Monday 26 July 2010

ISA: Bukti Umno BN tidak peduli suara rakyat

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 Julai: Tangkapan terbaru seorang pemuda di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) membuktikan bahawa kerajaan Umno BN gagal mendengar suara rakyat.

Sehubungan itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Nasrudin Hassan at-Tantawi (gambar) menyatakan kekesalan di atas tangkapan terbaru ISA terhadap Fadzlullah di Sungai Buloh tempoh hari.

Fadzlullah, 28, ditahan di Sungai Buloh pada Khamis lalu sekitar jam 11 malam oleh seorang pegawai polis berpakaian seragam serta 14 pemuda berpakaian biasa yang dipercayai dari Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman. Polis hanya mendakwa beliau mengunakan kedudukannya sebagai guru agama untuk merekrut pelajar menjadi ahli Jemaah Islamiah (JI).

Akhbar melaporkan kononnya Fadzlullah ada kaitan dengan seorang pendakwah dari Syria, Aiman Dakak dan seorang guru dari Malaysia, Azzahari Murad.

Pada Januari tahun ini, Aiman ditahan dengan sembilan orang lagi atas alasan disyaki pengganas, manakala Azzahari masih ditahan di bawah undang-undang pencegahan.

Nasrudin berkata, kalau dalam tindakan menarik balik lesen judi bola, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengatakan kerajaan ‘mendengar’ rintihan rakyat, namun beberapa tindakan kerajaan kebelakangan ini tidak langsung mencerminkan yang kerajaan mengambil kira suara rakyat.

Sebagai contoh, katanya kenaikan harga minyak, gas dan gula baru-baru ini.

“Dengan mengumumkan kenaikan ketika hari terakhir parlimen bersidang sehingga tidak sempat hendak dibahaskan, adakah ini melambangkan kerajaan mendengar suara rakyat?” soalnya.

Begitu juga dalam isu ISA, beliau berkata sememangnya tindakan kerajaan bermotifkan politik demi memuaskan hati sekutu mereka iaitu Amerika Syarikat.

Tambahnya, DPPP juga mengecam kerajaan Umno BN yang memberikan alasan keagamaan untuk menghalalkan akta zalim itu sedangkan dalam masa yang sama ‘berkokok’ kononnya meletakkan Islam di hadapan untuk diperjuangkan.

“Ternyata Umno BN hanya berlakon untuk mengaburi mata rakyat supaya menyokong mereka dalam pilihan raya umum akan datang,” ujarnya.

No comments: