Sunday 29 August 2010

ZIARAH RAMADHAN - PAS CAWANGAN SEPEKAN JAYA & PJ3

Oleh Lajnah IT - DPPP

Ahad 29 Ogos 2010, PAS Cawangan Sepekan Jaya bersama PAS Cawangan Peramu Jaya 3 telah menjayakan satu program ziarah Ramadhan menjelang Syawal di sekitar Perumahan Sepekan Jaya dan Perumahan Peramu Jaya 3.

Program ini dianjurkan oleh dua cawangan tersebut dan pimpinan dari PAS Kawasan dijemput sekali bagi meraikan program tersebut. YDP PAS Kawasan Pekan, AJK PAS Kawasan, Ketua Muslimat dan AJK Pemuda PAS Kawasan turut serta pada program tersebut.

Kunjungan bermula di rumah Balu Almarhum Ustaz Adham Che Kob yang juga merupakan penceramah khusus bagi Qariah Surau Sepekan Jaya semasa beliau masih hidup. Kunjungan seterusnya dibeberapa buah rumah Ibu Tunggal, Anak-anak Yatim, Anak-anak kurang upaya dan keluarga yang berpendapatan rendah. Hampir 21 buah rumah di sekitar Perumahan Sepekan Jaya dikunjungi oleh rombongan PAS pada hari tersebut.

Sumbangan dari tabung kebajikan cawangan PAS Sepekan Jaya dan Peramu Jaya 3 digunakan untuk menjayakan program tersebut. Sumbangan diberikan berupa wang tunai bagi menampung keluarga mereka menghadapi Syawal yang bakal menjelma.

Rombongan ziarah seterusnya ke Perumahan Peramu Jaya 3 yang diketuai oleh Ketua UPU PJ3 Sdr. Wan Zainuddin. Beberapa buah rumah Ibu tunggal dan warga emas dikunjungi. Mereka menyambut baik kunjungan rombangan PAS Kawasan Pekan dan menganggap sumbangan yang diberikan adalah rezeki mereka di bulan Ramadhan ini.

Program ziarah ini di sempurkan sekitar jam 1.15 petang dan rombingan mengakhiri program dengan bersolat zuhur berjemaah di Surau Al Ehsan Sepekan Jaya.

Pada sebelah malamnya pula, diadakan Iftar Jamaei Kariah Surau Al Ehsan dan tahlil perdana. Selepas solat sunat Tarawikh berjemaah 1 slot Tazkirah disampaikan oleh YDP PAS Kawasan Pekan Al Fadhil Ustaz Abu Kasim bin Manaf.






IFTAR JAMA'IE PAS KAWASAN PEKAN

Oleh Lajnah IT - DPPP

Sabtu - 28 Ogos 2010 bersamaan 18 Ramadhan 1431Hijrah PAS Kawasan Pekan sekali lagi mengadakan Iftar Jamaei bagi meraikan ahli dan Penyokong PAS kawasan Pekan. Program ini diadakan di Madrasah Al Husna bermula jam 6.00 petang dan berakhir sehingga selesai solat tarawikh secara berjamaah.

Program bermula dengan gotong-royong menyediakan makanan untuk berbuka puasa. 1 ekor lembu telah ditumbangkan dan di masak secara bergotong royong di rumah Pak Ali, Kampung Parit Pekan. Penyediaan minuman dan penyediaan juadah berbuka puasa telah disempurkan oleh Ahli Dewan Pemuda PAS Kawasan Pekan.

Pada petangnya, program sumbangan bantuan hari raya berupa wang tunai dan keperluan rumah disempurkan oleh YDP PAS Kawasan Pekan Al Fadhil Ustaz Abu Kasim bin Manaf. Penerima sumbangan adalah anak-anak yatim, ibu tunggal dan mereka yang kurang bernasib baik. Lebih 30 orang penerima sumbangan telah hadir pada program tersebut.

Program Iftar Jamaei kali ini juga disertai oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang iaitu Al Fadhil Ustaz Yusuf bin Embong dan beliau mengakhiri program kali ini dengan menyampaikan tazkirah beliau. Program kali ini disertai oleh hampir 200 orang muslimin dan muslimat ahli pas dan penyokong sekitar Pekan.








Friday 27 August 2010

Thursday 19 August 2010

Di sini, Dinar dan Dirham : Di sana, Dengki dan Dendam

Kadang-kadang tingkah laku pemimpin UMNO ini sangat mudah untuk dijangka. Apa saja yang baik datang dari Kelantan,itulah yang akan dibangkang habis-habisan oleh UMNO. Sebut saja apa jua perkara yang datang dari Kelantan, berduyun-duyunlah pemimpin UMNO 'menunjuk cerdik' memberi komen. Kalaupun nampak janggal, tiadalah mereka peduli asalkan nampak hebat di mata pandangan gerombolan mereka.

Seingat saya, sepanjang dua dekad usia kerajaan PAS di Kelantan bermula tahun 1990 ini, itulah yang sentiasa kami hadapi. Cuti dua hari seminggu digelar sebagai 'budaya pemalas', akhirnya orang yang sama menelan kembali ludahnya. Cuti 60 hari kakitangan wanita yang bersalin turut dipandang sinis, kemudiannya tanpa segan silu ditiru. Jangan lupa pemerkasaan perbankan Islam turut bermula dengan langkah kerajaan Kelantan memindahkan wang kerajaan dari bank riba ke perbankan Islam. Itu belum termasuk program-program kebajikan seperti Skim Takaful Kifalah, Skim Armalah, Ladang Rakyat dan panjang lagi senarainya.

Terbaru apabila kerajaan Kelantan melancarkan mata wang syariah Emas Dinar dan Perak Dirham (D&D) 12 Ogos lepas, maka bersatulah pemimpin UMNO untuk menghentam langkah ini. Ramadhan yang sepatutnya menjadi bulan damai dan pesta ibadat menjadi pesta menghentam kerajaan Kelantan.

Saya ingin nyatakan, apakah salahnya Kelantan ingin memulakan jihad ekonomi ini? Jika UMNO / BN enggan memulakan,jangan pula menidakkan usaha pihak lain. Saya ulangi penegasan yang dibuat sebelum ini oleh ahli Exco saya, Datuk Haji Husam Musa bahawa apa yang dilancarkan oleh Kelantan bukanlah mata wang, ia hanyalah pengenalan kepada sistem barter trade.Tukar suka sama suka dengan kerelaan tidak pernah dihalang di negara demokrasi ini. Setiap orang berkuasa ke atas barangannya dan berhak membuat keputusan.Apa yang salah ialah membuat keputusan ke atas barangan yang kita tidak berhak.Contohnya, memberi percuma dua blok minyak minyak milik rakyat yang berharga ratusan billion ringgit kepada kuasa asing. Atau merompak hak milik rakyat Kelantan ke atas telaga minyak dengan menafikan royalti!

Seperti yang saya nyatakan di dalam ucapan perasmian pelancaran 12 Ogos lepas, sistem wang kertas diperkenalkan oleh penjajah untuk menguasai ekonomi umat Islam. Hasilnya,seluruh manusia di dunia diperkotak-katikkan oleh kuasa-kuasa besar untuk mempercayai nilai yang ada pada sekeping kertas. Kertas tersebut hakikatnya langsung tidak mempunyai sandaran yang didakwa. Jika kita menaiki bas atau keretapi contohnya, kita membayar dan diberikan resit. Resit tersebut ialah tanda kita telah membayar kepada perkhidmatan yang diberikan, ertinya resit tersebut tidak mempunyai nilai apa-apa kecuali setelah bayaran diberikan. Hari ini, bank mengeluarkan wang kertas tanpa sebarang sandaran nilai. Kononnya ia disandarkan pada nilaian emas, hakikatnya ia disandarkan kepada keadaan ekonomi semasa sesebuah negara. Ini sebenarnya lebih teruk dari resit bas dan keretapi tadi.

Realitinya mata wang tidak berharga melainkan jika Kerajaan memberi nilai kepadanya. Wang kertas RM1.00 bukan bernilai RM1.00 daripada segi harga kertasnya. Ia bernilai RM1.00 kerana itulahnilai yang ditetapkan oleh Kerajaan. Jika Kerajaan mencetak angka lima atau sepuluh maka nilai kertasnya tidak naik kepada RM5.00 atau RM10.00. Hanya pengakuan dan jaminan Kerajaan yang menjadikannya bernilai sebanyak mana yang ditentukan. Itulah hakikatnya wang kertas.

Tertarik saya apabila seorang Timbalan Menteri yang baru-baru ini heboh telah meluluskan lesen judi tiba-tiba mengeluarkan kenyataan bahawa Dinar Emas dan Perak Dirham ini boleh menyebabkan kerugian. Terlintas di benak saya, jika begini taraf pemikian seorang timbalan menteri, apapula jenis pemikiran yang ingin diasuh kepada rakyat.

Emas merupakan komoditi yang paling stabil harganya. Ia akan terus meningkat jika dibandingkandengan wang ringgit. Bukankah Tun Dr Mahathir sendiri pernah melancarkan gold coin yang dinamakan Kijang Emas keluaran Bank Negara Malaysia satu ketika dahulu? Mari kita semak harganya. Pada 18 Julai 2001, sekeping syiling Kijang Emas seberat 1 auns harganya ialah RM1, 082.00. Hari ini pada tarikh 1 Julai 2010, ia sudah boleh dijual dengan harga RM4,104.00. Ertinya jika seseorang melabur sebanyak RM 108,200.00 dengan membeli seratus keping Kijang Emas pada tahun 2001, kini ia boleh dijual dengan harga RM410,400.00. Keuntungan 400% dalam masa 9 tahun! Butiran ini boleh dilayari di (http://www.bnm.gov.my/). Ini bukti harga emas tidak akan turun. Paling tidak pun, lebih baik daripada sebuah syarikat penerbanganyang rugi RM535 Juta pada suku kedua tahun ini!

Di dalam al-Quran sendiri menceritakan kisah Ashabul Kahfi yang tertidur selama 309 tahun di dalam sebuah gua. Apabila bangkit mereka menggunakan duit perak yang ada di tangan mereka untuk membeli makanan. Ertinya, selepas 309 tahun, duititu masih elok dan mempunyai nilai seperti sedia kala.

Justeru, saya nasihatkan kepada pihak-pihak tertentu, janganlah terburu-buru menidakkan usaha-usahakerajan Kelantan. Tidak cukup tenaga di Malaysia, diambil pula tulisan kolumnisyang beraliran orientalis untuk menghentam kami. Sehingga langkah kami mengasingkan kaunter bayaran di pasar raya disifatkan sebagai 'aparteid agama'.Bagaimana pula langkah Keretapi Tanah Melayu menyediakan gerabak khas bagiwanita? Itu aparteid apa namanya?

Saya ingin bertanya, apa kurangnya kami di Kelantan dengan anda yang berada di Pusat. Jika anda mempunyai pakar ekonomi, kami pun mempunyai pakar ekonomi. Takdirnya bertukar teraju di Putrajaya nanti, kami juga mampu mentadbir bahkan lebih baik dari anda, Insya-allah. Janganlah dibiarkan hasad dengki menguasai menyebabkan ternafinya segala kebaikan yang kami lakukan. Jangan pula kami di sini melancarkan Dinar dan Dirham (D&D), anda di sana melancarkan dengki dan dendam!

Akhir kata, jika datanglah bertadarus dengan kami di Kelantan di bulan Ramadhan ini. Salah satu ayat yang menjadi menjadi bacaan kami sekarang ialah ayat 63 dari Surah al-Furqan yang bermaksud :

"Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu(ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandung) keselamatan."

Salam Ramadhan.

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,

Pejabat Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh : 8 Ramadhan 1431H / 18 Ogos2010M

Friday 13 August 2010

'MAT SABU' PEKAN KEMALANGAN

Hari ini..3 Ramadhan 1431 Hijrah, bersamaan 13 Ogos 2010 satu kemalangan yang melibatkan seorang aktivis PAS Kawasan Pekan iaitu saudara Abdul Ghaffar atau lebih dikenali oleh Ahli PAS Kawasan Pekan sebagai MAT SABU.

Kemalangan tersebut berlaku pada jam 1 petang ketika beliau bersama anak lelakinya berumur 15 tahun menunggang motosikal untuk bersolat Jumaat di Masjid Tanah Putih, Pekan. Kejadian yang mengejutkan ramai ahli PAS tersebut berlaku di simpang 4 Kampung Pulau Serai berdekatan surau Kampung tersebut.

Ketika kemalangan tersebut berlaku, 'MAT SABU' tidak sempat mengelak dipersimpangan 4 tersebut lalu terlanggar sebuah kenderaan Proton Satria. Beliau tercampak dan pengsan tidak sedarkan diri ketika kemalangan tersebut berlaku. Anak beliau mendapat kecederaan ringan dengan luka dibahagian lengan.

Beliau dikejarkan ke Hospital Pekan dengan serta merta dan ketika sampai di Hospital Pekan beliau mulai sedar . Beliau mendapat kecederaan di bahagian kaki dan hidung serta sakit dibahagian dada dan pinggang.

Beliau mendapat rawatan di wad kecemasan dan doktor bertugas telah membuat X-ray di bahagian kepala serta dada dan telah membuat keputusan membenarkan beliau pulang dengan jangan rapi dan memastikan jika beliau muntah-muntah dan sakit kepala dalam masa 24 jam tersebut maka perlulah dibawa ke hospital dengan kadar segera. Pada Jam 3.15 petang beliau telah dibenarkan pulang untuk berehat dirumah.

Antara yang awal melawat beliau adalah YDP PAS Kawasan Pekan Ustaz Abu Kassim Manaf, Timbalan YDP PAS Kawasan Pekan Cikgu Abu Kassim Abdul Ghani, Ustaz Karim Sidek, Abang Wan Zainuddin, Kapten Ahiatuddin (Setiausaha PAS Kawasan) dan beberapa AJK Pemuda Kawasan.

Pihak PAS Kawasan Pekan mengucapkan ribuan terima-kasih kepada doktor dan kakitangan Hospital Pekan kerana telah memberi rawatan dan layanan yang baik kepada 'MAT SABU'.



















Posted by : Lajnah IT, DPP Kawasan Pekan
sumber : http://fadhilnormenulis.blogspot.com

Thursday 5 August 2010

RETORIK PALSU MENGENAI HAK MELAYU

Oleh : Mohd Habib Abdullah

Apakah yang dimaksudkan dengan “hak-hak Melayu” dan dimana termaktubnya hak-hak ini? Adakah ianya adil dan sah sekiranya sesuatu kaum mengapropriasi “hak” yang melebihi daripada apa yang diperuntukan dalam Perlembagaan?

Baru-baru ini, terdapat cadangan untuk memansuhkan diskaun bumiputera bagi hartanah mewah. Dan seperti biasa, hero-hero Melayu akan menggoncang pedang dan menghentakkan kaki kerana kononnya “hak-hak istimewa” Melayu telah sekali lagi tergugat.

Saya faham politik semasa. Politik adalah seni membohong dan menipu, seni mengkritik dan menepis kritikan. Apa yang ahli politik luahkan adalah tidak lebih dari retorik dan janji-janji manis, yang menjadi topeng kepada agenda tersendiri ahli politik tersebut. Tetapi apa yang saya tidak boleh terima adalah politik perkauman, lebih-lebih lagi yang jauh terpesong daripada kedudukan sebenar. Maka apabila ahli politik atau hero-hero ini berdegar-degar bercerita tentang “hak-hak Melayu,” saya rasa terpanggil untuk menjawab.

Retorik “hak Melayu” ini semakin menjadi-jadi sejak akhir ini. Malahan, jika diteliti, ia mula mendapat sambutan sejak pilihanraya umum 2008. Sesetengah pihak, dalam usaha mereka untuk terus menjadi releven, telah memilih untuk menggunakan retorik ini sebagai bahan politik mereka. Selalunya ahli politik sedemikian adalah ahli politik picisan yang tidak mempunyai nilai-nilai yang mencukupi untuk mengangkat mereka daripada gred C atau B kepada gred A. Dengan memainkan isu seperti yang penuh emosi seperti ini, mereka akan lebih mudah mendapat sambutan.

Dikatakan bahawa hak orang Melayu kian terhakis. Tergugat. Cauvanis Cina sedang bersengkol dengan agen asing untuk menawan negara dan menjadikan Malaysia sebagai Singapura. Orang Melayu perlu bersatu untuk menghadapi ancaman ini. Orang Melayu perlu bersatu untuk “mempertahankan hak-hak Melayu.”

Tetapi apa itu “hak-hak Melayu”? Rakyat semakin cerdik. Meraka mahukan dalil jika berhujah tentang sesuatu perkara. Tidak cukup untuk berkata bahawa “Melayu ada hak.” Orang akan bertanya, di mana datangnya hak itu? Untuk memberi legitimasi kepada hujah mereka, pelopor retorik ini mencekup “dalil” mereka daripada Perlembagaan Persekutuan.

“Hak-hak Melayu seperti yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan!” jerit mereka. Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan menjadi peruntukan keramat kepada mereka. Ia menjadi selimut luas yang melingkupi segala apa yang mereka katakan sebagai “hak Melayu.”

Malangnya, rakyat masih belum celik Perlembagaan. Rakyat mungkin mahukan dalil, tetapi masih tidak menyemak samada dalil yang disajikan adalah benar. Apabila ahli-ahli politik ini menggunakan Perkara 153 sebagai dalil mereka, ramai yang percaya. Lagipun, sudah terbukti bahawa sekiranya sesuatu perkara itu diulang berkali-kali, orang ramai akan mempercayainya lama kelamaan. Propaganda 101.

Saya tidak ingin menyelami Perkara 153 di sini. Saya percaya ramai komentar dan penulis di luar sana yang telahpun menukil rencana tentang peruntukan ini. Cukuplah di sini bahawa Perkara 153 memperuntukan tentang kedudukan istimewa orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak dalam perizaban quota dalam beberapa perkara seperti perkhidmatan awam, lesen dan biasiswa. Perkara 153 ini tidak boleh dimansuhkan atau dipinda dengan sewenang-wenangnya oleh Parlimen dan perlu persetujuan daripada Majlis Raja-Raja. Maka momok bahawa Perkara 153 ini adalah dalam bahaya jika Melayu tidak bersatu adalah tidak lebih daripada bohong yang dicanang oleh sesetengah pihak.

Lebih penting lagi, kita harus membezakan di antara Dasar Ekonomi Baru (DEB, atau NEP dalam bahasa Inggeris) dan Perkara 153. Ramai orang telah keliru atau sengaja mengelirukan antara keduanya, walhal satu hanyalah dasar nasional dan satu lagi adalah peruntukan Perlembagaan. Menukar, memansuhkan atau meminda DEB tidak bermakna mencabar Perlembagaan.

Berbalik kepada pemansuhan diskuan kepada bumiputera dalam pembelian rumah. Banyak pihak berhiruk dan berpikuk yang kononnya ini adalah salah satu daripada “hak istimewa orang Melayu” yang “tidak harus dicabar.” Tetapi adalah terang lagi bersuluh bahawa diskaun ini adalah dasar yang diperkenalkan oleh DEB dan tidak ada kena-mengena dengan Perkara 153. Tidak langsung terlakar dalam Perlembagaan bahawa orang Melayu berhak mendapat diskaun dalam membeli rumah.

Samalah juga pemberian tender kepada kontraktor Melayu bukanlah sesuatu peruntukan Perlembagaan yang menjadi hak tetapi sesuatu dasar di bawah semangat DEB. Dan walaupun Perkara 153 mempunyai peruntukan tentang perizaban kuota dalam biasiswa dan pendidikan, ia tidak pula menyatakan bahawa mana-mana universiti atau kolej hanya boleh membawa masuk pelajar bumiputera. Hujah sesetengah pihak bahawa universiti tertentu adalah “benteng terakhir” kaum bumiputera tidak boleh dipertahankan dengan merujuk kepada Perlembagaan.

Inilah masalahnya. “Hak Melayu” telah dipesongkan untuk meliputi pelbagai perkara yang langsung tidak berlandaskan Perlembagaan. Ada ahli politik, dalam membantah pemilihan hakim-hakim melalui suruhanjaya, berhujah bahawa ini akan membolehkan seorang bukan Melayu untuk menjadi Ketua Hakim Negara. Ada pula ahli politik yang berkata bahawa pemindahan kuil Hindu kepada kawasan majoriti Melayu adalah bertentangan dengan Perlembagaan. Bahkan, ada juga mengatakan bahawa kritikan terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah serangan ke atas “institusi-institusi Melayu.”

Sejak bila pula perlantikan Ketua Hakim Negara, penentuan tempat-tempat ibadat dan PDRM menjadi sebahagian daripada “hak-hak Melayu” yang terkandung di dalam Perlembagaan? Dan jika Perlembagaan tidak mempertukannya, dari mana pula datangnya apa yang disebut sebagai “hak”?

Secara dasarnya, saya tidak mempunyai masalah dengan usaha memartabatkan orang Melayu. Tidak salah sekiranya bantuan diberikan kepada orang Melayu yang memerlukannya. Sekiranya tidak bersetuju dengan pemansuhan diskaun bagi rumah mewah, berikan alasan mengapa tidak bersetuju secara rasional dan telus. Jangan bersandarkan retorik “hak Melayu” yang tidak mempunyai asas. Jangan membakar sentimen perkauman demi agenda politik yang sempit.

Perlembagaan kita telah mencapai keseimbangan di antara kepentingan pelbagai kaum di dalam negara ini. Oleh itu, tidak adil dan tidak sah sekiranya sesuatu kaum mengapropriasi “hak” yang melebihi daripada apa yang diperuntukan dalam Perlembagaan.

Sudah tiba masanya kita, sebagai rakyat biasa, mencelikkan mata kita kepada Perlembagaan. Kita harus memperkukuhkan diri kita dengan konsep keperlembagaan, tentang hak dan tanggungjawab. Kita tidak boleh biarkan ahli politik dan pihak-pihak berkepentingan untuk memperalatkan kita, melaga-lagakan kita dan memperbodohkan kita dengan omong-omong dusta. Hanya apabila kita mempunyai pemahaman barulah kita boleh bezakan yang hak dan yang batil.

Monday 2 August 2010

30 ditangkap, kawasan himpunan dikepung

Harakahdaily

PASIR SALAK, 1 Ogos: Seramai 30 orang termasuk 10 anggota Unit Amal telah ditahan polis sehingga lewat petang ini yang dimulai kira-kira jam 4.00 petang ini sementara seluruh kawasan Himpunan Warga Felda Kebangsaan di Changkat Lada, di sini dikepung.

Tangkapan turut dilakukan terhadap mereka yang memakai pakaian beridentitikan penganjur program.

Semua yang ditangkap dibawa ke Balai Polis Kampung Gajah.

Tangkapan rambang di luar kawasan itu dibuat sewaktu peguam Wan Rohaimi Wan Daud membentangkan kertasnya sebagaimana yang dijadualkan.

Wan Rohaimi adalah peguam yang memenangkan kes saman Felda oleh para peneroka Kemahang 3.

Pihak polis mengetatkan kawalan sekitar kawasan itu termasuk mengadakan sekatan jalan raya sekitar jam 3.00 petang bagi menghalang orang ramai daripada memasuki tapak himpunan.

Dua buah trak Black Maria turut kelihatan berada di situ.

Anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) juga sudah berada berhampiran kawasan himpunan itu.

Para hadirin termasuk mereka yang keluar pada waktu rehat sebelum ini juga tidak dapat memasuki kawasan itu khususnya bagi mengikuti majlis penutup yang dijangka dirasmikan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu petang ini.

Ekoran situasi itu, Mohamad Sabu juga terhalang daripada merasmikan majlis penutup itu.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Anak-anak Peneroka Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman menyifatkan himpunan kali pertama itu mencapai matlamat melalui pembentangan dua kertas kerja termasuk oleh aktivis Felcra Lubok Sireh, Razi Mustafa serta ucaptama oleh Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dan ulasan isu oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim.

Beliau berkata, ekoran tindakan pihak keselamatan yang mengepung kawasan himpunan, suasana yang tidak mengizinkan, 30 orang telah ditangkap, nasib orang awam dan para peniaga membimbangkan, maka majlis ceramah perdana pada malam ini yang melibatkan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Naib Presiden PKR, Mustaffa Kamil Ayu dan Mohamad Sabu dibatalkan.