Friday, 10 February 2012

HARUSSANI TEGUR PERDANA MENTERI

Syed Mu’az Syed Putra, TMI,

10 Feb 2012


(Najib menyertai perayaan Thaipusam di batu Caves)

KUALA LUMPUR, 10 Feb:

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria melahirkan rasa terkilan dengan sikap Datuk Seri Najib Razak yang “menggadai akidah” apabila hadir dalam upacara keagamaan sempena sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves baru-baru ini.

Tegas Harussani, walaupun sudah ditegur setiap tahun namun perdana menteri itu seolah-olah tidak memandang berat akan kepentingan agama Islam dan akidah.

“Ini perbuatan syirik, saya tidak tahu mengapa jadi macam ini... sedangkan perayaan kaum lain kita tidak boleh sambut ini pula hadir di rumah ibadat mereka.

“Bagaimana boleh terlajak macam ini, sepatutnya perdana menteri wakilkan menteri beragama Hindu untuk menggantikan dirinya... sebab umat Islam tidak boleh terlibat dalam sambutan perayaan agama lain,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau menambah menteri hal ehwal agama Islam atau penasihat agama sepatutnya menasihatkan Najib agar tidak hadir dalam perayaan itu.

“Kita tidak boleh sambut (perayaan agama lain), mereka lakukan upacara keagamaan dan kita sebagai umat Islam tidak boleh hadir... itu upacara ibadat mereka.

“Sebagai perdana menteri, Najib sepatutnya sedar dan menghantar wakil. Saya sudah tegur perkara ini setiap tahun namun tidak dipedulikan,” katanya menambah Najib wajar mencontohi sikap perdana menteri terdahulu yang menghantar wakil masing-masing.


Pada 7 Februari lalu, Najib menghadiri sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves selain turut mengumumkan peruntukan awal berjumlah RM2 juta untuk membina pusat kebudayaan di kawasan itu.

Najib yang lengkap berpakaian Kurta berwarna kuning muda ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor, mengakui gembira untuk turut sama memeriahkan Hari Thaipusam dan ini merupakan kali ketiga beliau mengunjungi Batu Caves sempena perayaan itu sejak 2010.

“Jangan gadai akidah kita, hukumnya syirik apabila kita hadir dalam perayaan mereka seperti kita merestui agama kaum lain... kita sepatutnya menjauhi perbuatan khufur yang boleh merosakkan akidah.

“Perkara ini serius kerana ia masalah akidah, saya wajib tegur... kalau tidak mahu dengar terpulang,” kata Harussani menambah tiada halangan sekiranya menghadiri majlis rumah terbuka tetapi bukan upacara keagamaan.

NAJIB DIMINTA SELESAI KEMISKINAN DI PEKAN

hARAKAH DAILY
Khairil Abdul Rahim, 10 Feb 2012

PEKAN, 10 Feb: Daripada terus menabur janji merata-rata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diingatkan agar tidak lupa menangani kemiskinan melampau di kawasan parlimennya sendiri.

Yang Dipertua PAS Kawasan Pekan, Ustaz Abu Kassim Manaf berkata, antara kawasan yang paling daif keadaan ekonomi dan sosialnya di sini ialah di Kuala Pahang.

Tambah Abu Kassim, meskipun penduduknya merupakan warga tempatan namun keadaan hidup, ekonomi dan sosial mereka tidak sebaik nasib ‘penduduk import’ orang Kemboja di kampung Tanjong Agas dan orang Myanmar di Sungai Miang.

“Kebanyakan mereka nelayan dengan pendapatan tak tetap dan rezeki menyara keluarga bergantung kepada hasil laut yang tidak menentu, ditambah pula musim tengkujuh selama tiga bulan.

“Sekarang ini tiap-tiap hari orang Kuala Pahang datang minta bantuan di Pusat Khidmat PAS Pekan, ini mumbuktikan kerajaan dan ahli parlimennya sendiri gagal membela nasib mereka.

“Nasib mereka tak terbela sejak berpuluh tahun sedangkan kelompok inilah yang memenangkan Umno dan BN selama ini,” katanya.

Difahamkan, pernah Umno menjalankan program ‘Gempur Kemiskinan’ dengan inisiatif mewujudkan pusat jahitan semasa Najib menjadi Timbalan Perdana Menteri. Namun tiada perubahan yang dicapai dan penduduk terus dibelenggu kemiskinan jauh sekali daripada hidup selesa.

Tinjauan Harakahdaily ke lokasi baru-baru ini mendapati keadaan penempatan penduduk tidak menggambarkan berada di kawasan Perdana Menteri kerana rumah yang buruk dan berhimpit-himpit sehingga menyakitkan mata. (Gambar kiri)

Menurut penduduk, kerajaan telah beberapa kali berjanji terutama menjelang pilihan raya untuk membina kediaman tersusun yang tidak jauh dari sini. Malangnya sehingga hari ini, di lokasi tersebut hanya tapak sahaja yang ada.

Tambah mereka lagi, ketika Tun Razak menjadi Ahli Parlimen Pekan atas usaha beliau telah membina perumahan kos rendah rakyat di Kuala Pahang pada tahun 1969 dengan bayaran sebanyak RM10 sebulan. Manakala rumah pemindahan banjir pula penduduk membayar RM15 sebulan pada tahun 1971.

Apa yang mengecewakan mereka, pada zaman Najib menjadi ahli parlimen dan Perdana Menteri ini tiada usaha serius untuk mengubah nasib mereka.

Bagi menambah pendapatan penduduk, kerajaan juga telah membina kolam simen yang besar untuk mereka memelihara ikan terutama pada musim tengkujuh. Namun setakat ini tiada ikan yang diisi.

Abu Kassim berkata, di Kuala Pahang masyarakatnya tidak tersusun sebab itu selain daripada masalah ekonomi, keadaan sosial di sini juga teruk dengan penagihan dadah dan gejala anak luar nikah.

“Itu yang kami kesal sedangkan Parlimen Pekan sudah melahirkan dua Perdana Menteri, tiga Menteri Besar dan dua Timbalan Menteri Besar. Tetapi nasib penduduk Kuala Pahang tidak berubah,” katanya.

(Sekolah Cina ini majoriti muridnya di kalangan pelajar Melayu.)

Perdana Menteri yang berasal dari Pekan ialah Tun Razak Hussein dan anaknya Najib. Manakala Menteri Besar Pahang yang datang dari daerah ini ialah Datuk Mohamad Jusoh, Najib dan Tun Khalil Yaakob.

Timbalan Menteri Besar pula ialah Datuk Abdul Rashid Abdul Rahman dan Datuk Abdul Jabbar Ibrahim.

Dewan Undangan Negeri Kuala Pahang (kini Peramujaya) pernah dimenangi PAS pada pilihan raya umum (PRU) 1999 melalui Mohd Iqbal Hamdy Rusdi. Sementara Najib pula hanya menang tipis pada tahun tersebut dengan majoriti 241 undi.

“Sekarang ini Najib dan pemimpin Umno lain berjanji di negeri-negeri seperti Selangor dan Kelantan jika pilih BN semua masalah akan selesai. Kami minta selesaikanlah dulu masalah di Kuala Pahang ini,” tegas Abu Kassim.

Saturday, 4 February 2012

Saturday, 28 January 2012

PAS saran MUIP batal hasrat beli hotel

KUANTAN, 26 Jan: Selain memuji penjelasan pantas Pengerusi MUIP, PAS Pahang hari ini menyarankan agar kerajaan negeri membatalkan hasrat untuk membeli hotel MS Garden di Kuantan walaupun tanpa menggunakan wang zakat.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata, rata-rata rakyat Pahang tidak bersetuju dengan tindakan MUIP untuk membeli hotel, walaupun tidak menggunakan wang zakat.

Semalam, Ketua Pemuda PAS, yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi mendakwa beliau menerima maklumat daripada pihak-pihak yang rapat dengan MUIP bahawa mereka berhasrat membeli hotel MS Garden dengan menggunakan wang zakat.

Ekoran itu, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang juga Yang Di-pertua MUIP hari ini bertitah urusan pengambilalihan hotel itu oleh MUIP akan dibuat menerusi pinjaman, tetapi sama ada akan menggunakan wang zakat bagi urusan itu belum dimuktamadkan.

"Bagi saya masa untuk selesaikan hal kewangan ini dahulu dan kita akan pastikan cuba tidak gunakan wang zakat," titahnya yang dipetik Sinar Harian.

Dalam reaksinya kepada Harakahdaily, Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dalam keadaan masih ramai umat Islam berada ditahap kemiskinan tegar, institusi agama yang masih ketinggalan.

Katanya, sebahagian besar rakyat Pahang sangat mengharapkan isu-isu utama dapat diselesaikan terlebih dahulu.

Tuan Ibrahim, yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat berkata kegagalan kerajaan negeri Pahang untuk memastikan seluruh institusi agama berjalan dengan sempurna telah menyebabkan banyak urusan pentadbiran masih berhadapan dengan pelbagai kepincangan.

Antara kepincangan yang dimaksudkan beliau ialah seperti kegagalan melantik hakim Mahkamah Tinggi Syariah, hakim Mahkamah Rayuan Syariah, pendakwaraya, Pengetua Kuliah Sultan Abu Bakar, Pekan dan puluhan kekosongan naib Qadhi dan wali hakim.

“Kesemua ini telah membawa kesusahan kepada masyarakat Islam di Pahang,” tegas beliau, sambil bertanya apakah objektif sebenar untuk kerajaan Pahang membeli hotel yang terletak di tengah kota ibu negeri Pahang.

“Jika keutamaannya adalah untuk meninggikan imej MUIP, bukankah lebih baik selesaikan ratusan kes syariah seperti perceraian, tuntutan harta dan lain yang masih tertunggak akibat kekurangan pegawai daripada membeli hotel?” tambah beliau.

Tuan Ibrahim juga berhujah bahawa ketika ini, rakyat Pahang masih menunggu tindakan kerajaan negeri untuk melaksanakan hasrat KDYMM Sultan Pahang bagi mewujudkan sekolah agama Bestari di Pahang.

Bahkan, katanya, rakyat Pahang sedang tertunggu-tunggu usaha kerajaan negeri untuk mengatasi pelbagai kekurangan kemudahan di sekolah-sekolah agama yang tidak lagi kelihatan, daripada pengumuman untuk membeli hotel mewah.

Tambahnya lagi, rata-rata rakyat berharap kerajaan negeri Pahang dapat mengunakan puluhan juta wang zakat yang terkumpul kini bagi meninggikan syiar Islam terutamanya bagi memajukan bidang pendidikan.

“Alangkah baiknya kalau setiap sekolah agama diperuntukan RM200,000 bagi membaikpulih kerosakan dan penyediaan kemudahan pendidikan, bantuan pendidikan kepada para pelajar miskin serta menigkatkan bayaran bantuan kepada pelajar agama di Timur Tengah kerana Pahang antara yang paling sedikit bantuan berbanding negeri-negeri lain,” katanya.

Selari dengan tuntutan dan hasrat rakyat, PAS Pahang menyarankan kerajaan negeri Pahang khususnya MUIP untuk membatalkan hasrat membeli hotel mewah sebanyak RM50 juta itu.

“Dana tersebut sepatutnya digunakan untuk perkara yang lebih bermanfaat kepada rakyat Pahang dan Islam,” tegas beliau.

Wednesday, 26 October 2011

AHLI PAS CAWANGAN SEPEKAN JAYA KEMBALI KE RAHMATULLAH


26 Oktober 2o11 Rabu, seorang ahli PAS cawangan Sepekan Jaya bernama Mohd Fauzi bin Abdul Rahman telah kembali ke Rahmatullah sekitar jam 6.45pagi tadi akibat kemalangan jalan raya di atas Jambatan Sultan Abu Bakar, Pekan.

Beliau merupakan ahli PAS cawangan Sepekan Jaya dan pernah menjadi ahli jawatan kuasa PAS cawangan tersebut. Jenazah beliau telah dibawa ke rumah mayat Hospital Pekan dan telah dimandikan dan dikafankan sebelum dibawa ke surau Al Ehsan Sepekan Jaya untuk di sembahyangkan.

Beliau merupakan ahli kariah surau Al Ehsan Sepekan Jaya dan sering berjamaah disuaru tersebut terutama waktu maghrib, Isya' dan subuh. Pada hari kejadian beliau sempat bersolat subuh di surau Sepekan Jaya.

Menceritakan perihal Almarhom Mohd Fauzi, anaknya sulong lelaki Almarhun Sdr. Ismail menceritakan bahawa Ayahnya telah keluar awal pagi selepas mengejutkan keluarga beliau bangun untuk solat subuh pada pagi tersebut. Pada pagi tersebut, Almarhom tiada memesan apa-apa dan terus keluar untuk ke Pasar Pekan tempat Almarhom berniaga.

Anakanda Almarhom, Sdr. Ismail mengucapkan ribuan terima-kasih kepada saudara-mara, sahabat Almarhom dan jiran tetangga kerana dapat bersama-sama menguruskan Jenazah dan sama-sama mengerjakan solat jenazah pada pagi tersebut. Jenazah Almarhom telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kg Jambu, Langgar Pekan.

Pas Cawangan Sepekan telah kehilangan seorang ahli yang amat mengambil berat kepada urusan Jemaah dan bagi Kariah Surau Al Ehsan pula kehilangan seorang ahli dan sahabat yang istiqamah mengimarahkan Surau Al Ehsan Sepekan Jaya.


Sunday, 23 October 2011

LAWATAN PAS PEKAN KE NEGERI PAKATAN RAKYAT

22hb Oktober 2011, Ahad Pas Kawasan Pekan melalui Lajnah Penerangan PAS Kawasan telah menganjurkan lawatan sambil belajar ke 2 buah negeri Pakatan Rakyat iaitu Pulau Pinang dan Kedah Darul Aman.

Peserta seramai 40 orang yang terdiri daripada Ahli Jawatan Kuasa PAS Kawasan, Dewan Ulama, Muslimat Kawasan bersama ahli-ahli PAS Kawasan Pekan turut serta dalam rombongan tersebut.

Bas rombongan tersebut bertolak dari pejabat MTD Dun Peramu Jaya pada jam 8.30 pagi. Semuga perjalanan rombongan PAS Kawasan Pekan selamat sampai ke destinasi dan selamat pulang untuk meneruskan agenda memenangkan PAS pada PRU13 nanti.

Berikut tentatif lawatan ;

23hb Oktober 2011

- Rombongan ke Markas PAS Mengkuang Titi, Pulau Pinang
- Solat Maghrib dan Kuliah di Mengkuang Titi
- Rombongan bermalam di Taman Pauh Jaya

24hb Oktober
- Kuliah Subuh di Surau Taman Pauh Indah
- Kini..Sedang mengikuti Sidang DUN Pulau Pinang
Maklumat dari Ustaz Karim Sidek, Sidang DUN Pulau Pinang kini sedang membahas belanjawan negeri dan membentangkan idea membangunkan industri halal dan hab halal di negeri Pulau Pinang..
- Rombongan PAS Kawasan Pekan kini sedang beramah mesra bersama Ketua Menteri Lim Guan Eng dan Adun Dato' Salih Adun PAS.

Berikut selanjutnya akan menyusul (kredit untuk Ustaz Karim Sidek)

Sebahagian peserta yang menyertai rombongan..


Persidangan ICT & Media Baru - Taman Melewar

GOMBAK, 22 Okt: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nikmat menyeru semua pihak termasuk universiti, tidak menyekat ahli akademik menyuarakan padangan akademik mereka.

Mengulas isu penggantungan pensyarah Undang-undang, Profesor Dr Abdul Aziz Bari oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), beliau berkata ahli akademik perlu diberi peluang mengulas apa jua isu mengikut kepakaran akademik yang dimiliki mereka.

"Aziz Bari ni orang akademik. Berilah peluang orang akademik berakademik," katanya yang juga Menteri Besar Kelantan.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan ICT dan Media Baru 2011 anjuran Lajnah ICT PAS Pusat di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM) di Taman Melewar di sini.

"Dia juga pakar perlembagaan, saya tak fikir pakar perlembagaan buat benda bercanggah dengan perlembagaan," katanya sebagai membantah tindakan penggantungan oleh UIAM itu.

Kelmarin UIA menggantung tugas Abdul Aziz sebagai pensyarah undang-undang sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.

Beliau didakwa "memberikan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti" dan diberi masa sehingga 25 Oktober d untuk menjawabnya.

Tindakan terhadap pakar perlembagaan itu dipercayai berikutan reaksinya sebelum ini yang mengulas titah Sultan Selangor berhubung isu pemeriksaan sebuah gereja Methodist di Damansara Utama.

Abdul Aziz dipetik berkata, Sultan Selangor sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam.

"Dua hari lalu dia ada orang tulis dalam surat khabar, ada orang kata 'natang' kepada raja-raja Melayu tapi tak ada apa-apa tindakan pun.

"Rakyat jadi pelik, apa dah jadi ni," soal Tuan Guru Nik Aziz.

Sementara itu Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah hari ini menasihatkan rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIA) untuk menarik balik penggantungan kontroversi ke atas Prof Abdul Aziz Bari.

Menurutnya, apa sahaja (sebab-sebab untuk tindakan itu), ia masih
salah dari segi moral dan intelektual (kerana) Aziz belum didapati bersalah.

"Harap tarik balik penggantungan... harap jangan ambil tindakan terhadap mahasiswa yang demonstrasi (semalam)," katanya.

Pas Kawasan Pekan menghantar 3 orang peserta mewakili PAS Kawasan Pekan, Dewan Ulama dan Dewan Pemuda PAS Kawasan.


Thursday, 20 October 2011

1,000 dijangka serta Persidangan ICT, Media Baru


Sumber : harakadaily

KUALA LUMPUR, 20 Okt: Ketua Penerangan, Ketua IT dan Penggerak Media Baru serta jawatankuasa berkenaan dijemput menyertai Persidangan ICT dan Media Baru (PIMB2011) pada 22 Oktober ini di Dewan Fadzil Noor, Taman Melewar.

Mursyidul Am dan Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan menyampaikan ucapan perasmian dan penutup program itu.

Pengarah Media Baru Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ahmad Fadli Shaari yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kelantan mengesahkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz akan menyampaikan amanat dan bertemu dengan pimpinan PAS yang menjadi penggerak Media Baru di semua peringkat.

Persidangan bertemakan “Revolusi Teknologi Maklumat Menghadapi PRU-13” melibatkan tiga pembentangan kertas kerja berkaitan dengan ICT dan Media Baru iaitu Dr Muhammad Fadzli Hassan, Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Dr Ismail Salleh, Exco Kerajaan Kedah dan Datuk Kamaruddin Jaafar, Pengarah Urusan Harakah dengan ucaptama oleh Pengerusi Lajnah ICT PAS Pusat, Ustaz Abdul Ghani Samsuddin.

Paling menarik adalah diskusi yang melibatkan tokoh akademik dalam bidang komunikasi dan media, Prof Dr. Azmuddin Ibrahim bersama penggiat media, Ahmad Lutfi Othman dan blogger Cina Islam, Drs Khalil Idham Lim sebagai moderator.

Dijangkakan kurang lebih 1,000 orang penggerak ICT dan Media Baru PAS akan berkumpul di Taman Melewar untuk membincangkan persiapan berhadapan dengan cybertrooper Umno bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 ini.