Saturday 7 February 2009

UMNO BUANG TABIAT Bila Terpaksa Membentuk Sebuah Kerajaan Haram versi Najib Sparrow

Saya melihat UMNO semakin berkelakuan pelik dan ganjil malah kian menjadi - jadi. Orang tua-tua kata " buang tabiat " dan biasanya dituju kepada orang yang berada di ambang maut.

Mungkin nampak segar dan sihat tetapi dengan beberapa kelakuan " buang tabiat " ia bermaksud bila - bila masa sahaja dia boleh mati.

Tambahan pula usia UMNO yang kini dipenghujung usia. Terlalu banyak simptom "buang tabiat" yang kini berlaku kepada UMNO. Terkini mereka merampas kuasa dengan cara yang tidak bermoral.

Memperdaya dan mengambil kesempatan ke atas ADUN yang terpalit dengan dakwaan rasuah serta ADUN yang tidak berprinsip seperti ADUN BOTA yang berjaya melakukan lompatan spring untuk membentuk kerajaan haramnya.

Melengkapkan simptom "buang tabiat" ini, UMNO bertindak nekad membelakangkan peruntukan perlembagaan dan menodai kedaulatan undang-undang apabila mereka menabalkan menteri besar haramnya kelmarin. Sedang MB Datuk Seri Ir. Muhammad Nizar Jamaludin belum meletakkan jawatan dan sidang DUN belum berlangsung serta tiada sebarang undi tidak percaya dikemukakan melalui prosedur yang sah terhadap Datuk Seri Nizar.

Semuanya ini kerana "buang tabiat" yang mendorong mereka bertindak gelojoh dan rakus . Tidak ubah seperti lanun Jack Sparrow yang jahat-jahat bodoh lakunya.

Benarlah Tuanku Sultan Perak menyuruh atau menitah supaya YAB Datuk Seri Nizar meletakkan jawatan. Tetapi Datuk Seri Nizar belum meletakkan jawatan dan hak meletakkan jawatan adalah hak Datuk Seri Nizar. Kalau ia enggan meletakkan jawatan kerana menyakini bahawa beliau adalah MB yang sah dan Tuanku Sultan tidak mempunyai hak atau kuasa untuk melucutkan jawatan MB. Sekadar menyuruh letak jawatan ianya tidak wajib dipatuhi.

Persoalannya tertumpu kepada kelakuan UMNO yang luar biasa gelojohnya. Tidak sabarnya untuk kembali ke tampuk kuasa yang hilang ditolak rakyat dalam pilihanraya lalu dilihat seperti orang gila talak atau ayam gilakan sangkak. Sungguh memalukan dan saya yakin ini adalah petanda UMNO menuju detik kehancurannya.

Kelakuan "buang tabiat"nya menimbulkan rasa jengkel dalam hati rakyat. Pelbagai pihak mula menilai kejahatan dan kebodohan UMNO kian menjadi-jadi. Terdorong dari rasa malu yang keterlaluan ekoran kekalahan di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu yang kebetulannya Datuk Najib yang mengetuai kontijen UMNO dan BN menghadapi Pilihanraya kecil di dua kawasan tersebut.

Kini Najib yang dilantik menjadi Pengerusi BN Negeri Perak telah mengamuk, merampas kuasa dan mengguling Kerajaan PAKATAN dengan cara yang cukup tidak bermoral dan brutal. Kononnya Najib mahu membina kembali imejnya. Harapannya orang akan menyanjung beliau kerana berjaya mengembalikan pemerintahan UMNO dan BN di Perak.

Malangnya Najib Sparrow ini lupa bahawa tindakannya yang tidak bermoral membentuk kerajaan melalui rampasan kuasa lalu menubuhkan kerajaan haram di Perak hanya mengundang rasa benci, mual dan marah rakyat kepadanya.

Apalagi kerajaan itu terdiri dari ADUN yang terpalit rasuah. Sebelumnya PAKATAN membiarkan 2 ADUN tersebut dibicarakan oleh BPR melalui proses undang-undang yang telus biarpun mereka berdua adalah exco Kerajaan sebelumnya, tetapi ia diselamatkan oleh Najib Sparrow. Kini benar dan tepatlah persepsi umum bahawa UMNO adalah parti yang kaya dengan rasuah.

Kerana rasuah inilah Tengku Rithaudeen Pengarah Lembaga Displin UMNO meminta supaya Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri UMNO di bubarkan demi menyelamatkan UMNO. Ini bukan pandangan dari JKKK. Tetapi pandangan dari orang lama UMNO yang menjawat Pengarah Lembaga Disiplin UMNO, menggambarkan parahnya keadaan UMNO dan BN hari ini.

UMNO kini buang tabiat. Lebih tenat kata seorang kawan saya : " Ustaz, UMNO bukan buang tabiat... tapi sememangnya telah menjadi tabiat UMNO berkelakuan begitu.... saya hanya senyum lebar :)

Ustaz Nasrudin at-Tantawi

1 comment:

Unknown said...

Mmglah UMNO lanun, Ketua lanun adalah Dato' Najib Tun Tuya!Ahli parlimen tempat kitele..