Friday 22 April 2011

Jawatan Presiden, Timbalan ikut syura - Naib Presiden

TEMERLOH: Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PAS diputuskan mengikut kaedah syura bagi menjamin gabungan kepimpinan terbaik.

Tambahnya, dalam masa yang sama hak ahli untuk memilih pemimpin masing-masing tidak pula dinafikan.

“Saya lebih cenderung jika jawatan nombor satu dan nombor dua dalam parti diputuskan mengikut kaedah syura, tetapi dalam masa yang sama tidak pula menafikan hak ahli untuk memilih kepimpinan.

“Kepada saya kaedah ini lebih baik dan praktikal demi untuk menggabungkan kepimpinan terbaik dan lebih fokus bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) daripada berkempen dan bersaing sesama sendiri,” katanya

Tuan Ibrahim berkata demikian ketika diminta mengulas tindakannya menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS bagi sessi 2011 – 2013 walaupun sudah mula menerima pencalonan daripada PAS kawasan-kawasan yang sedang bermesyuarat agung.

Pada ketika ini, beliau mendapat tidak kurang daripada 10 pencalonan.

Tuan Ibrahim merupakan calon Naib Presiden yang mendapat undi tertinggi dalam pemilihan Muktamar tahun 2009. Tahun ini beberapa kawasan mencalonkan beliau bertanding Timbalan tetapi beliau telah menolaknya dan hanya berhasrat untuk mempertahankan jawatan Naib.

Pada ketika ini hanya Haji Muhamad Sabu yang mengisytiharkan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden bagi mencabar pemegang jawatan Ustaz Nasharuddin Mohd Isa.

“Apa-apapun, saya fikir fokus kepada PRU itu lebih penting kerana kita membawa amanah yang berat daripada rakyat iaitu untuk melakukan perubahan kepada sistem dan pentadbiran negara. Jadi persoalan pencalonan perjawatan itu kita letaklah ke nombor dua walaupun memilih pemimpin juga penting dan di situ ada hak ahli,” tegasnya.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim menjangkakan PRU ke 13 akan berlaku tahun ini juga dan berharap semua jentera Pakatan Rakyat di segenap peringkat bersedia.

“Walaupun BN hanya menguasai 55 % undi popular dan klah di semua peti undi dalam pilihan raya Sarawak baru-baru ini, kita jangka (PM) Najib tidak akan menunggu lebih lama untuk mengadakan PRU. Apa lagi pemilihan Umno hanya ditangguhkan selama 18 bulan daripada tahun lalu,” katanya.

Bagi keputusan PRN Sarawak, Tuan Ibrahim berpendapat parti-parti yang berasaskan perkauman akan terpinggir pada masa depan dan tidak akan relevan lagi.

“Melihat kepada kekalahan teruk parti SUPP dan SNAP, gambaran jelas pada masa depan ialah parti bercorak perkauman tidak akan relevan lagi,” jelasnya.

No comments: