Tuesday 3 February 2009

SPR: Dua exco Perak masih Adun

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang didakwa kosong - Behrang dan Changkat Jering - masih lagi disandang oleh wakil-wakil rakyat PKR.

Dalam mesyuarat khasnya pagi ini, SPR memutuskan wujud keraguan pada surat peletakan jawatan Jamaluddin Mat Radzi dan Mohd Osman Jailu - masing-masing sebagai ahli dewan undangan negeri (Adun) Behrang dan Changkat Jering.

Pengerusi SPR Datuk Abdul Aziz Yusuf mengumumkan demikian susulan wujud kekeliruan selepas Speaker DUN Perak V Sivakumar menyerahkan surat-surat tersebut kepada SPR negeri semalam.

Pada hari yang sama, Jamaluddin dan Mohd Osman turut menyerahkan surat, menyatakan bahawa surat peletakan mereka itu tidak berkuatkuasa.

Surat peletakan jawatan itu diserahkan kepada SPR selepas desas-desus kedua-duanya akan meninggalkan PKR dan menyertai BN sejak minggu lepas.

Jamaluddin dan Mohd Osman semalam bagaimanapun menyatakan akan kembali bertugas seperti biasa dan "tidak timbul mereka telah bertukar parti."

Malaysiakini

No comments: