Tuesday 18 November 2008

Dakyah BN/Umno tentang Pakatan Rakyat tidak berasas - MB Perak

MARAN - Dakyah Umno dan Barisan Nasional yang cuba menakutkan rakyat sebelum ini kononnya akan berlaku huru hara jika bertukar kerajaan adalah tidak berasas sebaliknya perpaduan kaum semakin kukuh di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat kata Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Berucap pada pertemuan dan dialog berbagai kaum di Kampung Sri Jaya dekat sini semalam, Mohammad Nizar berkata, setelah lapan bulan berkuasa dalam pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat berusaha menyatukan berbagai kaum kini telah memperlihatkan kejayaan yang amat membanggakan.


"Umno kata, kalau kerajaan tukar akan jadi huru hara. Lapan bulan kita dah bentuk kerajaan tak ada huru-hara. Di Perak, semua kaum boleh duduk bersama-sama macam ini," katanya.

Tambah Mohammad Nizar pendekatan negeri berkebajikan kepada semua kaum menjadi fokus utama dalam pentadbiran kerajaan negeri pimpinannya.

"Dalam tempoh lapan bulan kita telah melaksanakan banyak perkara bagi memberi kebajikan kepada rakyat yang kerajaan Umno dah lama memerintah tak mampu berikan. Kita bantu rakyat susah tanpa mengira kaum. Kita ada perancangan untuk melaksanakan banyak perkara lagi.

"Rakyat Pahang akan mendapat nikmat yang lebih sekiranya negeri berada dalam Pakatan rakyat pada pilihan raya akan datang," katanya di hadapan ribuan pendengar yang hadir.

Turut hadir pada majlis tersebut Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man dan wakil rakyat dari Pakatan Rakyat negeri Pahang.

Harakah

No comments: