Saturday, 22 November 2008

Rakyat harus lakukan perubahan - Tuan Ibrahim


Rakyat Malaysia khususnya di Pahang harus melakukan perubahan pada PRU Ke-13 akan datang, kata Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man.

Berucap pada ceramah umum anjuran PAS cawangan di Kg. Sri Makmur baru-baru ini, beliau sedih dan kesal kerana banyaknya korupsi dan kepincangan yang berlaku di negeri ini. Tuan Ibrahim turut mendapat tahu bahawa penduduk di Kg. Sri Makmur ini tidak mendapat geran tanah hak milik kekal sejak dari tahun 1971 lagi.

"Jika saya tahu penduduk kampung ini tidak dapat geran tanah sejak tahun 1971 semasa saya menjadi ADUN pada tahun 1999 dahulu, sudah pasti, insyaallah saya akan bawa perkara ini ke Dewan Undangan Negeri", katanya.

Ceramah pada malam tersebut dipengerusikan oleh bekas calon bagi DUN Pulau Manis merangkap AJK PAS Kawasan Pekan, Ustaz Othman Bakar dan ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh tuan rumah, En. Saadon dan YDP PAS Kawasan Pekan, Ustaz Abu Kassim Manaf.

"Oleh itu, saya menyeru kepada seluruh rakyat khususnya di Pahang ini agar melakukan perubahan demi kebaikan semua", katanya.

Wednesday, 19 November 2008

Pemimpin PAS cawangan perlu mahir komputer

KUANTAN - Ketua-ketua dan Setiausaha PAS Cawangan perlu melengkapkan diri dengan kebolehan menggunakan komputer bagi mempertingkatkan usaha pendaftaran ahli dan pemilih baru di cawangan masing-masing.

Ini penting untuk memastikan kemenangan parlimen Kuantan dapat dikekalkan serta semua Dewan Undangan Negeri (Dun) di kawasan tersebut dapat ditawan PAS dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

Setiausaha PAS Kawasan Kuantan, Mohd Razali Ramli berkata, Umno/BN berada dalam krisis kepimpinan dan Pakatan Rakyat menjadi pilihan masyarakat, maka peluang ini mesti diambil oleh semua kepimpinan cawangan bagi meningkatkan usaha untuk menambah ahli baru dan pemilih baru.

Katanya, keutamaan dalam mendaftarkan ahli serta pemilih baru perlulah bermula daripada keluarga ahli sendiri, oleh itu semua kepimpinan PAS cawangan mestilah mengadakan perancangan yang berterusan bagi mengenal pasti anak ahli PAS di dalam keluarga yang belum didaftarkan sebagai pemilih.

PAS kawasan, kata Razali sedia membekalkan sistem semakan ahli dan pemilih secara berkomputer bagi memudahkan usaha mengemas kini keahlian serta daftar pemilih di peringkat cawangan.

Melalui sistem itu, PAS cawangan bukan sahaja dapat membuat 'pemutihan ahli' malah dapat membuat perancangan yang lebih teliti untuk kemenangan PAS di dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

"Namun demikian sistem berkomputer yang disediakan tersebut tidak mempunyai apa-apa erti sekiranya di pihak cawangan tiada mempunyai kemahiran menggunakan sistem canggih itu," ujarnya.

Katanya, PAS kawasan melalui Lajnah IT berusaha melatih ahli melalui kursus secara berkala bagi meningkatkan kemahiran penggunaan komputer untuk kepimpinan PAS cawangan, bagaimanapun kurang mendapat sambutan.

Walau bagaimanapun PAS kawasan tetap meneruskan siri kursus bagi meningkatkan kemahiram penggunaan komputer terutamanya di peringkat kepimpinan PAS kawasan serta Ahli Jawatankuasa Harian PAS cawangan.

"Matlamat kira ialah mewujudkan ramai tenaga pakar dalam bidang perkomputeran khususnya mengendalikan sistem semakan keahlian dan analisis data ahli," katanya.

Harakah

Isu MB Perak 'rampas kamera' sengaja diputarbelit

Setiausaha Politik Menteri Besar Negeri Perak, Misbahul Munir Masduki menegaskan isu Menteri Besar 'merampas' kamera wartawan sudah dijangka akan diputarbelitkan oleh media dengan tujuan jahat dan mencemar imej Menteri Besar.

"Seperti yang dijangkakan, media akan memainkan isu ini, peluang untuk memberi penjelasan tidak pula diberikan," ujarnya.

Menurutnya, beliau bersama Setiausaha Akhbar, Anuar Hashim, dan Ustaz Nor Azli Musa dan seorang lagi kebetulan ada di tempat kejadian.

"Kami bersama Menteri Besar sedang makan tengah hari, bila tiba seorang yang tidak dikenali menghampiri Menteri Besar membawa surat meminta Haji Nizar menandatangani," jelas beliau sewaktu menceritakan kejadian sebenarnya kepada wakil Harakah baru-baru ini.

Pembawa surat itu kemudiannya memperkenalkan dirinya dan Menteri Besar membaca sepintas lalu dan seakan bersetuju menandatangani.

"Tetapi kami serentak mencelah, supaya tidak ditandatangani dulu dan meminta Menteri Besar lihat keseluruhan isi surat tersebut terlebih dahulu," katanya

Dalam masa sama katanya, kelihatan seorang jurufoto yang tidak dikenali sedang mengambil gambar dan beliau mengesyaki ini adalah suatu perangkap di mana nanti akan keluar gambar Menteri Besar menandatangani sesuatu yang boleh diambil kesempatan untuk memburuk imej Menteri Besar yang menandatangani sekeping surat yang tidak diketahui latar belakangnya di kantin.

"Menteri Besar memanggil jurufoto tersebut lalu bertanya dari akhbar mana, adakah ia telah minta kebenaran atau tidak mengambil foto, tetapi jurufoto tersebut semacam tidak ambil peduli," jelas Misbah. .

Kemudian beliau mendengar Menteri Besar memanggilnya sekali lagi dengan nada yang agak kuat sedikit, tetapi tidaklah sampai memanggilnya dengan suara yang kasar sebagaimana yang didakwa.

Menurut beliau lagi, Menteri Besar meminta rakaman foto tadi dibuang dan bagi mempastikan foto tersebut dibuang, Haji Nizar minta kamera tersebut diserahkan kepada Setiausaha Akhbar, Anuar Hashim, yang duduk di sebelah beliau.

Kamera itu diserah semula kepada jurufoto itu dengan baik.

Beliau memberitahu pembawa surat tersebut supaya dalam urusan seumpama itu, supaya datang sendiri ke pejabat kerana surat itu akan rekodkan, satu salinan akan simpan dalam fail.

Dalam hal tidak berbangkit soal Menteri Besar sama ada Menteri Besar mahu tandatangani ataupun tidak.

"Pembawa surat tersebut faham, dan ternyata dia menyerahkan surat tersebut kepada Setiausaha Sulit Menteri Besar di pejabat," katannya.

"Pagi esoknya, saya tengok surat tersebut sudah ada di atas meja Menteri Besar," jelas Misbah.

Menurut beliau lagi, telahan mereka tepat, tidak sampai pun beberapa minit kemudian, suara seorang Adun Pembangkang yang sangat dikenali dari Kubu Gajah, tidak semena-mena membangkitkan isu ini di dewan dengan membuat pencelahan sewaktu seorang Adun lain sedang membahaskan Bajet 2009.

Adun Kubu Gajah telah menghentam Menteri Besar Perak kerana kononnya bertindak kasar kepada wartawan sedangkan Adun tersebut tidak berada di tempat kejadian, katanya.

"Walaupun ada beberapa orang Adun BN di kantin sewaktu kejadian tersebut berlaku, saya amat pasti Adun Kubu Gajah tidak ada di situ." jelas Misbah.

"Saya akan semak dalam kertas minit dewan apa yang diucapkan oleh Adun Kubu Gajah dan akan dedahkan dan siarkan di akhbar supaya para rakyat dapat menilai sendiri ucapannya, inilah perangai Umno-BN, mengambil kesempatan apa sahaja yang boleh dijadikan isu untuk memburukkan Menteri Besar dan kerajaan Pakatan Rakyat," katanya.

Harakah

Setiausaha UMNO Gantok letak jawatan

TEMERLOH – Setiausaha UMNO Cawangan Kampung Gantok, Mohamed Othman mengumumkan meletak jawatan dalam parti itu kerana malu dengan tindakan Timbalan Ketua UMNO Cawangan itu, Ir. Che Wan Shamsiruddin Wan Shamsudin mengedar ‘nombor ekor’.


Beliau yang menghubungi Sinar Harian semalam membuat keputusan itu akibat kecewa dan malu dengan tindakan Che Wan mengedar nombor ekor semasa Mesyuarat UMNO Bahagian Temerloh 9 November lalu.

Mohamed berkata, keputusan mengumumkan peletakan jawatan itu tidak dibuat semasa mesyuarat tergempar UMNO Cawangan Gantok Jumaat lepas, sebaliknya dibuat selepas mempertimbangkannya semalam.

“Selain saya beberapa Ahli Jawatankuasa yang lain turut melahirkan rasa kecewa dan tidak puas hati dengan tindakan Che Wan,” katanya semalam.

Beliau memberitahu, setelah sekian lama berjuang dalam UMNO keputusan meletak jawatan itu adalah yang paling sukar bagi dirinya.

Mohamed berkata, keputusan yang dibuat itu adalah tindakannya sendiri dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak sama ada dari lain-lain cawangan.

“Saya tidak tahu apa yang dilakukan AJK lain sama ada mereka juga ingin meletak jawatan atau sebaliknya,” katanya semalam.

Katanya, beliau tidak mengajak ahli lain mengikut jejaknya sebaliknya terpulang kepada masing-masing untuk mengambil sebarang tindakan berhubung perkara tersebut.

Jumaat lepas, UMNO Cawangan Gantok mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan kes Che Wan. UMNO Cawangan Gantok memutuskan menyerahkan kepada UMNO Bahagian Temerloh mengenai tindakan yang bakal diambil terhadap Che Wan.

Sinar Harian

Tuesday, 18 November 2008

Dakyah BN/Umno tentang Pakatan Rakyat tidak berasas - MB Perak

MARAN - Dakyah Umno dan Barisan Nasional yang cuba menakutkan rakyat sebelum ini kononnya akan berlaku huru hara jika bertukar kerajaan adalah tidak berasas sebaliknya perpaduan kaum semakin kukuh di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat kata Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Berucap pada pertemuan dan dialog berbagai kaum di Kampung Sri Jaya dekat sini semalam, Mohammad Nizar berkata, setelah lapan bulan berkuasa dalam pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat berusaha menyatukan berbagai kaum kini telah memperlihatkan kejayaan yang amat membanggakan.


"Umno kata, kalau kerajaan tukar akan jadi huru hara. Lapan bulan kita dah bentuk kerajaan tak ada huru-hara. Di Perak, semua kaum boleh duduk bersama-sama macam ini," katanya.

Tambah Mohammad Nizar pendekatan negeri berkebajikan kepada semua kaum menjadi fokus utama dalam pentadbiran kerajaan negeri pimpinannya.

"Dalam tempoh lapan bulan kita telah melaksanakan banyak perkara bagi memberi kebajikan kepada rakyat yang kerajaan Umno dah lama memerintah tak mampu berikan. Kita bantu rakyat susah tanpa mengira kaum. Kita ada perancangan untuk melaksanakan banyak perkara lagi.

"Rakyat Pahang akan mendapat nikmat yang lebih sekiranya negeri berada dalam Pakatan rakyat pada pilihan raya akan datang," katanya di hadapan ribuan pendengar yang hadir.

Turut hadir pada majlis tersebut Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man dan wakil rakyat dari Pakatan Rakyat negeri Pahang.

Harakah

Kewangan Pahang akan lebih kritikal jika BN terus memerintah

Kerajaan Pahang berada dalam situasi kewangan yang amat kritikal dan akan bertambah buruk lagi jika rakyat membiarkan Umno terus menerajui kerajaan, kata Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tuan Ibrahim mengulas kedudukan kewangan kerajaan negeri bagi belanjawan 2009 mengalami defisit RM98.61juta iaitu meningkat sebanyak RM48.25 juta berbanding belanjawan tahun lepas.

Dalam pembentangan bajet Dun Pahang oleh Menteri Besar Dato' Seri Adnan Yaakob baru-baru ini diberitahu hasil kerajaan negeri tahun hadapan dijangkakan sebanyak RM461.86 juta berbanding tahun ini iaitu RM467.04 juta; berkurangan sebanyak RM5.18 juta.

Perbelanjaan mengurus pula Dun diberitahu pada tahun 2009 sebanyak RM560.47 juta berbanding tahun ini sebanyak RM517.40 juta; meningkat sebanyak RM43.07 juta.

Kata Tuan Ibrahim, kelemahan pentadbiran kerajaan yang amat ketara dalam pemerintahan Umno BN tidak hanya tertumpu kepada kelemahan pengurusan kewangan malahan juga kelemahan pentadbiran.

"Saya diberitahu wakil rakyat kita tidak diberikan teks ucapan belanjawan semasa pembentangan bajet bagi wakil rakyat meneliti kandungan bajet yang dibentangkan. Ini kelemahan yang amat ketara yang tak pernah berlaku," katanya dalam program dialog bersama kaum Cina di Kampung Sri Jaya, dekat sini, baru-baru ini.

Tambah Tuan Ibrahim, beliau kesal kerana rakyat Pahang tidak dapat menikmati keselesaan hidup walaupun negeri Pahang luas dan kaya dengan hasi buminya.

Beliau menyeru semua rakyat tanpa mengira kaum membuat perubahan memenangkan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya akan datang.

"Rakyat Pahang akan mendapat nikmat yang lebih sebagaimana negeri-negeri dalam Pakatan Rakyat sekarang jika menukar kerajaan pada pilihan raya akan datang," katanya.

Harakah

Monday, 17 November 2008

Perbaiki cara hidup, pilih jalan Islam - Tuan Ibrahim


Umat Islam perlu memperbaiki cara hidup yang lebih selamat dengan pengawalan yang digariskan Islam bagi mengatasi kemelut sosial yang sedang melanda, demikian intipati kuliah bulanan Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tuan Ibrahim dalam kuliah tarbiyah yang diadakan di Kampung Batu Satu dekat sini, baru-baru ini menekankan pengisian rohani dan jasmani yang seimbang belandaskan Islam mesti dijadikan amalan kehidupan seharian bagi mencapai keselamatan dunia dan akhirat.

Bermula dengan pembentukan diri melalui amalan pemakanan Pesuruhjaya PAS Pahang itu menasihatkan umat Islam tidak berhutang dalam pengurusan makanan yang dimakan setiap hari.

"Seboleh-bolehnya kalau kita makan biarlah makanan yang kita makan itu tidak berhutang. Benda lain tak apalah, macam kita hutang rumah, kita hutang kereta kerana benda itu kita nampak.

"Barang yang kita nampak ni mudah kita ingat nak bayar hutang. Tapi, makanan ni kita makan hilang. Lama-lama kita lupa, akhirnya tak bayar hutang, tak bayar hutang ni berat di sisi Islam, seboleh-bolehnya kita tak berhutang," katanya.

Tambah Tuan Ibrahim dalam membina gerbang perkahwinan umat Islam perlu menekankan soal mendapat keberkatan dalam perkahwinan kerana perkahwinan yang mendapat keberkatan akan memperolehi kesejahteraan.

Tambah Tuan Ibrahim lagi, Islam mengajar kita bagaimana untuk membina rumahtangga yang selamat dan sejahtera.

Katanya untuk mendapat keberkatan umat Islam disuruh mengurangkan mahar (mas kahwin) bagi mengelak berlakunya masalah dalam membina rumahtangga.

"Kita jangan ikut macam artis, maharnya mahal tapi empat bulan kahwin dah bercerai. Kita ikut yang Islam ajar iaitu perkahwinan mendapat berkat," katanya.

Perkara ketiga yang ditekankan Tuan Ibrahim dalam kuliahnya ialah setiap umat Islam terutamanya pendukung pejuangan Islam tidak boleh melengahkan kerja- kerja jihad dan kebajikan.

"Tiap-tiap umat Islam mesti ada niat untuk mati fisabilillah. Kita mesti ada niat untuk mati di jalan Allah. Bidang kerjanya luas, bukan sahaja mati dalam peperangan tetapi setiap kerja yang ada niat untuk menegakkan agama Allah di muka bumi ini.

"Sebab itu kalau ada ceramah agama cepat-cepat pergi. Kita tak tahu bila kita akan mati. Kalau kita mati dengar ceramah baik kalau pada masa kita patut dengan ceramah kita duduk di rumah kita mati kita rugi. Sebab itu jangan bertangguh dalam kerja membuat kebajikan ini," katanya.

Harakah

Saturday, 15 November 2008

Selamat bercuti. Cikgu dan anak muridnya.

Tiba hari yang menggembirakan, iaitu cuti akhir tahun. Inilah masa untuk menenangkan fikiran, masa untuk membaiki prestasi, masa untuk mengeratkan kekeluargaan, masa untuk menuntut ilmu, masa untuk menambah pengalaman, dan yang pentingnya masa diisi dengan aktiviti membangunkan diri.

Manusia yang berjaya sentiasa berubah, hari ini seharusnya lebih maju daripada semalam, dan hari esok semakin mematangkan kita. Jadikanlah masa bercuti ini untuk kemajuan diri, agama, nusa, dan bangsa.

Selamat bercuti.

Dupahang

Politik wang semakin berleluasa lambang kehancuran UMNO


Politik wang yang semakin berleluasa dalam UMNO kini mendapat perhatian masyarakat dan parti lain yang melihatnya sebagai penyebab kehancuran parti itu.

Yang Dipertua PAS Kawasan Pekan, Ustaz Abu Kassim Manaf berkata, masalah politik wang ini sudah menjadi budaya dalam UMNO dan ia adalah sesuatu yang sukar dibanteras.

Menurutnya, masalah ini pasti dapat dibanteras dengan mudah jika ia baru berlaku dan diberi perhatian sejak awal lagi.

“Keadaan dalaman UMNO yang sememangnya goyah mempamerkan kelemahan mereka dan masalah tersebut mempamerkan semua kelemahan dan ketidaktelusan yang berlaku dalam parti UMNO.”

“Secara peribadi, saya melihat situasi politik dalaman UMNO dan juga Barisan Nasional berada pada tahap yang mendukacitakan dan sukar untuk diselamatkan.”

Ustaz Abu Kassim berkata, masalah politik wang bukan saja berlaku di kalangan ahli bawahan malah ahli tertinggi parti yang seharusnya menjadi contoh terbaik bagi pengukuhan parti.

“Jika ingin bertanding sebagai ahli jawatankuasa bahagian sahaja memerlukan beribu-ribu ringgit, bagaimana pula dengan mereka yang bertanding jawatan yang lebih tinggi?”

Katanya, mereka yang kaya dan memiliki perniagaan yang besar turut terlibat dalam perkara itu melalui pemberian wang dan sagu hati sebagai cara mendapatkan projek-projek besar.

“Dorongan secara tidak langsung ini terus menjadi ‘makanan’ dalam politik yang dimainkan dan membawa kehancuran parti,” katanya.

Menurutnya, bagi memulihkan kembali kejernihan masalah tersebut mereka seharusnya kembali kepada agama Islam dan bersama-sama membersihkan dalaman diri.

“Kebersihan hati dapat mengelakkan diri kita daripada menerima perkara-perkara yang tidak baik dan menghancurkan kepimpinan dan diri sendiri,” katanya.

Sinar Harian

Salam Lambaian Kaabah Buat Kapten Sekeluarga....


Pada tanggal 11 November (Selasa) yang lalu, Setiausaha Agung PAS Kawasan Pekan, Kapten (B) Ahiatudin bin Hj. Daud dan isteri serta adik beliau En. Nasirudin bin Hj. Daud dan isteri telah berangkat ke tanah suci Mekah untuk menunaikan ibadat haji pada tahun ini.

Kami bagi pihak PAS Kawasan mendoakan semoga Kapten sekeluarga mendapat haji yang mabrur dan istiqamah dalam perjuangan.

MB Pahang kata rasuah dalam Umno ketika ini paling parah


Menteri Besar Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakob menyifatkan amalan rasuah atau politik wang dalam pemilihan jawatan Umno kali ini adalah yang paling parah.

Dalam satu sidang media bersama Badan Pencegah Rasuah (BPR) semalam, Adnan menegaskan, senario rasuah yang berlaku kali ini paling parah yang pernah disaksikan.

Paling memeranjatkan Adnan yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Pahang turut menyatakan beliau malas mahu bercakap persoalan Umno hari ini yang semakin parah. Sementara itu Ketua Pengarah BPR, Dato' Ahmad Said Hamdan pula menyatakan pihaknya mengesan banyak kesalahan rasuah yang berlaku dalam pemilihan Umno.

BPR juga telah mula mengumpulkan bukti dan menahan beberapa individu yang didakwa melakukan rasuah, katanya.

Pihaknya tidak teragak-agak membuat tindakan, dan bagi BPR apa yang diistilahkan sebagai 'politik wang' adalah serupa dengan tafsiran rasuah.

Justeru BPR akan bertindak atas dakwaan itu sebaik segala bukti dapat dikumpulkan.

Harakah

Wednesday, 12 November 2008

RPK Bagaikan Bom Jangka Buat Najib

oleh: yb

" Tahniah dan syabas buat Raja Petra Kamaruddin (RPK) yang mencatat sejarah sebagai orang pertama dibebaskan sebagai tahanan ISA melalui 'habeas corpus' yang didifailkan olehnya sendiri. Malah belum ada mana-mana tahanan ISA yang berjaya seperti beliau...sekali lagi tahniah!

Begitu mudah? Bagi seorang yang amat lantang mengkritik Kerajaan dan begitu berani mensabitkan Najib & Rosmah Mansor dalam kes Altantuya, adakah beliau begitu mudah diberi 'pengampunan?' Memang ada sesuatu yang pelik akan berlaku dalam masa ke hadapan ini. Dan tentunya apa yang pelik itu adalah berkaitan dengan Najib sendiri.

Saya pernah postkan di sini bahawa saya percaya Pak Lah tidaklah sebodoh itu untuk menyerahkan kuasa kepada timbalannya. Dan jika ianya berlaku, maka itu adalah satu skrip PM paling banggang dalam sejarah negara kita.

Apabila RPK dibebaskan serta dibenar menjadi saksi kepada perbicaraan Altantuya, ia merupakan satu lagi proses rumit untuk mengenakan Najib. Lihat juga apabila mahkamah membebaskan Razak baginda, maka keadaan menjadi tergantung dengan menimbulkan jutaan soalan; siapakah 'master mind' kepada pembunuhan itu? Jika bukan Razak...siapa? Mustahil Altantuya datang ke Malaysia dengan mengenali dua 'barua' kerajaan itu?

Pak Lah yang baru melantik seteru kuatnya Mr. Zaki sebagai Ketua Hakim Negara pasti mempunyai jawapan. Oleh yang demikian, untuk menoktahkan jawapan maka Pak Lah dan mahkamah perlu mengelakkan aib dengan tuduhan apabila membebaskan Razak Baginda.

Justeru, pembebasan RPK membawa erti kepada permulaan proses menjahanamkan Najib dan Rosmah daripada mendapat kuasa tertinggi Umno dan kerajaan. Pak Lah memang kuat tidur, tetapi dia merupakan antara PM paling licik dan paling Jahat.

Apakah Pak Lah hanya membiarkan lawan, rakan taulan menghentamnya dari segenap penjuru tanpa menyimpan dendam walau sedetik pun?

Pembebasan RPK juga memeranjatkan, dan lakonan Pak Lah yang mahu menyemak balik tindakan mahkamah membebaskan RPK dianggap sebagai lawak abad ini. Namun, beliau terpaksa juga berlakon dan menunjukkan riak yang serius.

RPK akan tetap dengan hujahnya di mahkamah nanti yang mensabitkan penglibatan Najib serta isterinya dalam pembunuhan kejam itu. Mampukah Najib melawan sekiranya beliau pula yang akan diarahkan oleh mahkamah nanti untuk mempertahankan diri?

Tunggulah skrip seterusnya daripada produser Hakim Zaki dan Pak Lah yang bertindak sebagai penerbit. Kisah Horror ini akan ada kesudahannya juga.
"

TranungKite

Monday, 10 November 2008

Zaid dapat surat tunjuk sebab dari Umno


Bekas menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Zaid Ibrahim telah menerima surat tunjuk sebab dari Umno.

Menurutnya, surat tunjuk sebab itu berkaitan dengan surat terbukanya dan perjumpaannya dengan ahli-ahli Parlimen berhubung desakan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Menurut Zaid, parti itu meminta penjelasannya kerana turut sama menyertai majlis anti-ISA anjuran Pakatan Rakyat di Parlimen.

Bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini, bekas ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, beliau menerima surat tunjuk sebab itu minggu.

Zaid berkata, peguamnya Malik Imtiaz Sarwar akan menjawabnya secepat mungkin.

Zaid meletakkan jawatan sebagai menteri kabient kerana membantah tindakan kerajaan menggunakan ISA terhadap ahli Parlimen Teresa Kok, penulis blog Raja Petra Kamarudin dan wartawan Sin Chew Tan Hoon Cheng, September lalu.

Minggu lalu, beliau turut melepaskan jawatan senator.

Pada 29 September lalu, Zaid menulis sepucuk surat terbuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, menggesa beliau supaya memansuhkan ISA.

Zaid turut menjadi sasaran apabila beliau, dalam ucapannya, telah mempersoalkan status orang Melayu.

Berikutan itu, beberapa pemimpin Umno mendesak parti itu mengambil tindakan terhadap Zaid.

Malaysiakini

Thursday, 6 November 2008

Ekonomi: Anwar-Najib dicadang berdebat


KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar mencadangkan debat terbuka mengenai belanjawan negara antara Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Jika Najib merasa beliau tidak cukup masa dan kesempatan untuk memberi ruang pembangkang meminta penjelasan darinya di dalam Dewan Rakyat, satu debat terbuka mengenai belanjawan boleh diadakan antara beliau serta dua wakil di pihak Barisan Nasional (BN) dengan Anwar serta wakil dari PAS dan DAP di pihak Pakatan Rakyat (PR)," katanya.

Debat tersebut boleh dibuat di mana sahaja yang dipersetujui oleh Najib termasuk menggunakan kemudahan di Dewan Rakyat sendiri di luar waktu persidangannya dan disiarkan secara langsung untuk dinilai oleh rakyata, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

"Sebagai tokoh yang akan menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri, hentikanlah sikap jaguh kampung yang hanya berani membidas dan mengecam di belakang pembangkang tetapi tidak berani berbahas secara berhadapan mengenai belanjawan negara," kata Mahfuz.

Beliau juga meminta Najib menghentikan pelbagai dakwaan mengenai ekonomi negara.
"Najib terus-menerus membuat pelbagai kenyataan bercanggah mengenai ekonomi Malaysia.
"Sekejap kata Malaysia tidak akan terjejas, selepas itu kata Malaysia juga akan turut menerima kesan kemelut ekonomi dunia. Satu ketika mendakwa Malaysia mempunyai fundamental kukuh, selepas itu nak gunakan pula lagi RM7 bilion untuk menghadapi kesan kegawatan ekonomi. Najib seperti orang yang terpinga-pinga," katanya lagi.

Paling akhir, Najib tampil dengan dakwaan kononnya Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan ekonomi teknikal pada tahun hadapan.
Dakwaan itu bertentangan dengan jangkaan Pengarah Eksekutif Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER), Profesor Emeritus Datuk Mohamed Ariff yang menjangkakan peratusan kemungkinan Malaysia akan menghadapi kemelesetan teknikal tahun hadapan meningkat sehingga 40 peratus, jika Amerika yang merupakan salah satu rakan dagangan utama Malaysia menghadapi kemelesetan.

"Ia bermakna pertumbuhan negatif untuk dua suku tahunan dan 30 peratus kemungkinan ia akan menjadi kemelesetan sebenarnya yang berpanjangan melebihi dua suku tahunan, bergantung kepada apa yang berlaku di Amerika," katanya.

Ahli Majlis Ekonomi Malaysia, Datuk Mohamed Azman Yahya pula mengingatkan bahawa kemerosotan ekonomi yang semakin hampir mungkin lebih mencabar dari krisis yang dihadapi pada tahun 1998
Dalam krisis kali ini, katanya, Malaysia menghadapi risiko stagflasi di mana pertumbuhan akan bergerak perlahan di dalam persekitaran yang tinggi kosnya.

Ia juga mungkin yang terburuk, katanya, dan apa yang lebih membimbangkan ialah kemerosotan kali ini ialah fenomena global.
Sebelum ini, laporan Political & Economic Risk Consultancy (PERC) yang berpengkalan di Hong Kong meletakkan Malaysia antara negara yang paling berisiko tinggi dalam menghadapi krisis ekonomi dunia yang dijangka akan bertambah buruk.

Siasah

PAS ucap tahniah, moga Obama buka era 'politik baru'

PAS mengucapkan tahniah kepada calon Demokrat, Barrack Obama kerana memenangi pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) mengalahkan calon Republikan, John Mc Cain.

"Bagi pihak PAS,kami mengucapkan tahniah kepada Obama kerana bakal menjadi Presiden pertama dari kulit hitam dan parti Demokrat kerana menang besar dalam pilihan raya AS.

"Kami berharap hubungan antara Malaysia dan AS terus diperkukuhkan terutama dalam membantu usaha pendemokrasian dan ketelusan di Malaysia,"kata Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat,Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi kepada Harakahdaily sebentar tadi.

Bagaimanapun katanya, PAS berharap AS akan memgkaji segera polisi dasar luarnya,terutama dalam isu yang membabitkan Timur Tengah dan dunia Islam keseluruhannya.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, mahu Obama mencari segera jalan penyelesaian untuk konflik di Palestin, Iraq,Afghanistan dan beberapa buah negara Islam yang lain.

Katanya, PAS berharap Obama akan segera mencari jalan 'perdamaian' antara Barat dan dunia Islam dengan tidak mengambil langkah konfrontasi sebagaimana yang dilakukan oleh George W Bush.

"Kita mahu Obama membuka 'era baru' kepada politik dunia agar tidak lagi bersikap 'kuku besi' dan 'double standard' sebagaimana rejim sebelum ini,"tegas beliau.

*Sumber: HarakahDaily.net