Wednesday 19 November 2008

Pemimpin PAS cawangan perlu mahir komputer

KUANTAN - Ketua-ketua dan Setiausaha PAS Cawangan perlu melengkapkan diri dengan kebolehan menggunakan komputer bagi mempertingkatkan usaha pendaftaran ahli dan pemilih baru di cawangan masing-masing.

Ini penting untuk memastikan kemenangan parlimen Kuantan dapat dikekalkan serta semua Dewan Undangan Negeri (Dun) di kawasan tersebut dapat ditawan PAS dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

Setiausaha PAS Kawasan Kuantan, Mohd Razali Ramli berkata, Umno/BN berada dalam krisis kepimpinan dan Pakatan Rakyat menjadi pilihan masyarakat, maka peluang ini mesti diambil oleh semua kepimpinan cawangan bagi meningkatkan usaha untuk menambah ahli baru dan pemilih baru.

Katanya, keutamaan dalam mendaftarkan ahli serta pemilih baru perlulah bermula daripada keluarga ahli sendiri, oleh itu semua kepimpinan PAS cawangan mestilah mengadakan perancangan yang berterusan bagi mengenal pasti anak ahli PAS di dalam keluarga yang belum didaftarkan sebagai pemilih.

PAS kawasan, kata Razali sedia membekalkan sistem semakan ahli dan pemilih secara berkomputer bagi memudahkan usaha mengemas kini keahlian serta daftar pemilih di peringkat cawangan.

Melalui sistem itu, PAS cawangan bukan sahaja dapat membuat 'pemutihan ahli' malah dapat membuat perancangan yang lebih teliti untuk kemenangan PAS di dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

"Namun demikian sistem berkomputer yang disediakan tersebut tidak mempunyai apa-apa erti sekiranya di pihak cawangan tiada mempunyai kemahiran menggunakan sistem canggih itu," ujarnya.

Katanya, PAS kawasan melalui Lajnah IT berusaha melatih ahli melalui kursus secara berkala bagi meningkatkan kemahiran penggunaan komputer untuk kepimpinan PAS cawangan, bagaimanapun kurang mendapat sambutan.

Walau bagaimanapun PAS kawasan tetap meneruskan siri kursus bagi meningkatkan kemahiram penggunaan komputer terutamanya di peringkat kepimpinan PAS kawasan serta Ahli Jawatankuasa Harian PAS cawangan.

"Matlamat kira ialah mewujudkan ramai tenaga pakar dalam bidang perkomputeran khususnya mengendalikan sistem semakan keahlian dan analisis data ahli," katanya.

Harakah

No comments: