Saturday 10 January 2009

Tambah suara rakyat di Parlimen

Pengarah Operasi Jentera Pilihan raya PAS bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Abdul Muttalib Embong menyeru pengundi supaya memberikan sokongan kepada PAS untuk membolehkan suara rakyat dapat disampaikan di Parlimen.

Katanya, PAS bukan sekadar bertanding untuk untuk memenangi kerusi politik sahaja pada pilihan raya kecil itu tetapi untuk menyampaikan seruan rakyat di Dewan Rakyat.

“Insya Allah, 17 haribulan ini, bukanlah kita sekadar bertanding untuk memenangi kerusi politik, tetapi seruan yang akan kita sampaikan di Parlimen,” ujarnya pada satu majlis di Masjid Hiliran, di sini.

Beliau yang mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas kesempatan yang diberikan kepada PAS menggunakan premis itu menambah, ia digunakan untuk menyampaikan perkara yang amat penting.

“Yakni seruan untuk menyempurnakan fitrah kejadian kita sebagai khalifah di muka bumi ini ialah mengabdikan diri untuk memerintah, membentuk keimanan dan akhlak umat Islam, yang telah pun dicemari pada hari ini, dengan budaya-budaya dan ajaran yang menyesatkan pada hari ini,” ujarnya.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri mengambil contoh bagaimana sambutan yang dilakukan sempena menyambut Hari Natal oleh masyarakat di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang baru-baru ini bukan sahaja memalukan umat Islam tetapi memalukan masyarakat yang bertamadun.

“Dan inilah suatu contoh yang kita lihat, kenapa kita mesti menambahkan suara kita di parlimen, yang boleh menyedarkan bahawa kegagalan pemerintahan di Malaysia selama 50 tahun ini, yang menghancurkan harapan ummah, yang menghancurkan harapan untuk menegakkan agama Allah di bumi yang kita hidup pada hari ini,” ujarnya.

Justeru, katanya adalah menjadi kewajipan setiap individu Islam dan bukan Islam untuk melihat keadilan Ilahi kerana ianya melintasi etnik kaum, bangsa dan agama. Ini, tambahnya selaras dengan diutuskan Nabi Muhammad untuk membawa rahmat kepada seluruh alam tanpa mengira bangsa, keturunan dan apa sahaja sehingga unggas dan binatang yang melata di bumi juga akan mendapat rahmat daripada Islam.

“Dan inilah untuk kita menjadikan panduan, kewajipan diri individu untuk melihat keadilan Islam, keadilan Ilahi itu akan dinikmati oleh seluruh penduduk bumi ini, apa sahaja kaum, apa sahaja agama, yang ada nada bersama-sama kita,” ujarnya.

Siasah

No comments: