Saturday 15 November 2008

Politik wang semakin berleluasa lambang kehancuran UMNO


Politik wang yang semakin berleluasa dalam UMNO kini mendapat perhatian masyarakat dan parti lain yang melihatnya sebagai penyebab kehancuran parti itu.

Yang Dipertua PAS Kawasan Pekan, Ustaz Abu Kassim Manaf berkata, masalah politik wang ini sudah menjadi budaya dalam UMNO dan ia adalah sesuatu yang sukar dibanteras.

Menurutnya, masalah ini pasti dapat dibanteras dengan mudah jika ia baru berlaku dan diberi perhatian sejak awal lagi.

“Keadaan dalaman UMNO yang sememangnya goyah mempamerkan kelemahan mereka dan masalah tersebut mempamerkan semua kelemahan dan ketidaktelusan yang berlaku dalam parti UMNO.”

“Secara peribadi, saya melihat situasi politik dalaman UMNO dan juga Barisan Nasional berada pada tahap yang mendukacitakan dan sukar untuk diselamatkan.”

Ustaz Abu Kassim berkata, masalah politik wang bukan saja berlaku di kalangan ahli bawahan malah ahli tertinggi parti yang seharusnya menjadi contoh terbaik bagi pengukuhan parti.

“Jika ingin bertanding sebagai ahli jawatankuasa bahagian sahaja memerlukan beribu-ribu ringgit, bagaimana pula dengan mereka yang bertanding jawatan yang lebih tinggi?”

Katanya, mereka yang kaya dan memiliki perniagaan yang besar turut terlibat dalam perkara itu melalui pemberian wang dan sagu hati sebagai cara mendapatkan projek-projek besar.

“Dorongan secara tidak langsung ini terus menjadi ‘makanan’ dalam politik yang dimainkan dan membawa kehancuran parti,” katanya.

Menurutnya, bagi memulihkan kembali kejernihan masalah tersebut mereka seharusnya kembali kepada agama Islam dan bersama-sama membersihkan dalaman diri.

“Kebersihan hati dapat mengelakkan diri kita daripada menerima perkara-perkara yang tidak baik dan menghancurkan kepimpinan dan diri sendiri,” katanya.

Sinar Harian

No comments: