Tuesday 18 November 2008

Kewangan Pahang akan lebih kritikal jika BN terus memerintah

Kerajaan Pahang berada dalam situasi kewangan yang amat kritikal dan akan bertambah buruk lagi jika rakyat membiarkan Umno terus menerajui kerajaan, kata Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tuan Ibrahim mengulas kedudukan kewangan kerajaan negeri bagi belanjawan 2009 mengalami defisit RM98.61juta iaitu meningkat sebanyak RM48.25 juta berbanding belanjawan tahun lepas.

Dalam pembentangan bajet Dun Pahang oleh Menteri Besar Dato' Seri Adnan Yaakob baru-baru ini diberitahu hasil kerajaan negeri tahun hadapan dijangkakan sebanyak RM461.86 juta berbanding tahun ini iaitu RM467.04 juta; berkurangan sebanyak RM5.18 juta.

Perbelanjaan mengurus pula Dun diberitahu pada tahun 2009 sebanyak RM560.47 juta berbanding tahun ini sebanyak RM517.40 juta; meningkat sebanyak RM43.07 juta.

Kata Tuan Ibrahim, kelemahan pentadbiran kerajaan yang amat ketara dalam pemerintahan Umno BN tidak hanya tertumpu kepada kelemahan pengurusan kewangan malahan juga kelemahan pentadbiran.

"Saya diberitahu wakil rakyat kita tidak diberikan teks ucapan belanjawan semasa pembentangan bajet bagi wakil rakyat meneliti kandungan bajet yang dibentangkan. Ini kelemahan yang amat ketara yang tak pernah berlaku," katanya dalam program dialog bersama kaum Cina di Kampung Sri Jaya, dekat sini, baru-baru ini.

Tambah Tuan Ibrahim, beliau kesal kerana rakyat Pahang tidak dapat menikmati keselesaan hidup walaupun negeri Pahang luas dan kaya dengan hasi buminya.

Beliau menyeru semua rakyat tanpa mengira kaum membuat perubahan memenangkan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya akan datang.

"Rakyat Pahang akan mendapat nikmat yang lebih sebagaimana negeri-negeri dalam Pakatan Rakyat sekarang jika menukar kerajaan pada pilihan raya akan datang," katanya.

Harakah

No comments: