengambil kira suara rakyat.

Sebagai contoh, katanya kenaikan harga minyak, gas dan gula baru-baru ini.

“Dengan mengumumkan kenaikan ketika hari terakhir parlimen bersidang sehingga tidak sempat hendak dibahaskan, adakah ini melambangkan kerajaan mendengar suara rakyat?” soalnya.

Begitu juga dalam isu ISA, beliau berkata sememangnya tindakan kerajaan bermotifkan politik demi memuaskan hati sekutu mereka iaitu Amerika Syarikat.

Tambahnya, DPPP juga mengecam kerajaan Umno BN yang memberikan alasan keagamaan untuk menghalalkan akta zalim itu sedangkan dalam masa yang sama ‘berkokok’ kononnya meletakkan Islam di hadapan untuk diperjuangkan.

“Ternyata Umno BN hanya berlakon untuk mengaburi mata rakyat supaya menyokong mereka dalam pilihan raya umum akan datang,” ujarnya.

PERPADUAN MELAYU ATAU SELAMATKAN UMNO?

Kini nada perpaduan Melayu dipalu sekali lagi. Apa salahnya, Islam juga yang untung, kata mereka. Buat sebahagian generasi muda yang mungkin tidak mengingati, mari kita ikuti sejarah pengkhianatan Umno terhadap bangsa Melayu :

1. Siapakah yang menukar wang Royalti kepada wang Ehsan pada tahun 2000 apabila PAS berjaya merampas negeri dari tangan BN dalam PRU 1999?

2. Siapakah yang menghalang kerajaan kedua2 negeri bermajoriti 95%Melayu menikmati hasil royalti Petronas, sedang negeri2 seperti Sabah dan Sarawak tidak dikenakan tindakan sama?

3. Siapakah yang menghalau peneroka bandar Melayu di Kg Berembang, Kg Plentong, Kg Chubadak, Kg Malaysia Tambahan?

4. Siapakah yang menghalau Melayu Pulau Pinang dengan helah pembangunan hingga mereka merempat ke Seberang Jaya dan Kedah Selatan?

5. Siapakah yang menggadai Tanah Rezab Melayu hampir 50% dari 3 juta hektar pada 1948 kepada 1.6 juta hektar pada 1997?

6. Siapakah yang membunuh orang Melayu kerana perbezaan fahaman politik di Kg Memali, Lubuk Merbau dan Hutan Aji?

7. Siapakah yang membolot saham AP untuk menantu dan kroni, sedang ia adalah hak setiap rakyat dibawah dasar DEB?

8. Siapa yang melingkupkan dasar DEB hingga milikan ekuiti Melayu tersekat kepada 18% pada 2000.

9. Siapakah pula yang memansuhkan DEB, dan diganti dengan dasar Liberisasi dan Model Ekonomi Baru yang mesra kapitalis dan anti subsidi?

10. Siapa yang menyelewengkan dana untuk orang2 Melayu yang miskin dalam program PPRT?
11. Siapa yang mengkhianat wasiat Raja2 Melayu menjelang kemerdekaan supaya tidak diserah bukit, gunung dan pulau kepada bukan Melayu?

12. Siapa yang mencipta krisis perlembagaan 1982 yang menyebabkan kuasa Yang DiPertuan Agung terhakis dan hanya sekadar menjadi rubber stamp Parlimen?

13. Siapa pula yang melucutkan kekebalan raja2 Melayu pada awal 1990-an?

14. Siapa yang menggelarkan rajanya 'MENATANG' bila namanya ditolak sebagai Menteri Besar Terengganu selepas PRU12 yang lalu?

15. Siapakah yang mengubah sempasan kawasan undi majoroti Melayu bila Melayu sendiri menolak Umno dalam PRU 1999?

16. Siapa yang melanggar peruntukan Perlembagaan mengenai hak2 istimewa Melayu untuk mendapat biasiswa?

17. Siapa yang menukar biasiswa kepada pinjaman dengan kadar 4%?

18. Siapa yang mencemar bahasa Melayu dengan istilah-istilah "infotainment", "boulevard", "presint", "bajet" dan lain2?

19..Siapa yang menukar bahasa pengantar dari bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris dalam pembelajaran Sains dan Matematik pada ketika jurang pendapatan bandar-luar bandar semakin melebar?

20. Siapa yang mencadangkan syarat wajib lulus Bahasa Inggeris untuk SPM dan bahasa pengantar Inggeris di universiti2?

21. Siapa yang jual air kepada negara jiran dengan harga 3 sen 1000 liter, dan jual balik kepada rakyatnya sendiri dengan harga 80 sen 1000 liter?

22. Siapa yang serah blok minyak kepada negara Brunei tanpa persetujuan DUN, Parlimen atau YDPA?

23. Siapa yang cuai menjaga tanahair sendiri hingga Pulau Batu Putih dan Singapura terlepas ke negara orang?

24. Siapa yang menghapuskan tulisan jawi dari diajar di sekolah2?

25. Siapa yang kata Sekolah Agama Rakyat (SAR) tempat melahir militan dan ekstrimist?

26. Atas alasan itu, siapa yang menghentikan geran perkapita kepada SAR hingga menyebabkan sebahagian institusi pendidikan agama hidup segan, mati tak mahu?

27. Siapa yang mencadangkan pelan pembangunan Kg Baru Kuala Lumpur hingga membuka milikan kepada 40% bukan Melayu?

28. Siapa yang kekang akta2 maklumat, Auku dan pandangan2 kedua orang Melayu supaya orang Melayu senang diperbodohkan?

29. Siapa yang naikkan harga petrol,diesel dan barangan asas kepada ketika Melayu adalah golongan majoriti yang miskin di negara ini?

30. Siapakah pula yang memperbodohkan dirinya konon mengaku Melayu sedang nama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) dibuang dan diguna bahasa penjajah UNITED MALAYS NATIONAL ORGANISATION (UMNO)?

Senarai pengkhianatan Umno terhadap orang2 Melayu memang panjang. Ia tidak habis untuk ditulis dalam sehari. Apa yang penting, ia sudah terakam dalam sejarah. Khalayak yang memalu gendang perkauman ini patut malu pada diri sendiri, pada saat mereka di puncak kuasa tidak pernah pula terdengar retorik Islam dan Melayunya. Kini menyedari kuasa semakin jauh dari genggaman, tidak perlu lah lagi umat Melayu yang selama ini diperbodoh dan diperkuda semahunya, memberi bantuan talian hayat dan oksigen.

Kalaulah Umno hidup ribuan tahun yang lalu, mungkin epik Yunani Homer, Illiad and Oddysey atau pun Hikayat 1001 Malam tidak akan mendapat tempat di sisi penglipur lara, penulis buku, pemikir sastera-sejarah, pemikir sosiologi mahu pun pembuat filem. Demikian banyaknya yang dikisah dalam hikayat dari Parsi itu, mengikut lagenda, sesiapa yang membaca seluruh koleksi cerita ini akan menjadi gila.

Alahai, kalau membaca hikayat sepanjang ini menjadi gila, siapa pula yang mampu mengingati ratusan pengkhianatan Umno terhadap Melayu. Besar kemungkinan anda akan jadi 'mereng'.

Wednesday 21 July 2010

Lebih baik berpecah dari derhaka kepada Allah

Harakahdaily

TEMERLOH, 21 Julai: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, itu PAS lebih rela Melayu berpecah dalam mentaati perintah Allah daripada berpadu dalam mendurhakai Allah.

Dalam kenyataan bertulis yang dihantar kepada Harakahdaily, Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang mempersoalkan, apakah apa yang dibuat oleh Umno sekarang untuk perpaduan bangsa atau Islam.

Beliau dipercayai mengulas usaha yang dibuat oleh Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria yang cuba mengheret PAS agar bersatu dengan Umno atas landasan untuk kepentingan Melayu dan Islam.

Ia dilihat sebagai usaha untuk menyelamatkan Umno yang sedang karam dan cuba untuk menyeret PAS ke arah permasalahan itu.

"Isu perpaduan Melayu kembali bergema. Kali ini ianya melibatkan usaha golongan agama (Mufti) dan kepimpinan Umno," tulis Tuan Ibrahim dalam kenyataannya.

Pelbagai komentar dan pandangan dari pelbagai pihak diambil bagi menyokong usaha perpaduan Melayu ini; sekaligus seolah-olah sesiapa yang tidak inginkan perpaduan Melayu adalah golongan yang bertindak bertentangan dengan kehendak Islam.

Menurutnya, pelbagai ayat Quran dan hadis bergema bagi menyokong usaha ini.

“Sebagaimana biasa PAS menjadi sasaran bilamana dengan tegas menolak hasrat perpaduan dengan Umno,” katanya.

“Isu besar ialah apakah untuk perpaduan bangsa atau perpaduan Islam. Kalau perpaduan bangsa; kenapa hanya Melayu perlu berpadu, bagaimana bangsa lain dalam negara. Apakah kerajaan suka kalau bangsa lain berpecah yang juga akhirnya melemahkan negara,” kata Tuan Ibrahim, bekas pensyarah pengajian Islam UITM itu.

“PAS Menyatakan dengan tegas kita perlu bersatu di atas landasan yang digariskan oleh Allah; iaitu “Bertolong bantulah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa, dan jangan bertolong bantu dalam perkara dosa dan permusuhan”.

“Lantaran itu PAS lebih rela melayu berpecah dalam mentaati perentah Allah daripada berpadu dalam mendurhakai Allah,” kata beliau.

PAS, katanya, tidak akan merelai perpaduan bagi mendokong tindakan yang bertentangan dengan Islam yang ditaja oleh Umno.

“Mereka sanggup menghalalkan perjudian di atas nama kebajikan dan sukan, serta pelbagai penyelewengan. Di saat rakyat tenderita dengan tekanan hidup akibat kenaikan kos hidup, rakyat melihat Umno gagal menjaga bangsa dan agama, maka jangan kegagalan ini disalahkan PAS,” tambah beliau.

Katanya, di saat rakyat menderita dengan tekanan hidup akibat kenaikan kos hidup, rakyat melihat Umno gagal menjaga bangsa dan agama, maka jangan kegagalan ini disalahkan PAS kerana lebih 50 tahun Umno diberi kepercayaan oleh orang melayu Islam.

“Umno membelakangkan soal perpaduan; kelantan terus ditindas bahkan negeri Pakatan Rakyat terus diserang saban waktu. Tangan kiri mengholor perdamaian, tangan kanan terus menekan dan menindas bangsa sendiri.

“Kami tidak mahu memikul pengkhianatan UMNO kepada agama. 50 tahun negara ini tidak pernah merasai berjalannya hukum Allah secara menyeluruh, riba rasuah, pusat maksiat berleluasa sehingga remaja seolah-olah tiada hala tuju,” katanya.

Rakyat miskin, katanya, terus dibeban dengan kenaikan kos hidup; di waktu yang sama syarikat swasta kroni pemerintah terus menikmati subsidi luas biasa seperti IPP (Independent Power Producers).

Syarikat konsesi tol pula tidak dipotong subsidi mereka bahkan pembaziran terus berleluasa.

“Di saat negara berada dalam situasi paling buruk dalam sejarah dengan pelbagai isu besar spt penyerahan Blok L,M kepada Brunei, Tanah KTM di Singapura, Isu kemerosotan dana Felda yang mengejutkan, serta pelbagai gejala social yang berlaku menuntut rakyat membuat perubahan besar; bukan meminta PAS memikul sama kemungkaran ini,” tegas beliau.

Tuesday 20 July 2010

Mana pergi subsidi kami?

Dr Asri Zainal Abidin

kalian rampas subsidi kami, entah ke mana dibawa lari
kalian beritahu, wang mesti dicatu, kita menuju maju..
kalian kata: jika tidak, semua menderita, habis harta negara..
kalian berbahasa: bukan barang naik harga, cuma subsidi turun sahaja..

kami orang desa, mungkin tidak pandai kira berjuta-juta..
kami orang kecil kota, mungkin tiada sedemikian harta..
jika kalian tipu sebegitu, biasanya kami diam selalu..
tapi dapatkah kami dibohongi, tentang suapan saban hari?

apalah yang dapat diberitahu anak ke sekolah..?
papa semakin parah..? wang semakin lelah..?
jika semalam berlauk, hari cuma berkuah..
kerana kerajaan kita sedang susah..?
maka subsidi kita terpaksa diserah..
jika semalam kau makan sepinggan, hari ini saparuh
kerana barang makin angkuh, wang papa makin rapuh..
apa yang dapat dibisik pada anak berkopiah ke madrasah..?
makananmu sayang, sebahagiannya sudah hilang..
jika mereka bertanya siapa yang bawa lari
kepada siapa patut kami tuding jari?
janganlah nanti mereka membenci pertiwi..
akibat pencuri harta bumi rakyat marhaen ini..
atau kami jadi insan curang..
kami beritahu; cuma subsidi sahaja yang kurang?
tiada apa yang hilang, nanti akan datang wang melayang..

dengar sini wahai yang tidak memijak bumi!
pernahkah kalian mengintipi kehidupan kami..
pernahkah kalian ngerti makna derita dan susah hati..
kami yang semput bagai melukut di kota kedekut
kami yang bekerja hingga senja di desa yang makin terseksa
bertarung nyawa dan masa, menghitung setiap belanja

pernahkah kau merasa?
rumah bocor yang lanjut usia..
baju dan kasut anak yang koyak
tinggal dalam rumah yang berasak-asak
siang kami sebak, malam kami sesak..

sedangkan kalian manusia angkasa..
istana permata dibina, kereta berjuta dirasa..
elaun di serata, dari isteri sehingga seluruh keluarga..
hidangan istimewa, konon meraya kemakmuran negara..

tapi kami masih di sini..di teratak ini..
dengan lauk semalam..
dengan hidangan yang tidak bertalam..
dengan rumah yang suram..
dengan wang yang hampir padam..

tiada istana lawa..tiada kereta berharga..
tiada layanan diraja..tiada baju bergaya
tiada kediaman menteri..tiada hidangan v.i.p..
tiada persen di sana-sini..tiada bahagian anak dan bini..

tiba-tiba kalian kata: kamilah beban negara..
aduhai celaka bahasa yang kalian guna..
kalian yang belasah, kami yang bersalah..
kalian buat untung, hutang kami tanggung..
kalian mewah melimpah, kami susah parah
kalian hilangkan wang, poket kami yang terbang..
kalian bina istana, rumah kami jadi mangsa..
kalian makan isi, kami dijadikan abdi..

lantas, kalian rampas lagi subsidi..
ke mana wang itu pergi nanti?
jika kalian berhati suci, wajib mengganti buat kami..
jika tidak pun buat gula konon merbahaya
mengapa tidak beras diturun harga?
jika tidak untuk minyak kereta..
mengapa tambang tidak potong sahaja..
tapi entah berapa kali janji..
konon: nanti kami ganti, kami ganti, kami ganti..
hari demi hari, ceritanya pun tidak berbunyi lagi..
kami terus termanggu di sini..
kalian juga yang nikmati..
kami hanya menggigit jari..

kembalikanlah kepada kami harta negara..
jangan hanya kalian sahaja yang merasa..

dr maza
July 2010

Monday 19 July 2010

Harga barang dijangka naik 6 bulan lagi - Dato Mahfuz

Melayu lebih mulia tanpa Umno

Nazri Abdullah - Harakah Daily

KUALA LUMPUR, 19 Julai: “Melayu akan lebih kukuh dan mulia tanpa Umno, dan Malaysia akan lebih maju tanpa Umno," kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria kerana meyakini kuasa politik melayu akan hilang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

"Saya ucap terima kasih kepada Tan Sri Harussani kerana begitu kasyaf tentang politik negara yang nampak kuasa politik Melayu iaitu Umno akan hilang.

"Dan kita yakin kuasa politik baru akan wujud yang dikuasai Melayu serta semua kaum yang ditunjangi Pakatan Rakyat suatu masa nanti," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, pagi tadi.

Hadir sama ialah seorang lagi Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub.

Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, orang Melayu tidak perlu risau jika PAS dan Umno tidak bersatu kerana hak orang Melayu lebih terbela tanpa Umno.

Umno, katanya sudah jelas terbukti sebuah parti yang menghakis kepentingan Melayu bukan membela Melayu.

Salahudin pula memberitahu, PAS tidak pernah membuat sebarang keputusan untuk menghantar mana-mana pihak atas tujuan menjalin kerjasama politik dengan Umno.

"Kita dah tutup buku kerjasama dengan Umno.

"Dakwaan (kerjasama) itu satu ftnah, mereka cuba menghakiskan kepercayaan penyokong dan ahli PAS terhadap pemimpin PAS," katanya yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian.

Katanya, PAS sudah memutuskan akan tetap komited bersama Pakatan Rakyat dan isu kerjasama dengan Umno tidak berbangkit.

Dalam pada itu, mengulas dakwaan wujud perbezaan pandangan antara Muhyidin dengan Najib berhubung isu kerjasama ini, Mahfuz berkata Muhyidin seperti mempunyai agenda dalaman menjatuhkan Presidennya.

Muhyidin jelasnya sedang berusaha meyakinkan pemimpin dan ahli Umno lain bahawa Najiblah punca kuasa politik Melayu yang diperjuang parti itu terhakis.

"Muhyidin sedang bina imej untuk jadi hero Melayu dalam Umno.

"Dia sedang mengambil kesempatan mengajak pemimpin Umno lain tikam Najib daripada belakang," katanya.

Sunday 18 July 2010

Hapus cukai 5 tahun jika Pakatan jadi kerajaan

KUALA KRAI, 17 Julai: Pakatan Rakyat sedia mencari jalan untuk memansuhkan cukai selama lima tahun sekiranya rakyat sedia memberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kelak.

Demikian tawaran AJK PAS Pusat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan, Datuk Husam Musa (gambar) semalam pada suatu majlis Pakatan Rakyat negeri di sini.

"Kalau Pakatan Rakyat dapat ambil alih (kerajaan) Pusat lepas PRU13, cukai pendapatan akan dimansuhkan sepenggal atau sekurang-kurangnya kakitangan kerajaan tak perlu bayar sepenggal," ujar beliau.

Menurut beliau, kepemimpinan Pakatan Rakyat mempunyai formula tersendiri untuk urus tadbir kewangan negara secara adil, dinamik dan tidak membebankan rakyat.

Disebabkan itu, beliau menganggap langkah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri menaikkan harga barangan asasi rakyat sebagai tindakan yang tidak bijak serta tidak menguntungkan rakyat.

Katanya lagi, kerajaan sepatutnya mengutamakan keperluan rakyat dengan menangguhkan beberapa projek mega yang nyata menguntungkan pihak tertentu semata-mata.

Tidak cukup dengan itu, beliau turut menganggap pentadbiran Najib bertindak menipu rakyat kerana tidak terlebih dahulu membawa cadangan menaikkan harga minyak RON95, diesel, gula dan petroleum gas cecair (LPG) ke Dewan Rakyat baru-baru ini.

Tambahnya, indakan Najib yang juga Menteri Kewangan I mengumumkan kenaikan harga beberapa barangan tersebut sejurus selesai sidang Dewan Rakyat seolah-olah tidak mengiktiraf kedudukan Dewan Rakyat dalam sistem demokrasi negara.

Impak dari kenaikan harga beberapa komoditi tersebut, katanya lagi, meninggalkan kesan berantai seperti inflasi yang nyata cukup menghimpit kehidupan kaum nelayan, petani, peniaga hatta pengguna sendiri.

Turut hadir mengisi pentas bantahan adalah Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman (Adun Mengkebang), Bendahari PAS Pusat, Dr. Mohd Hatta Ramli (Ahli Parlimen Kuala Krai) serta Tony Phua (Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara).

Sumber: Harakahdaily

Friday 16 July 2010

Satu Malaysia perlu tolak BN

Assalamualaikum...

Satu Malaysia sepatutnya tahu apa perlu dilakukan dalam PRU 13 nanti....

HARGA PETROL, DIESEL ,GULA DAN GAS NAIK -malaysiakini

Harga petrol, diesel, gula dan gas LPG naik berkuatkuasa mulai tengah malam ini.
Petrol RON 95 dan RON 97 serta diesel naik 5 sen.

Manakala harga gula pula naik 25 sen, dengan gas LPG naik sebanyak 10 sen sekilogram
Kenaikan semua harga tersebut akan berkuatkuasa mulai tengah malam ini.

Berikut adalah harga baru:

- Petrol RON 95 - RM1.85 seliter.
- Petrol RON 97 - RM2.10 seliter.
- Diesel - RM1.75 seliter.
- Gula - RM1.70 sekilogram
- Gas LPG - RM1.85 sekilogram

Berikut adalah harga baru gas:

* Tong 14KG - dari RM24.50 kepada RM25.90 (naik RM1.40)
* Tong 12KG - dari RM21.00 kepada RM22.20 (naik RM1.20)
* Tong 10KG - dari RM17.50 kepada RM18.50 (naik RM1.00)

5 naik serentak, rakyat tanggung beban

Dr Azman Ibrahim (Ketua Penerangan PAS Terengganu)

Harga petrol, diesel, gula dan gas LPG naik berkuatkuasa mulai tengah malam ini (15 Julai).

Petrol RON 95 dan diesel naik 5 sen. RON97 tidak lagi diberikan subsidi. Ia tertakluk kepada apungan secara terkawal, dengan harga ditentukan oleh mekanisme harga automatik, berikutan penyelarasan harga subsidi yang diumumkan kerajaan hari ini.

Manakala harga gula pula naik 25 sen kepada RM1.90, dengan gas LPG naik sebanyak 10 sen sekilogram.

Perdana Menteri ketika mengumumkan kenaikan memberikan alasan.

Pertama, kesemua subsidi ini tidak menepati sasaran – ia memberi faedah juga kepada pihak yang tidak layak, iaitu warga asing dan rakyat yang berpendapatan tinggi yakni mereka yang mampu untuk membayar petrol tanpa subsidi. Fokus kita sepatutnya ialah bagi membantu golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana bukan mereka yang memandu kereta import yang mewah. Subsidi gula yang berlebihan pula memberi faedah kepada industri-industri dan bukannya keluarga. Hampir dua kali ganda subsidi gula ini digunakan oleh sektor perniagaan berbanding isi rumah.

Persoalannya, walaupun dikatakan kenaikan ini adalah demi mengelakkan pengaliran subsidi kepada sasaran yang salah, tetapi akhirnya beban akan ditanggung oleh rakyat berpendapatan rendah.

Kerajaan perlu menjelaskan secara tepat bagaimana penjimatan dari subsidi ini akan dibelanjakan untuk faedah golongan berpendapatan rendah. Masih kita ingat ketika kenaikan harga petrol dan diesel secara besar-besaran beberapa tahun dahulu, dijanjikan wang penjimatan akan digunakan untuk memajukan perngangkutan awam tapi janji tinggal janji.

Kini dijanjikan pula penjimatan subsidi akan diagihkan kepada bidang pelajaran dan kesihatan. Umum sedia maklum kos pendidikan di Malaysia dan belanja untuk mendapatkan rawatan di hospital-hospital kerajaan adalah di antara dilema bagi rakyat berpendapatan rendah.

Kedua, barangan yang bersubsidi tinggi selalunya membawa kepada aktiviti penyeludupan kerana pemberian subsidi telah menjadikan barangan ini paling murah di rantau ini. Pada tahun 2009 sahaja, ramai penyeludup telah ditangkap ketika cuba membawa keluar lebih 200 tan metrik gula. Sebenarnya, jumlah yang tidak dapat ditangkap kerana penyeludupan ini adalah lebih besar. Diesel terus diseludup dan dijual secara haram di negara jiran. Pihak berkuasa telah meningkatkan pengawalan untuk menghalang penyeludupan, tetapi selagi adanya perbezaan harga yang besar, penyeludup akan terus dengan kegiatan haram ini.

Kalau benar bagai dikata, jelas rakyat bawahan telah terpaksa memikul beban ekoran ketidak mampuan pihak keselamatan menguatkuasakan undang-undang dan menjaga kedaulatan sempadan negara. Apa jaminan selepas kenaikan ini penyeludupan tidak akan berlaku lagi? Kalau penyeludupan masih berlaku, apakah harga akan dinaikkan lagi?

Ketiga, kita perlu menukar cara kita menggunakan bahan bakar dan gula. Penggunaan bahan bakar yang berlebihan akan mengurangkan sumber negara dengan cepat dan tidak menyumbang kepada usaha kita melindungi alam sekitar. Dengan 40 peratus rakyat Malaysia yang berlebihan berat badan atau obes – dan peningkatan jumlah penghidap diabetes – kita perlu menangani apa yang dilihat sebagai satu isu kesihatan. Mengurangkan penggunaan gula di kalangan anak-anak khususnya, adalah langkah yang tepat.

Benarkah harga bahan bakar di Malaysia terlalu murah sehingga dibazirkan sewenangnya oleh rakyat? Selalu kita dengar kempen jimatkan elektrik dan air tapi tidak pernah kita dengar ada kempen jimatkan penggunaan petrol dan gas.

Petrol dan diesel yang diisi ke dalam kenderaan adalah berdasarkan keperluan dan perjalanan juga berdasarkan keperluan. Amat jarang dan hampir tidak pernah terdengar rakyat yang secara suka-suka membazirkan petrol dan gas.

Hujah yang mendakwa gejala berat badan berlebihan dan diabetes mempunyai kaitan dengan harga gula perlu diperkemaskan dengan kajian saintifik dan disokong dengan fakta ilmiah. Saya berpendapat fakta ini terlalu umum dan sangat lemah untuk dipertahankan.

[PM sebut kenaikan harga sebagai 'pelarasan harga' yang boleh jimat RM750 juta tahun ini.
Manakala di Parlimen,Datuk Seri Nazri berkata Jabatan Perdana Menteri perlukan RM4 billion untuk perbelanjaan tahun ini. Ada nampak apa-apa tak dari dua kenyataan ini?]

Tuesday 13 July 2010

BERITA DARI PARLIMEN -Pindaan akta bakal tindas pekerja

Dzulfikar Mashoor - Harakah Daily

KUALA LUMPUR, 13 Julai: Cadangan pindaan Akta Pekerja 1965 dijangka bakal menindas 42 peratus daripada 11.3 juta pekerja untuk menuntut pampasan daripada majikan, kata Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid.

Menurut beliau, artikel 'sub contract all labour' yang ditukar pada 'contract all labour' seperti dalam akta itu menjadikan majikan yang membekal pekerja, termasuk pekerja asing sebagai majikan kekal sedangkan hak-hak pekerja tidak lagi dilindungi oleh akta pekerja itu.

"Bila akta yang baru ini tergubal, majikan yang menjadi 'out sourcing' akan menjadi majikan kekal," tegas beliau pagi tadi di lobi Parlimen.

Akta yang baru itu, menurut beliau lagi, sekaligus menghalang pekerja membawa kes masing-masing ke mahkamah kelak.

Lanjutan dari itu, majikan yang membekal pekerja, termasuk yang pendatang asing tanpa izin (PATI) bakal terus menikmati keuntungan daripada kerajaan tanpa perlu menghiraukan kaum pekerja yang mungkin bakal diberhentikan kerja kelak.

"Kalau Seksyen 69 (Akta Pekerja) ini dipinda, pekerja tiada hak langsung untuk tuntut hak atau pampasan (daripada majikan) walaupun dia sudah bekerja lebih 10 tahun," tambah beliau.

Bagaimanapun, beliau mengaku bahawa akta yang bakal dipinda itu menguntungkan kaum wanita kerana majikan jelas dilarang memecat pekerja wanita disebabkan faktor mengandung.

Menyambung kebimbangan Abdullah Sani itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mendesak kementerian berwajib supaya menangguhkan bacaan untuk kali yang ketiga di Dewan Rakyat kelak.

Bagi beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok, kerajaan sewajarnya menjelaskan kekeliruan pada akta yang mahu dipinda itu terlebih dahulu agar tidak terus merugikan pekerja.

"Kita minta tangguhkan dulu semua ini sehingga selesai rundingan berhubung status sub kontraktor itu.

"Isunya, akta ini mesti bersifat pro pekerja, bukannya pro majikan yang membekal pekerja," katanya.

Satukan Umno dulu sebelum ajak PAS

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 13 Julai: PAS menasihatkan mereka yang cuba berusaha menyatukan parti itu dengan Umno supaya tolong menyatukan sesama Umno dahulu sebelum menyatukan orang lain.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, Umno kini berada di dalam keadaan yang bercelaru dan perpecahan sesama sendiri, kerana berebut “kek projek “ yang semakin kecil.

Menurutnya, Umno sekarang berada di akhir hayat, kerana sudah kehilangan identiti dan krisis nilai di kalangan ahlinya.

Beliau berkata, perjuangan Umno hanya berteraskan kepada benda, bukan ideologi.

Mereka yang memimpin Umno, kata beliau semuanya kerana perjuangan perut bukan menegakkan idealisme perjuangan seperti mereka yang terdahulu.

“Masuk Umno kerana projek dan ‘mengalibabakan’ khazanah negara sehingga perjuangan bangsa tergadai. Sekarang apabila banyak projek sudah tidak ada khususnya di Selangor yang dianggap lubuk emas, maka pemimpin Umno cuba bercakap soal perjuangan bangsa dan perpaduan Melayu untuk menarik kembali sokongan rakyat di negara ini, dan cuba menjadi umpan perpaduan untuk menimbulkan keraguan di kalangan Pakatan Rakyat,” katanya.

Tegasnya, PAS terus komited dengan Pakatan Rakyat dalam agenda perjuangan politiknya di Malaysia.

Penegasan itu, katanya telah dikukuhkan lagi untuk kali terakhir di Retreat Pimpinan Tertinggi PAS di Port Dickson pada 9 hingga Julai lalu.

PAS, jelasnya merasa selesa untuk melaksanakan agenda perjuangannya bersama dengan Pakatan Rakyat di negara ini, dan sudah terbukti di Selangor dan Pulau Pinang walaupun bukan PAS yang mengetuai kedua-dua negeri tersebut.

Katanya lagi, program menyemarakkan kefahaman Islam lebih rancak di bawah pemerintahan PR walaupun baru berusia tidak sampai 3 tahun.

“Pencapaian ini boleh dilihat di masjid-masjid dan surau yang diimarahkan berbanding 51 tahun di bawah Umno memerintah, ini adalah fakta yang boleh diukur dengan mata kasar,” katanya.

PAS, katanya hendak menasihatkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan rakan-rakan yang sewaktu dengannya, kononnya mendakwa sebagai tenaga pemikir, sebenarnya penyokong Umno tegar, yang mempunyai kepentingan dunia yang tidak berkesudahan.

Menurutnya, mereka hanya berani bercakap kepada perkara yang menguntungkan politik Umno, tetapi membisu ketika kemungkaran dan pengkhianatan Umno kepada agama dan bangsa.

“Kita tidak dengar suara mereka mengkritik dengan lantang ketika khazanah negara habis disapu dan digadai.

“Membisu ketika kes Pulau Batu Putih, telaga minyak yang bernilai RM320 bilion terlepas kepada Brunei, 217 hektar tanah KTM difaraid dengan Singapura, tanah rezab Melayu yang ditinggal penjajah selepas merdeka seluas 3 juta hektar yang hanya separuh sahaja lagi yang berstatus rezab Melayu dan banyak lagi isu yang mengguris perasaan orang Melayu Islam di negara ini. Apakah semua ini angkara Pakatan Rakyat?” ujarnya.

Justeru, tambahnya PAS menasihatkan mereka itu agar berhentilah daripada menjadi ayam sabung Umno, untuk bersama-sama dengan PAS.

“Serulah rakyat untuk bersama dengan PAS, bukannya ajak PAS bersatu dengan parti yang sudah hendak karam. Habiskanlah sisa umur yang semakin senja untuk berbakti kepada perjuangan Islam yang dipimpin oleh PAS, ketika gerakan massa dari kalangan muda mudi yang tidak bertudung dan bersubang sebelah bersama PAS untuk menyelamatkan negara daripada kepimpinan yang rakus,” ujarnya.

Monday 12 July 2010

Sesat: Presiden PAS ajak ulama Umno muzakarah

Berita dari Harakah Daily

Nazri Abdullah

BANGI, 12 Julai: PAS mengajak biro agama dan mufti Umno bermuzakarah bagi menentukan perjuangan parti mana antara keduanya yang sewajarnya dilabel sebagai sesat.

"Dalam PAS ada Majlis Syura, ada Dewan Ulamak, dan dalam Umno ada biro agama dan ada mufti yang dilantik kerajaan, mari kita muzakarah untuk tentukan siapa yang sesat," kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau ditemui pada majlis makan malam bagi mengutip dana RM1.7 juta bangunan PAS Kawasan Putrajaya di Dewan Sri Cempaka, Kompleks PKNS di sini malam tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mendakwa PAS sebagai parti ajaran sesat sewaktu berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Kulaijaya, Johor minggu lalu.

Menurut Tuan Guru lagi, yang menentukan sama ada sesebuah parti itu sesat atau tidak bukannya Umno, tetapi dasar dan prinsip parti tersebut.

"Yang menentukan sesat atau tidak, ini Al-Quran dan Hadis, kembali kepada Al-Quran dan Hadis. Kita sentiasa terbuka untuk muzakarah," ujarnya lagi.

Hadir sama pada majlis malam tadi, Yang Dipertua PAS Putrajaya, Mohamad Nazir Zakaria dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bangi, Dr Shafie Abu Bakar.

Dalam pada itu, sewaktu berucap pada majlis tersebut, Tuan Guru berkata PAS perlu menyelamatkan rakyat di negara dari ajaran perkauman Umno dengan menyeru mereka kembali kepada ajaran Islam.

Pemimpin Umno, katanya telah menjadikan Islam di negara ini mengikut arahan mereka dan bukannya mereka yang mengikut ajaran Islam.

"Jika Islam ditegakkan Melayu akan selamat dan jika Melayu ditegakkan, Melayu tak selamat, Islam pun tak selamat.

"Orang bukan Islam pula jangan takut, Islam tidak memaksa mereka," katanya.

Menyentuh isu kerjasama PAS dengan bukan Islam khususnya DAP yang sering dimainkan Umno beliau menjelaskan, hubungan tersebut berbentuk kerjasama politik yang tidak menggadai prinsip Islam dan berbeza dengan hubungan Umno dengan komponen BN.

"Kerjasama Umno dengan MCA, MIC, Gerakan adalah secara wala’ (semua parti komponen kena patuh kepada Umno), menggadai konsep dan menggadai Islam.

"Kita bekerjasama dengan DAP secara tahaluf (kerjasama atas perkara yang sependapat) dan tidak gadai perinsip dan konsep kita," jelasnya.

Sunday 11 July 2010

30 PESERTA HADIRI KURSUS WARTAWAN

Pekan : 30 orang ahli PAS dari seluruh Pekan telah menghadiri Kursus Kewartawanan anjuran PAS Kawasan Pekan yang diadakan di Inderapura Beach Resort pagi ini.

Kursus yang bertujuan untuk mendedahkan kepada peserta teknik-teknik penulisan berita,telah dirasmikan oleh Yang DiPertua PAS Kawasan Pekan,Ustaz Abu Kassim Manaf.

Didalam ucapan perasmiannya, Ust Abu Kassim mengharapkan semuga dengan adanya kursus sebegini akan mampu menampung kelompongan berita dan saluran maklumat kepada masyarakat.

"Saya mengharapkan semuga kursus sebegini bakal melahirkan wartawan dari kalangan ahli-ahli PAS yang mampu menampung kelompongan maklumat untuk disampaikan kepada masyarakat supaya rakyat mendapat berita yang jelas" katanya.

Kertaskerja yang dibentangkan oleh Cik Fairuz bte Muhammad dari akbar Harian Sinar telah memberikan peserta kefahaman teknik dan kaedah penulisan berita.

Peserta juga didedahkan dengan dengan etika kewartawanan supaya berita yang ditulis benar-benar mampu memberikan impak yang baik dan tidak mendedahkan diri kepada tindakan dari pihak lain.

Walaupun kursus ini hanya dijalankan selama separuh hari sahaja,namun ilmu-ilmu penulisan yang dikongsikan oleh Cik Fairuz cukup berguna dan memberikan peluang kepada peserta untuk mengilap bakat yang sedia ada didalam bidang penulisan untuk sumbangan didalam Buletin yang bakal diterbitkan oleh Lujnah Penerangan PAS Pekan tidak berapa lama lagi.

Gambar-gambar sekitar Kursus Kewartawanan