Sunday 28 August 2011

Wednesday 24 August 2011

PAS PEKAN ZIARAH HOSPITAL MENJELANG EIDUL FITRI

Pada 16 Ogos 2011, PAS Kawasan Pekan telah membuat kunjungan dan ziarah ke Hospital Daerah Pekan untuk menyampaikan sumbangan hari raya kepada pesakit-pesakit dan beramah mesra dengan kakitangan Hospital Pekan.

Rombongan PAS Pekan kali ini diketuai sendiri oleh Yang Dipertua PAS Kawasan iaitu Ustaz Abu Kasim Manaf. Timbalan YDP Cikgu Abu Kassim Abdul Ghani, Ketua Muslimat Dr Harison dan AJK PAS Kawasan dan AJK Muslimat Kawasan juga turut serta dalam kunjungan tersebut.

Seawal jam 3.00 petang, rombongan PAS Pekan telah disambut oleh beberapa kakitangan Hospital Pekan peringkat pegawai dan jururawat.

Sejumlah 90 bungkusan sumbangan hari raya diagihkan kepada penghuni wad-wad dan juga kepada semua kakitangan Hospital Pekan. Program lawatan dan ziarah Hospital Pekan ini merupakan program tahunan Lajnah Kebajikan PAS Kawasan.

Kebanyakan pesakit amat gembira menerima kunjungan rombongan PAS. Ketua Muslimat PAS Kawasan yang juga merupakan seorang pengamal perubatan dan memiliki Klinik Persendirian adalah amat tidak asing bagi pesakit dan kakitangan Hospital. Kebanyakan pesakit juga adalah bekas pesakit di Klinik beliau.

Yang Dipertua PAS Kawasan Ustaz Abu Kasim Manaf berharap program yang mulia ini dapat diteruskan kerana ia dapat mengeratkan hubungan silaturrahim dan membantu menggembirakan masyarakat yang sedang ditimba musibah dan ujian kesihatan. Beliau menganggap program lawatan dan ziarah kali ini berjaya dan berharap ia dapat diteruskan pada tahun-tahun yang akan datang.













Tuesday 16 August 2011

KONVENSYEN PILIHANRAYA PAS PAHANG

Harakah daily : Khairil Abdul Rahim

TEMERLOH, 13 Ogos: Dengan jangkaan pilihan raya umum (PRU) 13 hanya dalam tempoh beberapa bulan dan PAS bersama Pakatan Rakyat pula berpotensi untuk mencipta kemenangan, satu konvensyen pilihan raya akan diadakan Rabu ini.

Konvensyen Pilihan Raya PAS Pahang yang dijadualkan pada 17 Ogos itu akan berlangsung di Markas Darul Amin, Sungai Gau bermula jam 8 pagi hingga 12 malam.

Menurut pengarah program Abdul Majid Hasan (gambar), pada majlis tersebut tiga tokoh PAS Pusat akan membentangkan pengarahan kerja serta motivasi iaitu Timbalan Presiden, Mohamad Sabu, Ketua Penerangan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pengarah Pilihan Raya, Dr Hatta Ramli.

“Tema konvensyen yang sangat penting ini ialah ‘Sederap Menjana Kemenangan’ dan ia lanjutan daripada program retreat pilihan raya yang diadakan di Cameron Highlands baru-baru ini.

“Matlamatnya ialah untuk merangsang, menggerakkan dan mengaktifkan jentera serta petugas di semua peringkat parti
untuk kemenangan pada PRU 13. Juga menyediakan roadmap bertindak mulai Ogos 2011.

“Urusetia menjangkakan 1,000 peserta akan hadir yang terdiri daripada anggota Badan Perhubungan Negeri, Dewan-Dewan, Kawasan PPPP, AIPP, DHPP dan Pimpinan Pakatan Rakyat Pahang,” katanya kepada Harakahdaily.

Abdul Majid yang juga Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pahang berkata, acara pada sebelah siang akan berakhir pada pukul 4 dengan penyerahan buku rumusan bertindak yang disepakati iaitu ‘Perincian Gerak Kerja Merujuk Resolusi Retreat’.

Pada sebelah malamnya akan diadakan tahlil dan iftar perdana, Solat Maghrib, Isyak, Tarawih dan diakhiri dengan ceramah perdana melibatkan ketiga-tiga tokoh.

Dalam pada itu Abdul Majid memberitahu, fokus PAS Pahang ialah untuk mendapatkan undi Melayu dan jika berjaya Pakatan Rakyat boleh mendapat majoriti mudah.

Tambahnya, ini tidak mustahil kerana 12 daripada 14 kerusi parlimen di Pahang merupakan kawasan Felda. Di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) pula, terdapat 25 kerusi kawasan Felda daripada 43 Dun keseluruhannya.

“Dengan peningkatan sokongan dibandar, sokongan bukan Melayu yang masih kekal, lonjakan kesedaran di kalangan peneroka Felda serta pelbagai kelemahan kerajaan negeri yang hangat diperkatakan, maka kita yakin Pakatan Rakyat boleh membuat kejutan dalam PRU akan datang asalkan pelan gerak kerja dilaksanakan di semua peringkat,” tegasnya.

Tambahnya, gelombang kebangkitan kemenangan Pakatan di Pahang bermula dengan konvensyen ini.