Wednesday 19 November 2008

Setiausaha UMNO Gantok letak jawatan

TEMERLOH – Setiausaha UMNO Cawangan Kampung Gantok, Mohamed Othman mengumumkan meletak jawatan dalam parti itu kerana malu dengan tindakan Timbalan Ketua UMNO Cawangan itu, Ir. Che Wan Shamsiruddin Wan Shamsudin mengedar ‘nombor ekor’.


Beliau yang menghubungi Sinar Harian semalam membuat keputusan itu akibat kecewa dan malu dengan tindakan Che Wan mengedar nombor ekor semasa Mesyuarat UMNO Bahagian Temerloh 9 November lalu.

Mohamed berkata, keputusan mengumumkan peletakan jawatan itu tidak dibuat semasa mesyuarat tergempar UMNO Cawangan Gantok Jumaat lepas, sebaliknya dibuat selepas mempertimbangkannya semalam.

“Selain saya beberapa Ahli Jawatankuasa yang lain turut melahirkan rasa kecewa dan tidak puas hati dengan tindakan Che Wan,” katanya semalam.

Beliau memberitahu, setelah sekian lama berjuang dalam UMNO keputusan meletak jawatan itu adalah yang paling sukar bagi dirinya.

Mohamed berkata, keputusan yang dibuat itu adalah tindakannya sendiri dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak sama ada dari lain-lain cawangan.

“Saya tidak tahu apa yang dilakukan AJK lain sama ada mereka juga ingin meletak jawatan atau sebaliknya,” katanya semalam.

Katanya, beliau tidak mengajak ahli lain mengikut jejaknya sebaliknya terpulang kepada masing-masing untuk mengambil sebarang tindakan berhubung perkara tersebut.

Jumaat lepas, UMNO Cawangan Gantok mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan kes Che Wan. UMNO Cawangan Gantok memutuskan menyerahkan kepada UMNO Bahagian Temerloh mengenai tindakan yang bakal diambil terhadap Che Wan.

Sinar Harian

No comments: